Warga Sarawak beri ibu S$12.80 sebelum jalani hukuman gantung

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/11/05/warga-sarawak-beri-ibu-s12-80-sebelum-jalani-hukuman-gantung/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Perkara pertama Kho Jabing buat apabila ibu dan kakaknya tiba dari Miri, Sarawak untuk melawatnya di penjara di Singapura minggu lepas, ialah memberi mereka satu-satunya harta miliknya – S$12.80 (RM38.50) hasil kerjanya selama 8 tahun sebagai banduan.

“Bila dia nampak kami, dia beri kami wang itu, dan katanya, ini pemberian pertama dan terakhir darinya,” kata adik Jabing, Jumai.

Jabing, 31, dijadualkan menjalani hukuman gantung di Singapura pada waktu subuh esok.

“Dia bekerja untuk mendapatkan wang itu selama 8 tahun dalam penjara, dan dia menyimpan wang itu supaya dia boleh memberikan sesuatu kepada ibu kami,” kata Jumai kepada The Malaysian Insider dalam temu bual telefon lewat Rabu.

Jumai berada di Singapura dengan ibunya sejak 26 Oktober selepas mereka mendapat tahu peluang terakhir Jabing untuk menerima pengampunan ditolak.

 

Ibu dan kakak kepada warga Sarawak, Kho Jabing yang akan menjalani hukuman mati tiba dari Miri, untuk melawatnya di penjara di Singapura minggu lepas. – Gambar theonlinecitizen.com, 5 November, 2015.

Jabing, daripada suku kaum Iban dan berketurunan Cina, tiba di Singapura pada 2007 untuk bekerja.

Dia ditangkap pada tahun sama kerana mencederakan Cao Ruyin, yang meninggal dunia akibat kecederaan selepas satu kes rompakan tidak menjadi.

Pada 2010, Jabing didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh.

Kesnya bagaimanapun dihantar ke Mahkamah Tinggi Singapura pada 2013 untuk dijatuhkan hukuman semula selepas negara tersebut mengkaji semula undang-undang hukuman mati mandatori mereka pada 2012.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman semula ke atas Jabing, iaitu penjara seumur hidup dan 24 sebatan, tetapi kegembiraan keluarganya tidak kekal lama selepas hukuman itu dibatalkan dan hukuman mati dikenakan semula oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 19 Oktober, peluang terakhir Jabing terus tertutup apabila Presiden Singapura Tony Tan menolak rayuan pengampunan.

Kumpulan hak asasi antarabangsa Amnesty International, bersama pelbagai organisasi lain termasuk kumpulan anti hukuman mati Singapura, We Believe in Second Chances, terus merayu kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan, dari Malaysia dan Singapura untuk menghentikan pelaksanaan hukuman itu.

“Amnesty International Malaysia bukan bertujuan meremehkan keseriusan jenayah Kho Jabing, mahupun akibatnya,” kata Pengarah Eksekutif Sharmini Darshni dalam satu kenyataan awal minggu ini.

“Bagaimanapun, pengenaan semula hukuman mati oleh Mahkamah Rayuan dengan keputusan hakim yang berpecah pada 3-2, atas dasar pembinaan semula fakta tidak jelas menimbulkan persoalan lebih serius: ia membuatkan pengampunan, satu perlindungan penting yang wajar, lebih-lebih lagi menarik.”

Jumai berkata, kerajaan Malaysia secara umumnya tidak menunjukkan sokongan dalam hal membuat rayuan pengampunan.

“Ia sangat, sangat mengecewakan. Kami rakyat Malaysia, tetapi kami mendapat bantuan yang sangat sedikit daripada negara sendiri dalam rayuan untuk kes abang saya,” kata Jumai.

“Apa yang kami minta hanya supaya abang saya selamat. Supaya memberinya satu lagi peluang meneruskan kehidupan.”

Namun, walaupun harapan semakin tipis, Jumai, 27, berkata keluarganya masih berpegang kepada peluang kerajaan Singapura akan memaafkan abangnya, mungkin pada saat-saat akhir.

“Sudah tentu dia masih berharap kerajaan Singapura akan memaafkan dia, tetapi jika tidak, dia reda,” kata Jumai, yang sudah beberapa kali ke Singapura bersama ibunya tahun ini, menyampaikan surat rayuan kepada kerajaan itu.

Jumai dan ibunya akan dapat menghabiskan masa bersama abangnya selama 4 jam hari ini, mungkin kali terakhir pertemuan mereka. – 5 November, 2015.