Nik Nazmi didakwa bawah akta sama untuk kali ketiga

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/10/06/nik-nazmi-didakwa-bawah-akta-sama-untuk-kali-ketiga/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa buat kali ketiga mengikut pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 6 Oktober, 2015.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa buat kali ketiga mengikut pertuduhan yang sama kerana pelanggaran Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 di Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, hari ini.

Exco pendidikan Selangor itu didakwa semula mengikut Seksyen 9(5) PAA kerana gagal memberi notis kepada polis daerah dalam tempoh 10 hari yang diperlukan bagi penganjuran perhimpunan ‘Black 505’ di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei, 2013.

Ia susulan keputusan dramatik Mahkamah Rayuan mendenda Setiausaha PKR Johor R Yuneswaran sebanyak RM6,000 kerana gagal memberi notis dalam tempoh 10 hari bagi penganjuran Black 505 tersebut.

Peguam Shahredzan Johan yang mewakilinya mempersoalkan dakwaan kali ketiga anak guamnya itu yang menurutnya tidak mengikut perlembagaan.

“Mengikut Artikel 7(2) suspek yang didakwa tidak boleh disabitkan semula untuk pertuduhan sama.

“Ia seperti ‘double jeopardy’ atau pendakwaan berulang kali,” katanya kepada pemberita di luar bilik Mahkamah Seksyen Petaling Jaya.

Pada 18 Mei lalu Mahkamah Persekutuan menggugurkan rayuan peguam negara terhadap pembebasan Nik Nazmi oleh Mahkamah Rayuan pada tahun lepas, melibatkan keputusan yang PAA tidak berperlembagaan.

Mahkamah Rayuan pada 25 April, 2014 menyatakan Seksyen 9(5) PAA tidak berperlembagaan kerana seorang penganjur tidak boleh dihukum kerana gagal memberikan notis 10 hari kepada pihak polis.

Namun di sebalik keputusan tersebut, Jabatan Peguam Negara mendakwa kembali Nik Nazmi pada Mei 2014 bagi pertuduhan sama untuk kali kedua, tetapi ditolak Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Bagaimanapun, pada 1 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Yuneswaran bersalah di bawah PAA, menyaksikan pendakwaan kali ketiga Nik Nazmi.

Mahkamah hari ini memutuskan Nik Nazmi dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1,500.

Ditemui selepas proses pembayaran ikat jamin, ketua Pemuda PKR itu menyifatkan pendakwaan terbaru beliau sangat luar biasa dan bermotifkan politik.

“Perkara ini memang tidak biasa berlaku, tak patut berlaku. Ini semata-mata sesuatu yang bermotif politik.

“Walaupun kes Yuneswaran itu berlaku selepas kes saya diputuskan, namun antara asas undang-undang ialah, tidak boleh retrospektif,” katanya.

Hakim Mahkamah Seksyen Petaling Jaya Azwarnida Afandi menetapkan 26 Oktober ini sebagai tarikh pertuduhan semula dan pendengaran bantahan. – 6 Oktober, 2015

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris