Mak nyah makin tertindas sejak keputusan mahkamah, dakwa NGO

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/10/26/mak-nyah-makin-tertindas-sejak-keputusan-mahkamah-dakwa-ngo/
SHARE

Sumber: The Malay Mail Online

Keputusan Mahkamah Persekutuan awal Oktober mendorong serbuan dan tahanan komuniti mak nyah tanpa mengira kaum, agama dan negara, kata Justice for Sisters (JFS), sebuah NGO kesedaran hak transgender. — Foto oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR, 26 Okt — Mahkamah Persekutuan menolak keputusan Mahkamah Rayuan, lalu mengisytiharkan enakmen syariah yang tidak menyebelahi transgender sebagai sah dan tidak menyalahi perlembagaan.

Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 mengharamkan lelaki Muslim “memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan” di tempat awam.

Namun begitu, pada 8 Oktober lalu, keputusan Mahkamah Persekutuan mendorong serbuan dan tahanan komuniti mak nyah tanpa mengira kaum, agama dan negara, kata Justice for Sisters (JFS), sebuah NGO kesedaran hak transgender.

Berikut beberapa kes baharu mak nyah sejak 8 Oktober, mengikut JFS:

Kuala Lumpur — 12 Oktober

Tiga mak nyah berbangsa India dari Seremban ditangkap polis di Brickfields setelah seorang lelaki mendakwa mereka mencuri dompet beliau.

Lelaki itu dikatakan kecewa kerana kumpulan mak nyah itu menolak permintaannya untuk melakukan hubungan seks.

Dompet itu dijumpai jatuh ke lantai, namun polis tetap menahan mak nyah tersebut di balai polis Dang Wangi untuk reman selama tiga hari bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Mak nyah tersebut mendakwa mereka dipaksa berbogel, dimalukan dan didera semasa dalam tahanan.

Kuala Lumpur — 15 Oktober

Lima belas orang mak nyah dari pelbagai negara ditahan dalam satu serbuan di Bukit Bintang, Pudu and Chow Kit.

Empat daripada mereka, termasuk dua warga Indonesia, hadir di mahkamah dengan kepala yang dibotakkan.

Mereka didakwa bawah Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) yang membawa denda RM990 seorang.

Sebelas lagi mak nyah dilepaskan dengan ikat jamin di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, namun dengan syarat perlu diikat jamin oleh lelaki “tulen” — lelaki yang lahir dengan alat kelamin lelaki dan hidup sebagai lelaki.

Dengan syarat ganjil itu, cuma tujuh mak nyah dapat diikat jamin pada hari yang sama. Empat lagi terpaksa menunggu keesokan hari kerana sukar mencari kenalan lelaki “tulen” yang mampu mengikat jamin mereka.

Terengganu — 21 Oktober

Tiga orang mak nyah dari Filipina ditahan selepas beberapa pegawai Jabatan Imigresen menyamar untuk melanggan khidmat seks daripada mereka.

Mereka kini ditahan di depot imigresen Ajil dan akan disiasat bawah Peraturan 39(b) dalam Peraturan Imigresen 1963. Jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan denda RM1,000, penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya.

Pulau Pinang

Beberapa serbuan telah dijalankan di negeri ini, namun tiada tangkapan dibuat.

Negeri Sembilan

Mengikut JFS, komuniti mak nyah di negeri ini diganggu dan diugut sebaik sahaja keputusan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.

Penguasa jabatan agama didakwa telah memberi amaran bahawa mak nyah akan ditangkap jika mereka muncul di sesetengah kawasan.