KENYATAAN: Berkenaan Penggunaan SOSMA & Penangkapan Kritik 1MDB

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/09/25/kenyataan-berkenaan-penggunaan-sosma-penangkapan-kritik-1mdb/
SHARE

pdfKENYATAAN BERTARIKH 25 SEPTEMBER 2015
PENGUNAAN SOSMA & PENANGKAPAN KRITIK 1MDB

Termasuk ADDENDUM BERTARIKH 26 SEPTEMBER 2016 *

The Rakyat Post file pic

The Rakyat Post file pic

Pada 24 September 2015 bekas pemimpin UMNO Datuk Khairuddin Abu Hassan telah ditangkap dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). Datuk Khairuddin telah ditangkap dipercayai disebabkan oleh laporan-laporan yang telah dibuat olehnya dengan penyiasat-penyiasat di luar negara terhadap 1MDB. Beliau telah ditangkap dan direman dahulu pada 18 September 2015 di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen. Selepas beliau dilepaskan beliau telah ditangkap semula dibawah SOSMA.

Datuk Khairuddin kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 124K dan Seksyen 124L Kanun Keseksaan, dipercayai untuk kesalahan-kesalahan “sabotaj” atau “percubaan untuk sabotaj negara”.

HAKAM mengambil pendirian yang sama dengan Majlis Peguam dan banyak lagi badan-badan bukan kerajaan lain dan juga semua warga Malaysia yang berfikiran munasabah dalam mengkritik dan mengecam tindakan-tindakan ini sebagai tindakan yang menindas dan bertentangan dengan kedaulatan undang-undang. SOSMA merupakan satu akta yang bersifat autoritarian dan menindas dan ia kini digunakan pula untuk melindungi Perdana Menteri (yang sepatutnya bertanggungjawab kepada rakyat) daripada penelitian. Dalam perbandingan yang begitu ketara, individu yang mengugut untuk mengadakan rusuhan di Petaling Street pula dipandang ringan dan tidak berdepan dengan tidakan polis. Ini menyerlahkan lagi penyalahgunaan kuasa dan tindakan-tindakan penguatkuasaan ini yang mempunyai agenda politik.

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) bertujuan menangani kesalahan-kesalahan sekuriti yang “memudaratkan keselamatan awam di dalam, atau sekuriti Persekutuan atau mana-mana bahagian Persekutuan”. Persoalannya ialah, bagaimana tindakan-tindakan Datuk Khairuddin iaitu memfailkan laporan-laporan diluar negara berkenaan 1MDB memudaratkan keselamatan awam negara? Laporan-laporan tersebut mungkin telah menyebabkan sesetengah pihak berasa tidak selesa tetapi itu tidak boleh menjadi asas bagi satu penangkapan. Tambahan pula, Datuk Khairuddin akan dikecualikan di bawah Seksyen 4(3) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang menyatakan “Tiada seorang pun boleh ditangkap atau ditahan dibawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya”. Kepercayaan politik atau aktiviti politik pula didefinisikan di bawah Seksyen 4(12) perenggan (b) dan (c) masing-masing sebagai “pernyataan pendapat yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan” dan “pengambilan tindakan yang ditujukan terhadap mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan”. Pada pandangan kami, penangkapan ini adalah tidak sah disisi undang-undang khususnya di sisi SOSMA.

Insiden ini adalah salah satu daripada tindakan bersiri yang bersifat menindas dan diambil secara sewenang-wenangnya oleh pihak yang berkuasa untuk melindungi Perdana Menteri daripada memberi jawapan kepada rakyat.

Agensi-agensi penguatkuasaan harus memilih pendirian mereka samada peranan mereka adalah untuk melindungi rakyat atau untuk melindungi pemimpin-pemimpin daripada bertanggungjawab untuk tindakan-tindakan mereka samada betul atau salah. Pilihan tersebut sepatutnya jelas tanpa sebarang keraguan. Datuk Khairuddin patut dibebaskan dengan segera dan sikap pihak berkuasa yang giat mencabul hak asasi manusia dengan sewenang-wenangnya mestilah dihentikan. Biar sedikit kewarasan, keadilan dan pendekatan yang menghormati kedaulatan undang-undang kembali diamalkan dengan segera dalam aturcara pentadbiran negara ini.

HAKAM telah mendapat tahu melalui laporan-laporan media bahawa Datuk Khairuddin telah dikejarkan ke hospital dengan demam tinggi, walaubagaimanapun, beliau tidak dibenarkan sebarang pelawat. HAKAM mengesa pihak berkuasa untuk membenarkan ahli keluarga beliau untuk menjenguk dan melawat beliau. Akses ini harus diberikan dengan segara. HAKAM juga sekali lagi menegaskan bahawa beliau seharusnya dibebaskan dengan serta-merta. *

 

Dikeluarkan bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif HAKAM

Ambiga Sreenevasan
Presiden
HAKAM