Keluarga lelaki tunggu hukuman mati di Singapura minta bantuan ahli Parlimen Sarawak

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/11/10/keluarga-lelaki-tunggu-hukuman-mati-di-singapura-minta-bantuan-ahli-parlimen-sarawak/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Ibu Kho Jabing, Lenduk dan adik, Jumai kini sedang berusaha mendapatkan bantuan ahli Parlimen Sarawak dalam usaha meringankan hukuman mati terhadap Jabing. – Gambar Facebook, 10 November, 2015.

Susulan penangguhan pelaksanaan hukuman gantung ke atas warga Sarawak, Kho Jabing di Singapura, ahli keluarganya akan datang ke Kuala Lumpur esok sebagai usaha terakhir mendapatkan sokongan daripada wakil rakyat supaya meneliti kesnya dan merayu diringankan hukuman.

Hukuman ke atas Jabing, 31, ditangguhkan Mahkamah Rayuan Singapura Khamis lalu, kurang 24 jam sebelum dia dijadualkan dihukum gantung di Penjara Changi kerana menyebabkan kematian warganegara China Cao Ruyin pada 2007.

Adik Jabing, Jumai dan ibunya, Lenduk, dijangka tiba di Kuala Lumpur esok bagi bertemu wakil rakyat Sarawak, kata peguam Malaysia Ngeow Chow Ying.

“Saya sudah cuba membantu menguruskan pertemuan mereka dengan seberapa ramai yang mungkin ahli Parlimen dari Sarawak,” kata Ngeow yang dihubungi kumpulan anti hukuman mati Singapura, We Believe in Second Chances, 2 minggu lalu bagi mendapatkan bantuan untuk keluarga Jabing.

Beberapa orang wakil rakyat yang ahli pasukannya berjaya hubungi setakat ini “tidak begitu positif” dalam menunjukkan sokongan kepada Jabing, kata beliau.

Keluarga itu juga berharap dapat bertemu dengan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketua Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), bagi menyerahkan surat rayuan untuk negara Asean, meminta sokongan mereka kepada pengampunan Jabing.

Ngeow juga merupakan peguam kepada seorang rakyat Malaysia, Yong Vui Kong, pengedar dadah yang menunggu hukuman mati yang pertama berjaya meringankan hukuman ke atasnya kepada penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan pada November 2013.

Keringanan itu mengikut pindaan kepada undang-undang hukuman mati di Singapura pada 2012.

Beliau berkata tahap sokongan awam, kerajaan dan masyarakat antarabangsa bagi Yong, 24, adalah lebih besar berbanding Jabing, sambil mengakui kes warga Sarawak berketurunan Cina dan Iban ini adalah “lebih rumit”.

“Bagi Vui Kong, kami dapat banyak liputan media. Ramai yang tandatangan petisyen supaya beliau diampunkan dan terdapat juga tekanan daripada pihak antarabangsa,” kata Ngeow.

“Tetapi, disebabkan kes Jabing melibatkan pembunuhan atau rompakan yang berakhir dengan pembunuhan, susah hendak dapatkan sokongan orang ramai. Ahli Parlimen juga teragak-agak untuk beri sokongan,” katanya.

Keraguan mengenai sabitan

Bagaimanapun Ngeow berkata, penting untuk ditekankan, terdapat “banyak keraguan” di dalam butir-butir sabitan kes bunuh Jabing, yang merupakan sebab mengapa kumpulan hak asasi dan peguam percaya dia harus dilepaskan daripada hukuman gantung.

Mahkamah Tinggi Singapura mengkaji semula kes Jabing dan memutuskan beliau dipenjara seumur hidup dan dikenakan 24 sebatan pada 2014, tetapi kelegaan keluarganya tidak kekal lama selepas hukuman mati dikenakan semula Mahkamah Rayuan.

Presiden Singapura Tony Tan kemudian menolak rayuan pengampunannya pada 19 Oktober.

Keputusan Mahkamah Rayuan pada Khamis lepas menjadi satu kejutan kepada ramai aktivis hak asasi, yang mengatakan ia tidak pernah berlaku dalam sejarah Singapura di mana pelaksanaan hukuman gantung ditangguhkan pada saat akhir sebegini.

Walaupun keluarganya menaruh harapan agar mendapat lebih banyak sokongan orang ramai dan kerajaan dalam masa tambahan pada mereka perolehi ini, Ngeow cepat memberi amaran supaya tidak terlalu yakin tentang keberkesanan diplomasi dalam menolak pengampunan.

“Kerajaan Malaysia kemungkinan besar tidak akan membuat petisyen bagi Jabing, paling kuat pun, mereka akan menulis surat rayuan,” kata Ngeow, memetik pematuhan Malaysia kepada dasar tidak campur tangan Asean.

“Berdasarkan pengalaman, peluang sangat tipis untuk kerajaan Singapura menaruh belas kasihan hanya kerana adanya tekanan diplomatik,” katanya.

Peguam Jabing mempunyai sehingga 23 November untuk membentangkan Usul Krisis bagi kes beliau yang akan dikemukakan semula.

Pengarah We Believe in Second Chances, Priscilla Chia berkata, jika mahkamah memutuskan untuk menolak usul itu, Jabing akan menjadi rakyat Malaysia pertama yang digantung di Singapura sejak 2011.

Organisasi itu merupakan salah satu penyokong kuat Jabing, membantu menyediakan khidmat peguam dan juga sokongan kewangan kepada keluarganya sepanjang mereka berada di Singapura. – 10 November, 2015.

 

Pautan Artikel-artikel Berkenaan