Tak relevan SPRM dikawal selia EAIC, kata pengerusi lembaga penasihat rasuah

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/09/30/tak-relevan-sprm-dikawal-selia-eaic-kata-pengerusi-lembaga-penasihat-rasuah/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata Jawatankuasa Aduan yang bebas sudah pun wujud untuk menangani aduan orang ramai berkaitan salah laku pegawai SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 September, 2015.

Cadangan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah bidang kuasanya adalah tidak perlu dan tidak relevan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata Jawatankuasa Aduan yang bebas sudah pun wujud untuk menangani aduan orang ramai berkaitan salah laku pegawai SPRM.

“SPRM sudah pun dipantau dengan berkesan oleh panel-panel dan jawatankuasa bebas termasuk, selain daripada LPPR, penasihat utama dasar SPRM, Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah, Panel penilaian Operasi serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

“Memandangkan adanya beberapa lapisan pemantauan bebas yang komprehensif mencakupi setiap aspek operasi, keprihatinan masyarakat mengenai sebarang tingkah laku profesional yang tidak beretika membabitkan pegawainya dipantau sepanjang masa dan ditangani sebagai bahagian fundamental bagi memastikan pematuhan standard perlakuan perkhidmatan awam yang tinggi dan selari dengan pematuhan ketat Akta SPRM 2009,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin, pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata SPRM wajar dimasukkan sebagai satu daripada agensi penguatkuasa yang dikawal selia EAIC kerana peranannya ialah menerima aduan orang awam dan menjalankan siasatan berkaitan salah laku pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan. – Bernama, 30 September, 2015.