Siasatan ambil masa dua minggu

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/11/13/siasatan-ambil-masa-dua-minggu/
SHARE

Sumber: Utusan Online

BENTONG 12 Nov. – Kementerian Kerja Raya akan berbincang de­ngan kerajaan negeri bagi mencari punca sebenar kejadian banjir lumpur di Kilometer 52.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak semalam bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerjasama itu bagi melihat secara menyeluruh berhubung kejadian itu termasuk kemungkinan berlaku aktiviti pene­bangan hutan yang tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Menurutnya, siasatan tentang kejadian banjir lumpur itu dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu memandangkan kawasan siasatan yang agak jauh dan berbukit.

Beliau yang tidak menolak kemungkinan terdapat aktiviti pene­bangan hutan, berharap tindakan tegas diambil jika terdapat kegiatan berkenaan yang tidak mengikut garis panduan ditetapkan di kawasan hutan berhampiran.

“Melihat kepada laporan awal daripada Anih Berhad, kita menjangkakan ia bukan sahaja berpunca daripada banjir lumpur tetapi mungkin ada aktiviti jauh di tengah hutan yang menyebabkan aliran air membawa serpihan yang banyak termasuklah balak sehingga melimpah ke lebuh raya ini.

“Saya akan berbincang de­ngan Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan kerajaan negeri Pahang bagi melihat punca sebenar kejadian itu untuk kita mencari penyelesaian,” katanya selepas melakukan tinjauan di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Menurut Fadillah, demi keles­tarian masa depan negara, pembangunan infrastruktur seharus­nya tidak mengetepikan keadaan sekeliling dengan mematuhi peraturan ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan pembangunan bukan sahaja tidak merosakkan alam sekitar tetapi tidak mendatangkan risiko dan bahaya kepada orang ramai.

Ditanya tindakan yang akan diambil sekiranya terdapat aktiviti penebangan hutan secara haram, beliau berkata, Jabatan Perhutanan perlu mengambil tindakan tegas supaya perkara menyalahi undang-undang itu tidak terus berlaku.

“Apa yang boleh dilakukan ha­nya langkah pencegahan sementara tetapi untuk jangka panjang, kita sebagai sebuah kerajaan sama ada negeri mahupun Persekutuan kena bekerjasama memastikan semua garis panduan sedia ada dipatuhi bagi menjamin kelesta­rian infrastruktur serta perhutanan kita,” katanya.

Fadillah berkata, pada masa ini, usaha pembersihan sedang giat dijalankan dan beliau menjangkakan kedua-dua arah jalan ini akan dibuka dalam tempoh dua hari.

Sehubungan itu, beliau memin­ta pengguna jalan raya menggunakan jalan alternatif yang diumumkan oleh pihak lebuh raya bagi mengelakkan kesesakan.