Amnesty International Malaysia kecam hukuman mati, ‘samaran’ untuk keadilan

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/05/01/amnesty-international-malaysia-kecam-hukuman-mati-samaran-untuk-keadilan/
SHARE

Source: The Malaysian Insider

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Shamini Darshni bercakap kepada media pada majlis pelancaran Laporan Amnesty International 2014 di Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 7 April, 2015.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Shamini Darshni bercakap kepada media pada majlis pelancaran Laporan Amnesty International 2014 di Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 7 April, 2015.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Shamini Darshni berkata hukuman mati adalah “samaran” kepada keadilan, sekali gus hukuman berkenaan seharusnya dikecam.

Beliau berkata, Malaysia merekodkan sekurang-kurangnya 38 hukuman ‘pembunuhan secara sah’ itu pada tahun lepas, menjadikan negara ini berada di tangga ke-18 daripada 22 negara yang melaksanakan hukuman berkenaan.

“Undang-undang mengatakan ‘tidak’ kepada pembunuhan tetapi ia tidak bertindak sedemikian. Apakah mesej yang cuba disampaikan kepada rakyat,” katanya pada majlis pelancaran Laporan Amnesty International 2014 berhubung hukuman mati dan pelaksanaannya di Petaling Jaya, hari ini.

Laporan berkenaan menunjukkan pada 2014, Malaysia menjatuhkan sekurang-kurangnya 38 hukuman mati yang baharu, termasuk atas kesalahan mengedar dadah.

Malaysia merupakan  antara 22 negara di dunia yang melaksanakan hukuman mati pada tahun lepas, melibatkan sekurang-kurangnya dua individu.

Beliau berkata Iran, Arab Saudi dan Iraq adalah negara yang paling kerap menggunakan hukuman mati selepas China.

Pada tahun ini sahaja, Amnesty International Malaysia mencatatkan 11 hukuman mati yang dikenakan dalam tempoh tiga bulan pertama 2015.

Shamini berkata, perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lepas mencatatkan rekod paling banyak negara yang menyokong agar memansuhkan hukuman mati di seluruh dunia.

“PBB yang menyedari hal ini, membangkitkannya pada perhimpunan agung PBB yang lepas untuk kali ke-5 dan ia mendapat sokongan yang amat memberangsangkan.

“Malaysia bagaimanapun, mengundi menentangnya dan terus mengenakan hukuman mati di Malaysia ke atas rakyat tempatan dan warga asing.

“Tidak ada bukti yang kukuh hukuman mati berkesan dalam mencegah jenayah.”

Katanya, Amnesty International Malaysia difahamkan Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji penggunaan hukuman mati mandatori di Malaysia dan berharap ia akan menghasilkan keputusan yang positif.

Sementara itu, seorang ibu kepada mangsa yang sedang menghadapi hukuman mati sejak 12 tahun yang lalu berkata anaknya dihukum secara tidak adil atas tuduhan memiliki dadah.

Sapinah Nawawi, 57 yang turut berada dalam program itu menceritakan kepada pemberita, anaknya Shahrul Izani Suparman ditangkap polis ketika usianya 18 tahun, sedangkan dia tidak tahu menahu alasan dirinya ditahan polis.

“Ketika itu anak saya bekerja di warung dan meminjam motosikal rakannya untuk ke kedai, tapi sewaktu perjalanan, dia ditahan polis.

“Pada mulanya dia ingat sebab tak ada ‘road tax’ (cukai jalan), tetapi polis menahan dia kerana motosikal itu ada simpan dadah yang bukan milik dia,” katanya, turut ditipu hampir RM100,000 untuk bayaran peguam demi membebaskan anaknya.

Sapinah berkata, dia mengeluarkan kesemua wang simpanannya, wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, menggadai barang-barangnya dan meminjam duit daripada adik-beradik demi anaknya.

“Saya merasakan hukuman ini tidak adil ke atas anak saya kerana anak saya tidak tahu apa-apa dan rakannya pula terlepas begitu saja.”

Katanya, suaminya meninggal dunia semiggu selepas anaknya ditangkap ekoran berita yang mengejutkan itu. – 7 April, 2015.