Rakyat Malaysia dapat kewarganegaraan bukan pendatang, kata Khoo Kay Kim

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/10/01/rakyat-malaysia-dapat-kewarganegaraan-bukan-pendatang-kata-khoo-kay-kim/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Rakyat yang mendapat taraf warganegara Malaysia seharusnya bukan lagi dianggap pendatang, kata pakar sejarah Tan Sri Khoo Kay Kim. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Oktober, 2015.

Rakyat yang mendapat taraf warganegara Malaysia seharusnya bukan lagi dianggap pendatang, kata pakar sejarah Tan Sri Khoo Kay Kim yang menyifatkan polemik penggunaan istilah tersebut sebagai satu salah tafsir.

Profesor emeritus di Jabatan Sejarah Universiti Malaya itu berkata, istilah pendatang digunakan bagi mereka yang datang dari negara lain, tetapi keadaannya berbeza jika seseorang itu sudah lama menetap di sesebuah negara dan diberikan kewarganegaraan.

“Pendatang ialah satu istilah, seseorang yang datang dari negara lain. Contohnya di negara ini, jika dia warganegara negara lain, maka dia pendatang.

“Tetapi jika dia tinggal di sini sudah lama dan memohon kewarganegaraan, maka dia bukan lagi pendatang, dia adalah warganegara,” katanya pada forum Mempertahan Maruah Melayu anjuran Gabungan Merdeka Rakyat di Kuala Lumpur malam tadi.

Khoo bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik mengenai istilah pendatang tersebut, atau membuat rujukan khusus kepada kaum tertentu.

Beliau berkata, istilah bangsa merujuk kepada warganegara seseorang individu dan satu bangsa bermakna satu negara.

“Bangsa bermaksud kewarganegaraan, dan jika seseorang itu sudah menjadi rakyat Malaysia, kita mesti menulisnya rakyat. Jika kita tulis Cina, bermakna mereka rakyat China.

“Ini semua istilah. Istilah dan perkataan adalah berbeza. Istilah khusus untuk satu makna. Satu bangsa bukannya satu kaum, ia adalah satu negara,” katanya.

Khoo memberikan contoh berhubung penyertaan Malaysia dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mana organisasi tersebut tidak berpihak secara khusus kepada mana-mana kaum.

“Apabila kita sertai UN, kita panggil ia UN, bukan United Race (yang bermakna Pertubuhan Kaum-Kaum Bersatu),” katanya merujuk kepada singkatan untuk PBB dalam Bahasa Inggeris, United Nations.

“Oleh sebab itu, 1Malaysia maksudnya adalah satu bangsa,” katanya.

Malaysia terbentuk daripada tiga kaum utama – Melayu, Cina dan India, serta banyak suku kaum lain dari negeri di wilayah Borneo.

Kontroversi mengenai istilah pendatang sering kali tercetus di negara ini.

Tahun lepas, seorang perwakilan Gerakan, salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN),  Tan Lai Soon daripada Johor mendakwa orang Malaysia semuanya pendatang, kecuali Orang Asli dan peribumi Sabah dan Sarawak.

Beliau dilaporkan berkata, bukan hanya orang Cina dan India saja pendatang, tetapi orang Melayu turut dianggap bukan Bumiputera kerana mereka juga berhijrah dari Indonesia.

Perdebatan hangat tercetus selepas kenyataan tersebut, khususnya di kalangan pemimpin Umno yang mengecam ahli Gerakan itu. – 1 Oktober, 2015.

 

Pautan Versi Bahasa Inggeris & Artikel Berkenaan