
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang, Sarawak terpaksa belajar dan menetap di bangunan terbengkalai sejak 3 tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 20 Oktober, 2015.
Harapan mendapatkan sebuah bangunan sekolah baharu yang moden untuk anak Kampung Long Sukang di Lawas, Sarawak tidak kesampaian 5 tahun lalu apabila kontraktornya melarikan diri.
Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang ketika ini hanya tinggalan bangunan 3 tingkat yang ditumbuhi lalang dengan lumut semakin menjalar pada koridor separuh siapnya serta najis anjing mengotorkan ruang bilik darjahnya.
Di asramanya pula, jumlah katilnya tidak mencukupi hingga memaksa sebahagian muridnya tidur beralaskan tilam nipis di atas lantai konkrit.
Projek terbengkalai ini adalah satu lagi contoh bagaimana masyarakat di pedalaman Sarawak terpaksa hidup dengan infrastruktur serba kekurangan walaupun Putrajaya mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam tempoh 5 tahun akan datang. Read more