HAKAM, C4, PROHAM, Negara-Ku: Pelan Tindakan Demi Rakyat

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/07/28/hakam-c4-proham-negara-ku-pelan-tindakan-demi-rakyat/
SHARE

Demi Rakyat

For the People

28 Julai 2015

Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia (HAKAM),
Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4),
Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM),
Gerakan Rakyat Negara-Ku

 

Mukadimah

Krisis telahpun melanda negara ini. Terlalu banyak skandal-skandal kewangan, kejatuhan nilai ringgit, pelaksanaan GST, dan sekatan-sekatan ke atas kebebasan asasi kita telah menyebabkan kehilangan kepercayaan dan keyakinan orang awam terhadap kerajaan. Ketelusan dan akauntabiliti langsung tidak wujud. Mereka yang mempunyai kuasa pula tidak menggunakannya untuk kebaikan awam. Kepimpinan negara pula memberikan perhatian yang tidak mencukupi terhadap krisis ekonomi dan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat. Keadaan rasuah yang tidak terkawal berserta dengan pencabulan hak-hak sivil dan politikal telah mewujudkan suatu persekitaran yang tidak menentu dimana kebajikan rakyat bukan lagi merupakan satu keutamaan.

Oleh itu, demi kepentingan rakyat dan negara, kami, ahli-ahli masyarakat sivil yang bertandatangan di bawah, membentangkan suatu pelan tindakan untuk menangani krisis ini dan untuk mengembalikan kestabilan negara ini.

Tujuan

Tujuan pelan tindakan ini adalah untuk meyediakan satu penyelesaian kepada krisis yang dialami sekarang.

I. Kami percaya bahawa penerimaan dan pelaksanaan penuh pelan tindakan ini akan mempunyai kesan-kesan berikut, iaitu untuk :-

a) Mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa terhadap kerajaan yang memerintah;
b) Menangani masalah-masalah rakyat Malaysia yang terkini dan segera dari segi ekonomi dan isu-isu sosial;
c) Membolehkan rakyat Malaysia untuk hidup dalam keadan aman, selamat dan bermaruah bagi memenuhi matlamat-matlamat dan aspirasi individu dengan pengetahuan bahawa kebebasan asasi mereka dilindungi; dan
d) Menggalakkan wujudnya keharmonian sesama masyarakat.

Prinsip-Prinsip Menyeluruh

Dalam menyarankan pelan tindakan ini, kami telah mengaplikasikan prinsip-prinsip menyeluruh yang berikut :-

1. Malaysia dibina atas rukun-rukun asas demokrasi dan kedaulatan undang-undang di mana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi;
2. Ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik adalah penting dalam mengekalkan kerajaan yang boleh dipercayai;
3. Institusi-institusi mempunyai tugas untuk bertindak secara bebas tanpa rasa gentar atau berat sebelah dalam mendukung kepentingan awam.
4. Prinsip-prinsip teras kedaulatan undang-undang yang harus ditegakkan adalah termasuk yang berikut:-

a) Tiada sesiapa yang boleh melebihi atau mengatasi undang-undang;
b) Setiap orang mempunnyai kedudukan yang sama di sisi undang-undang; dan
c) Setiap orang berhak kepada proses undang-undang yang adil.

5. Setiap orang adalah berhak terhadap kebebasan asasi yang dijamin oleh perlembagaan termasuk kebebasan bercakap, bersuara dan berpersatuan;
6. Setiap warganegara mempunyai hak sedia ada yang termaktub dalam perlembagaan untuk mengambil bahagian dan oleh itu berhak untuk mengetahui dan diberitahu tentang isu-isu awam yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan, hak-hak dan punca rezeki.

Dengan objektif-objektif dan prinsip-prinsip ini dalam fikiran, anggota-anggota masyarakat sivil ingin membentangkan Pelan Tindakan Demi Rakyat.

 


Pelan Tindakan Demi Rakyat

1. Pembentukan Kerajaan Kebangsaan

I. Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak harus segera memberi maklum balas secara terbuka mengenai tuduhan-tuduhan serius penyelewengan kewangan dan khususnya harus memberi penjelasan munasabah ke atas dana awam yang dikatakan dibayar secara terus ke dalam akaun beliau;
II. Dalam mengiktiraf kehendak untuk memelihara keluhuran pejabat Perdana Menteri, dan untuk mengutamakan negara dan rakyat lebih daripada kepentingan peribadi dan parti, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak harus mengambil cuti (leave of absence) sehingga isu-isu berbangkit daripada tuduhan-tuduhan tersebut selesai sehingga tahap penyiasatan penuh; dan
III. Selepas itu, dan dalam apa jua keadaan, dalam tempoh satu minggu daripada (tarikh kuatkuasa) satu sesi parlimen tergempar perlu diadakan untuk membentuk Kerajaan Kebangsaan daripada kalangan anggota-anggota Parlimen daripada semua pihak tanpa mengira jurang politik. Adalah penting bahawa semua ahli-ahli Parlimen mengetepikan perbezaan fahaman dan ideologi politik demi kepentingan rakyat dan negara, untuk mengembalikan kestabilan dan keyakinan semula terhadap negara.

2. Pilihanraya Bebas dan Adil

Kerajaan Kebangsaan hendaklah dalam tempoh 18 bulan daripada pembentukkannya, mengadakan satu pilihanraya yang bebas dan adil dan hendaklah dengan serta merta melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya yang bebas, yang mempunyai keyakinan orang awam dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya ini hendaklah meneruskan dan membersihkan proses pilihan raya bagi pilihan raya umum.

3. Menangani Gejala Rasuah

I. Kerajaan Kebangsaan harus memastikan pembasmian rasuah dalam semua sektor termasuk pembasmian penaungan politik, sebagai keutamaan;
II. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus diberi kuasa-kuasa lanjut dengan mengubah struktur, komposisi, mandat dan undang-undang yang berkaitan; dan
III. Langkah-langkah perlu diambil untuk mengukuhkan perlindungan dan imuniti bagi pemberi- pemberi maklumat dengan memastikan mereka bebas daripada ugutan, dan dengan memperbaharui Akta Pemberi Maklumat 2010.

4. Mengembalikan Kebebasan Asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan:

I. Kerajaan Kebangsaan hendaklah dengan serta-merta memansuhkan semua undang-undang yang menyekat kebebasan media dan membatalkan sekatan dan larangan yang dikenakan ke atas semua media termasuk The Edge dan Sarawak Report;
II. SUHAKAM harus ditugaskan untuk memeriksa dan membuat cadangan bagi pemansuhan undang-undang yang menyekat dan mengancam kebebasan asasi dalam tempoh tidak melebihi 3 bulan daripada tarikh kuat kuasa dan selepas itu membentangkan cadangan-cadangan untuk pembaharuan kepada Kerajaan Kebangsaan untuk pelaksanaan;
III. Sementara menunggu pemansuhan Akta Hasutan 1948, tuduhan-tuduhan terhadap individu-individu di bawah Akta ini hendaklah digantung dan apabila dimansuhkan, semua tuduhan hendaklah ditarik balik; dan
IV. Kerajaan Kebangsaan hendaklah mengambil langkah-langkah untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas dan Aduan Salah Laku Polis (IPCMC).

5. Siasatan-siasatan Bebas dan Hak Rakyat untuk Menerima Maklumat

I. Pasukan Petugas yang menjalankan siasatan ke atas 1MDB dan skandal-skandal kewangan yang lain harus bertindak secara bebas dan tanpa gentar atau berat sebelah ataupun dengan campur tangan daripada mana-mana pihak luar. Dalam hal ini, Pihak Petugas harus tetap bertanggungjawab kepada orang ramai dan mengeluarkan laporan dua kali seminggu kepada orang ramai memandangkan keseriusan tugas yang dijalankan oleh mereka.
II. Laporan Ketua Audit Negara dan laporan-laporan lain mengenai 1MDB dan skandal-skandal kewangan yang lain hendaklah didedahkan kepada orang ramai dengan segera.

6. Mengurangkan Keperitan Rakyat

Langkah-langkah berikut perlu diberi keutamaan untuk mengurangkan beban rakyat:-

I. Moratorium ke atas GST;
II. Menyediakan bantuan lanjut dan perumahan untuk semua mangsa yang telah kehilangan rumah mereka dalam bencana alam baru-baru ini; dan
III. Mengukuhkan ekonomi dan memulihkan integriti sistem kewangan negara, dan dalam hal ini, sektor korporat, komuniti perniagaan, pakar-pakar yang berkaitan dan pihak berkepentingan yang lain hendaklah mencadangkan langkah-langkah yang sesuai.

7. Perpaduan Sosial

Dalam usaha untuk menggalakkan perpaduan sosial dan rasa hormat antara semua kaum di Malaysia, Kerajaan Kebangsaan harus memanggil Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC) untuk membentuk garis panduan dan merangka undang-undang untuk memerangi perpecahan kaum dan masyarakat serta ucapan benci. Kerajaan Kebangsaan perlu mengetuai usaha menggalakkan perpaduan sosial dan membidas perpecahan kaum.

8. Konsultasi Awam

I. Kerajaan Kebangsaan harus merangka rancangan-rancangan untuk negara dengan persetujuan berpengetahuan yang bebas dan terdahulu daripada orang ramai melalui mesyuarat-mesyuarat dengan dewan bandar, perbincangan meja bulat yang melibatkan NGO-NGO berkaitan, para akademik, para pemikir dan aktivis-aktivis media; dan
II. Kerajaan Kebangsaan hendaklah dalam tempoh masa 3 bulan daripada tarikh kuat kuasa, melaporkan kepada rakyat berkenaan rancangan-rancangan mereka untuk melaksanakan cadangan-cadangan ini dan menuntut untuk pembaharuan.

9. Penutup

Pelan tindakan ini tidak menangani isu-isu dasar am dan adalah penting untuk memahami bahawa tanggungjawab ini merupakan tanggungjawab utama kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya yang bebas dan adil.

Ambiga Sreenevasan
Presiden
Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia (HAKAM)

Bagi pihak
Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia (HAKAM),
Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4),
Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM),
Gerakan Rakyat Negara-Ku

 

Puatan Berkaitan