Amerika Syarikat, 11 negara Asia Pasifik meterai TPPA

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/10/06/amerika-syarikat-11-negara-asia-pasifik-meterai-tppa/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Biarpun terdapat bantahan terhadap Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA), namun 12 negara yang diketuai Amerika Syarikat bersetuju untuk memeterai perjanjian perdagangan itu hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 Oktober, 2015.

Amerika Syarikat, Jepun dan 10 negara lain di rantau Asia Pasifik hari ini mencipta sejarah apabila memeterai perjanjian bagi mengurangkan halangan perdagangan barangan dan perkhidmatan serta menetapkan peraturan komersial dua per lima daripada ekonomi global, kata pegawai, menurut laporan.

Menurut akhbar The Wall Street Journal (WSJ), pegawai kanan negara yang terlibat dijangka mengumumkan perkara itu pada sidang media di Atlanta, hari ini.

Bagi Amerika Syarikat, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) membuka pasaran pertanian di Jepun dan Kanada, mengetatkan peraturan harta intelek bagi memberi manfaat kepada syarikat teknologi dan mewujudkan 1 blok ekonomi yang padu untuk menyaingi pengaruh China di rantau ini.

Perjanjian itu adalah satu kejayaan bermakna buat Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang melihatnya sebagai perangsang kepada pertumbuhan ekonomi, meningkatkan industri berdaya saing dan menyatukan negara Pasifik yang dengan aliran pemikiran yang sama ketika China – bukan sebahagian daripada blok ekonomi itu – mengamalkan postur ekonomi dan ketenteraan yang lebih menonjol di rantau ini.

Bagaimanapun, Obama bakal berdepan cabaran tidak lama lagi bagi mendapatkan kelulusan daripada ahli Kongres negaranya yang terbahagi.

Hanya segelintir ahli Demokrat menyokong dasar perdagangan dibawa Obama, dan sokongan puak Republikan dalam pilihan raya tahun depan tidak dapat diduga, bergantung kepada pendirian calon presiden dan kepimpinan baharu dalam Dewan.

Dalam keadaan sekarang, perjanjian itu tidak boleh dibentangkan untuk diundi dalam Kongres hingga awal tahun depan.

Selepas berpuluh-puluh rundingan dan 5 hari tawar-menawar diadakan di Atlanta, menteri perdagangan dan pegawai kanan lain berkata mereka menyelesaikan pertelingkahan berhubung perlindungan harta intelek terhadap ubatan biologi, peraturan pemasangan-automotif dan produk tenusu.

Jika ia diluluskan Kongres, perjanjian itu akan mengembangkan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara yang dimeterai 2 dekad lalu membabitkan Jepun, Australia, Chile, Peru dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Perjanjian perdagangan itu sudah dirancang sejak 2008 tetapi ia tergendala susulan pertikaian politik yang sensitif, termasuk pergaduhan antara Amerika Syarikat dan Jepun ke atas industri automotif.

Satu daripada pertikaian terakhir yang berjaya diselesaikan membabitkan antara Australia dan Amerika Syarikat, yang menuntut perlindungan 12 tahun ke atas ubatan biologi berbanding tiruan generik.

Kedua-dua negara mencapai kata sepakat yang rumit dengan menyediakan sekurang-kurangnya 5 hingga 8 tahun eksklusif terhadap produk berasaskan biologi.

Chile, Peru dan negara-negara lain terus bimbang tentang kenaikan harga ubat-ubatan melalui tempoh eksklusif yang panjang itu, menurut mereka yang mengikuti perbincangan itu.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan beliau menyertai mesyuarat menteri-menteri TPPA di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat pada 30 September hingga 1 Oktober lepas.

Mustapa dalam satu kenyataan berkata, kehadirannya bukan untuk menandatangani perjanjian itu kerana keputusan muktamad akan diputuskan Parlimen. – 5 Oktober, 2015.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris