Putrajaya bentang pindaan mansuh hukuman mati mandatori pada Mac

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/11/17/putrajaya-bentang-pindaan-mansuh-hukuman-mati-mandatori-pada-mac/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Death Penalty

Death Penalty

Putrajaya dijangka akan membentangkan di Parlimen cadangan pindaan undang-undang bagi memansuhkan hukuman mati mandatori atas salah laku membabitkan dadah ketika sidang Dewan Rakyat pada Mac tahun hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukry.

Katanya, keputusan itu diambil selepas persetujuan daripada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Saya sudah bincang dengan AG (peguam negara) dan beliau bersetuju.

“Saya harap ia boleh dibentangkan dalam sidang tahun depan pada Mac,” kata Nancy pada sidang media di lobi Parlimen selepas mesyuarat Parliamentary for Global Action (PGA) berkenaan “Parliamentary Rountable on the Abolition of the Death Penalty in Malaysia”. 

Turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang juga pengerusi PGA.

Nazri berkata, cadangan pindaan yang akan dilakukan tidak menjadikan hukuman berkaitan dadah mandatori dan terpulang kepada budi bicara hakim.

“Sebagai permulaan, kita lihat pemansuhan hukuman gantung sampai mati bagi kes yang tidak melibatkan salah laku jenayah, seperti kesalahan berkaitan dadah,” katanya.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan, Apandi berkata, beliau akan mencadangkan kepada Kabinet hukuman mati mandatori dimansuhkan, supaya hakim diberi pilihan antara menjatuhkan hukuman penjara ke atas seseorang atau menghantarnya ke tali gantung.

Beliau berkata hukuman mati mandatori adalah “paradoks”, kerana ia merampas daripada hakim hak menggunakan budi bicara mereka bagi mengenakan hukuman ke atas penjenayah yang disabitkan kesalahan.

“Jika saya dibenarkan ikut cara saya, saya akan memperkenalkan opsyen untuk hakim dalam kes di mana ia melibatkan hukuman mati. Beri pilihan kepada hakim sama ada untuk menggantung atau menghantar dia ke penjara.

“Kemudian kami sedang berusaha ke arah pentadbiran keadilan jenayah yang baik,” Apandi memberitahu The Malaysian Insider dalam satu temu bual eksklusif.

Beliau berkata ini adalah sejajar dengan “pemikiran sejagat” mengenai hukuman mati, walaupun beliau menafikan meminta hukuman mati dihapuskan sama sekali.

“Bukan untuk mengatakan saya menyokong sepenuhnya penghapusan hukuman mati, tetapi sekurang-kurangnya kita lakukan secara berperingkat. Kami ambil langkah demi langkah,” katanya.

Hukuman mati mandatori dikenakan di Malaysia dalam kes-kes melibatkan pembunuhan, kesalahan senjata api tertentu, pengedaran dadah dan penderhakaan.

Pada Mei, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar dilaporkan berkata kira-kira 1,043 banduan sedang menunggu hukuman mati, dengan ramai yang menunggu keputusan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan atau Lembaga Pengampunan.

Beliau dilaporkan berkata, 46% daripada mereka yang menunggu pelaksanaan hukuman mati disabitkan atas kesalahan berkaitan dadah. – 17 November, 2015.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris