Siapa kata perlu laporan polis siasat jenayah, soal Zaman Khan

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/05/30/siapa-kata-perlu-laporan-polis-siasat-jenayah-soal-zaman-khan/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Tan Sri Zaman Khan tidak bersetuju dengan pendirian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang laporan polis perlu dibuat sebelum siasatan jenayah dilakukan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 30 Mei, 2015.

Bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Tan Sri Zaman Khan tidak bersetuju dengan pendirian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang laporan polis perlu dibuat sebelum siasatan jenayah dilakukan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 30 Mei, 2015.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menyiasat kes jenayah tanpa memerlukan laporan polis, kata bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Tan Sri Zaman Khan, menafikan kenyataan ketua polis negara yang siasatan hanya dilakukan apabila laporan dibuat.

Zaman berkata, mana-mana pegawai polis yang mengatakan siasatan hanya boleh dilakukan jika laporan polis dibuat adalah “tidak masuk akal”.

“Polis boleh menyiasat tanpa apa-apa laporan, selagi kesalahan itu boleh ditangkap,” katanya, pada sebuah forum akauntabiliti polis di Kuala Lumpur, hari ini.

“Jika polis kata perlukan laporan untuk siasat jenayah, itu tak masuk akal.”

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berulang kali mengatakan polis hanya akan menjalankan penyiasatan kes jenayah sekiranya laporan polis dibuat.

Menerusi akaun Twitter beliau, Khalid meminta Speaker Selangor, Hannah Yeoh membuat laporan polis selepas dimaklumkan mengenai kes pecah masuk di rumahnya di Subang Jaya oleh lima perompak bertopeng.

Khalid juga dilaporkan memberitahu seorang pemberita yang mendakwa dikasari semasa protes di luar sebuah gereja di Taman Medan baru-baru ini, supaya membuat laporan sebelum dakwaannya disiasat polis, walaupun ia berlaku dengan kehadiran pihak polis.

Khalid dikritik hebat mengenai pendiriannya tidak akan menyiasat selagi ada laporan polis, dan dituduh mengamalkan siasatan terpilih yang tertumpu kepada pemimpin pembangkang dan mereka yang tidak menyokong kerajaan.

“Mereka (polis) boleh melancarkan siasatan walapun tiada laporan bagi kesalahan besar dan yang boleh membawa penangkapan. Ini dibenarkan Kanun Jenayah,” kata Zaman.

Terdahulu, peguam dan aktivis Datuk Ambiga Sreenevasan yang hadir forum itu menanyakan ahli Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Leong May Chan, sama ada ia boleh bertindak tanpa aduan.

“Anda memperkasakan kuasa tetapi bolehkah bertindak tanpa menerima aduan, kerana ramai bimbang membuat aduan dan ini sesuatu yang perlu diterima,” kata bekas pengerusi Bersih 2.0 itu.

Leong berkata suruhanjaya itu boleh memulakan penyiasatan terhadap mana-mana agensi penguatkuasaan sekiranya menerima aduan, seperti termaktub dalam Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan. – 30 Mei, 2015.

– Khalid berucap sebagai ahli panel “Forum on Rogue Cops: Workable Solutions – Police Accountability in Malaysia“, satu acara anjuran bersama oleh Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia  (HAKAM) and Badan Peguam Malaysia menerusi Jawatan Kuasa IPCMC, yang telah berlangsung pada 30 Mei 2015 di Kuala Lumpur.