Pelan selaraskan sivil-syariah bakal undang bencana, pengkritik jawab Putrajaya

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/10/30/pelan-selaraskan-sivil-syariah-bakal-undang-bencana-pengkritik-jawab-putrajaya/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Pengkritik menyelar cadangan ‘mengharmonikan’ undang-undang sivil dan syariah, kerana undang-undang syariah semasa di Malaysia tidak menyerlahkan keindahan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Oktober, 2015.

Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang Malaysia kini dalam proses “mengharmonikan” undang-undang sivil dan syariah menyebabkan pengkritik menggesa Putrajaya mempertimbangkan semula keutamaannya, di sebalik keadaan semasa undang-undang Islam di negara ini.

Seorang aktivis Islam menyifatkan kenyataan timbalan perdana menteri itu langkah menarik pengundi Melayu-Islam, manakala seorang peguam berkata, Putrajaya sepatutnya memberi tumpuan menyelesaikan konflik di antara undang-undang syariah dan sivil.

Pengasas Islamic Renaissance Front (IRF) Datuk Dr Ahmad Farouk Musa berkata, kerajaan gagal melaksanakan intipati sebenar undang-undang syariah di Malaysia, dan mengharmonikannya sekarang dengan undang-undang sivil boleh mencetuskan “bencana”.

Syariah, seperti diterjemahkan ramai ulama terkenal dunia, meliputi bukan sahaja hudud atau undang-undang keluarga, tetapi memelihara agama, harta, keturunan, akal dan nyawa, kata Dr Farouk.

“Tetapi jika kita bercakap mengenai undang-undang syariah semasa di Malaysia, terdapat banyak perkara yang tidak menyerlahkan keindahan Islam,” katanya sambil memberikan contoh kesukaran dihadapi wanita Islam dalam kes cerai atau tuntutan nafkah.

“Oleh itu, jika kita cuba ‘menyelaraskan’ undang-undang syariah yang kita ada, ia akan menjadi satu bencana. Ia hanya akan membawa salah faham dalam masyarakat.

“Orang bukan Islam khususnya akan melihat syariah seperti menceroboh dalam kehidupan mereka. Ia tidak mewujudkan keharmonian.”

Dr Farouk (gambar, kiri) berkata, jika kerajaan ikhlas mengukuhkan Islam dan undang-undang syariah, ia perlu menumpukan usaha memastikan syariah di Malaysia mencerminkan maksud sebenar perkataan itu.

“Seluruh tujuan syariah sebenarnya mengekal dan menggalakkan kebaikan untuk manusia. Oleh itu, ia adalah sama dengan maksud mana-mana undang-undang di dunia. Tetapi itu tidak berlaku di Malaysia.”

Beliau percaya kenyataan Zahid hanyalah percubaan mendapatkan sokongan agar umat Islam terus berkuasa.

“Saya tidak melihat apa-apa keikhlasan dalam kerajaan, kerana saya tidak melihat sebarang peningkatan dalam undang-undang syariah semasa kita.

“Jika kita tidak dapat melaksanakan undang-undang asas keluarga, bagaimana kita boleh mengharapkan mereka secara betul dapat menyelaraskan undang-undang syariah dan sivil?”

Peguam Syahredzan Johan (gambar, kanan) berkata, daripada sudut undang-undang, beliau tidak nampak bagaimana kedua-dua set undang-undang itu boleh “diharmonikan”, kerana undang-undang syariah berkait dengan kes yang sangat khusus dan hanya terpakai kepada umat Islam.

Beliau berkata, Zahid seperti mencadangkan agar kedua-dua undang-undang itu digabungkan, tetapi beliau merasakan ia tidak sepatutnya berlaku kerana akan bercanggah dengan perlembagaan.

“Jika dua jenis mahkamah itu hendak digabungkan secara aktif, kita tidak mahu ia terjadi. Perlembagaan Persekutuan memisahkan keduanya dan memberi bidang kuasa kepada setiap negeri menggubal undang-undang Islam mengikut kesesuaian masing-masing.

“Tetapi, jika beliau bercakap tentang keputusan mahkamah sivil tertentu yang menyentuh perkara berkaitan mahkamah syariah, maka itu tidak mengapa.

“Namun jika ia menyentuh isu perlembagaan, ia perlu diserahkan kepada mahkamah sivil. Mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa itu.”

Syahredzan berkata, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan membetulkan keadaan di mana kedua-dua mahkamah mengeluarkan keputusan bercanggah.

Beliau memberi contoh kes seorang daripada pasangan bukan Islam masuk Islam dan cuba mendapatkan hak penjagaan anak melalui mahkamah syariah.

“Timbul juga keadaan di mana terdapat 2 arahan – satu yang dibuat mahkamah syariah dan satu lagi, mahkamah sivil. Inilah isu sebenarnya: bagaimana menyelesaikan konflik ini. Bukannya mengharmonikan undang-undang.” – 30 Oktober, 2015.

 

Pautan Artikel-Artikel Bahasa Inggeris