Kanak-kanak Orang Asli hilang tidak mampu bertahan dalam hutan

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/10/04/kanak-kanak-orang-asli-hilang-tidak-mampu-bertahan-dalam-hutan/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Hampir setiap hari menunggu, ibu bapa kepada tujuh kanak-kanak Orang Asli yang hilang di dalam hutan di Kelantan lebih sebulan lalu, semakin berputus asa tentang peluang anak-anak mereka untuk terus hidup di dalam hutan tebal itu. Dalam bahagian kedua dan siri akhir ini, The Malaysian Insider meninjau bagaimana perubahan gaya hidup dan permintaan menyebabkan kanak-kanak Orang Asli yang berasal dari pendalaman ke sekolah berasrama penuh.

Kanak-kanak Orang Asli berjalan ke SK Tohoi dari asrama mereka. Kini sebulan sejak tujuh kanak-kanak Orang Asli hilang dari sekolah itu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 4 Oktober, 2015.

Tujuh kanak-kanak Orang Asli yang hilang 5 minggu lalu di kawasan pedalaman di Gua Musang, Kelantan, tidak mempunyai apa-apa kemahiran untuk terus hidup di dalam hutan, kata seorang pemimpin masyarakat walaupun di Malaysia secara tradisinya mereka memakan haiwan untuk kelangsungan hidup di dalam hutan.

Dendi Johari (gambar_ kepada The Malaysian Insider)

Tidak seperti generasi sebelum mereka, kanak-kanak ini tidak dilatih tentang kemahiran hidup di dalam hutan yang menjadi kampung halaman mereka, kata Ketua Pemuda Rangkaian Kampung Orang Asli Kelantan Dendi Johari (gambar).

“Tidak, mereka tidak mempunyai apa-apa kemahiran hidup. Mereka adalah kanak-kanak sekolah rendah dan tinggal di sekolah berasrama penuh. Jadi mereka belajar segala-galanya dari sini,” katanya ketika ditemui di Kampung Pos Tohoi, di mana kanak-kanak itu kali terakhir dilihat.

“Ketika mereka balik rumah, ibu bapa hanya membawa mereka ke ladang.”

Tujuh mangsa yang hilang termasuk seorang kanak-kanak lelaki ialah Mirsudiar Aluj, 11, Norieen, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8 dan Juvina Daud 7. Mereka disedari hilang pada 23 Ogos lalu dari asrama sekolah mereka di Pos Tohoi.

Kanak-kanak ini dipercayai melarikan diri ke hutan berhampiran sekolah mereka selepas guru memberikan amaran akan dihukum kerana berenang di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, beberapa ibu bapa memberitahuThe Malaysian Insider, mereka percaya anak-anak mereka kemungkinan diculik sindiket penjual organ.

Dendi berkata, sebahagian kanak-kanak Orang Asli datang dari kampung-kampung di kawasan pedalaman berhampiran Pos Tohoi, 50km dari Gua Musang. Mereka kadang-kadang dilihat pulang ke rumah pada hujung minggu untuk berjumpa dengan keluarga masing-masing.

“Mereka biasanya tidak pulang ke rumah pada hujung minggu, hanya semasa cuti sekolah yang panjang. Tetapi jika mereka didapati meninggalkan sekolah, ini bermakna mereka sudah pulang dan sepatutnya sudah selamat sampai,” katanya, sambil menambah perjalanan ke kampung mereka dari sekolah berkenaan mengambil masa sehari dengan berjalan kaki dan kanak-kanak ini akan tidur sebentar dalam perjalanan itu.

“Semasa cuti sekolah, anak-anak ini dibawa pulang oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).”

Sama seperti ibu bapa kanak-kanak yang hilang, Dendi menyelar pihak sekolah kerana hanya menyedari kanak-kanak terbabit hilang kira-kira 8 jam selepas mereka dilihat meninggalkan kawasan sekolah.

“Mereka dilihat keluar dari sekolah melalui bahagian belakang asrama berkenaan ketika waktu rehat pada jam 10 pagi dan guru sekolah yang bertindak sebagai warden asrama hanya menyedari mereka sudah hilang pada jam 6 petang.

“Saya hanya ingin tahu, tidakkah sekolah memantau murid-murid mereka? Tidakkah mereka melihat berapa banyak anak murid mereka pada waktu pagi dan petang?” soal Dendi sambil menambah hanya terdapat kira-kira 15 hingga 20 orang guru dan 120 pelajar saja di sekolah itu.

Perkampungan Orang Asli berada di pedalaman dan ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah berasrama penuh.

Perkampungan Orang Asli berada di pedalaman dan ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah berasrama penuh.

Katanya, masyarakat Orang Asli seperti Kampung Pos Penad, Pos Simpor, Pos Sedal dan Pos Gawen terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama yang jauh dari kampung mereka kerana kekurangan kemudahan pembelajaran di kawasan masing-masing.

“Ada antara mereka mungkin tidak akan menghantar anak-anak mereka, pada usia itu ke sekolah berasrama penuh kerana mereka masih muda dan masih memerlukan ibu bapa.

“Tetapi kerana Orang Asli mahu anak-anak mereka mendapatkan pendidikan yang baik dan melanjutkan pengajian ke universiti, mereka sanggup berkorban dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama penuh,” kata aktivis hak asasi orang asal itu.

Dendi, yang sudah bersama pihak keluarga sejak kanak-kanak itu hilang, berkata masyarakat Orang Asli menjadi semakin bimbang selepas tiada petunjuk tentang ke mana kanak-kanak itu hilang.

“Kita mempunyai kira-kira 50 sukarelawan Orang Asli yang menyertai operasi mencari dan menyelamat bagi membantu mencari mereka.

“Tetapi kita sudah mencari hampir sebulan sekarang, dan masih tiada apa-apa berita. Tiada petunjuk, tiada kesan,” katanya yang jelas berputus asa.

Dendi yang juga bapa saudara kepada Juvina, kanak-kanak paling muda antara mangsa dilaporkan hilang itu berkata, penduduk kampung masih menunggu berita tentang kehilangan mereka.

“Kami sudah pun mendapatkan bantuan daripada semua kaum Orang Asli Temiar di Kelantan tetapi tidak berjaya. Adalah mustahil tujuh kanak-kanak hilang tanpa dapat dikesan. Itulah sebabnya kami percaya mereka diculik,” katanya. – 4 Oktober, 2015.

 

Pautan Artikel Berkenaan & Versi Bahasa Inggeris