Jakoa, JPN laksana program untuk pelajar SK Tohoi kembali ke sekolah

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/10/28/jakoa-jpn-laksana-program-untuk-pelajar-sk-tohoi-kembali-ke-sekolah/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Kehadiran pelajar di SK Tohoi menurun kepada 50%, berbanding 85% sebelum tragedi kehilangan 7 kanak-kanak Orang Asli dengan 4 daripadanya meninggal dunia. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Oktober, 2015.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan (JPN) negeri itu, dalam melaksanakan program bagi menarik minat murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, agar kembali ke sekolah.

Jakoa dalam kenyataan semalam berkata, kehadiran pelajar di SK Tohoi menurun kepada 50%, berbanding 85% sebelum tragedi yang menimpa 4 pelajar sekolah berkenaan.

“Melalui kerjasama antara JPN Kelantan dan Jakoa Kelantan dengan dibantu NGO lain seperti Persatuan Orang Asli Kelantan (Poak), usaha-usaha sedang dijalankan bagi mengatasi masalah ketidakhadiran pelajar dengan membuat lawatan rumah ke rumah untuk bersua muka dengan ibu bapa pelajar,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Jakoa juga sedang menimbang beberapa insentif kepada ibu bapa yang menghantar semula anak mereka ke sekolah, seperti menyediakan sumbangan bakul makanan dan menyediakan rumah transit di Tohoi bagi membawa ibu bapa melawat anak-anak mereka yang tinggal di asrama.

Jakoa turut akan mewujudkan majlis muafakat dengan JPN Kelantan untuk menangani isu-isu melibatkan pelajar dan melaksanakan program-program pembugaran emosi bagi pelajar tinggal di asrama, selain menempatkan pasukan khas, “Smart Supporting Team” terdiri daripada ahli kaunselor di perkampungan Orang Asli di sekitar Gua Musang.

Jakoa juga menegaskan pihaknya sangat mengambil berat mengenai pendidikan anak-anak Orang Asli di negara ini, dan pelbagai usaha akan dilakukan agar mereka mendapat pendidikan yang sempurna. – Bernama, 28 Oktober, 2015.