Hukuman sebat kanak-kanak akan dimansuhkan dalam pindaan akta

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/12/02/hukuman-sebat-kanak-kanak-akan-dimansuhkan-dalam-pindaan-akta/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat cadang pindaan kepada Akta Kanak-kanak 2001 selaras dengan perkembangan isu semasa, selepas 13 tahun akta itu dilaksanakan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Disember, 2015.

Putrajaya membentangkan pemansuhan hukuman sebatan kepada kanak-kanak melakukan kesalahan jenayah yang dilaksanakan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) dimansuhkan dalam pindaan Akta Kanak-Kanak 2001.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim pada sidang media di Parlimen hari ini berkata, selain itu, pindaan berkenaan turut memasukkan Perintah Khidmat Masyarakat (CSO) diperkenalkan untuk dilaksanakan kanak-kanak yang ada konflik dengan undang-undang (kanak-kanak yang melakukan kesalahan jenayah) dan pesalah dewasa (ibu bapa/penjaga) yang mendera atau mengabaikan kanak-kanak.

“Setelah 13 tahun Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dilaksanakan,  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan pindaan kepada akta tersebut dengan mengambilkira isu-isu semasa yang berkaitan dengan kanak-kanak seperti peningkatan kes kecuaian ibu bapa dalam penjagaan kanak-kanak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, hukuman itu bertujuan supaya pesalah yang bertanggungjawab, selain daripada dikenakan hukuman penjara dan denda, boleh diberi pemulihan atau rehabilitasi dengan melakukan kerja komuniti, kaunseling dan program keinsafan serta keibubapaan.

“Penempatan kanak-kanak dalam “Penjagaan Berasaskan Keluarga” bagi yang memerlukan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan, termasuk yang menjadi mangsa dera, abai dan tidak terkawal,” katanya.

Selain itu, Rohani berkata, mahkamah hendaklah memberi keutamaan kepada penjagaan berasaskan keluarga semasa mengeluarkan perintah perlindungan kepada kanak-kanak.

“Perintah penempatan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hendaklah dijadikan pilihan terakhir melainkan untuk kepentingan kanak-kanak,” katanya.

Selain itu, katanya, hukuman denda dan pemenjaraan ditingkatkan termasuk bagi kesalahan di bawah Seksyen 31 iaitu mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak di mana denda dinaikkan kepada RM50,000 dan hukuman penjara ditambah kepada 20 tahun.

Pindaan tersebut katanya akan dikuatkuasakan pihak JKM, polis dan Jabatan Penjara setelah Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 ini diluluskan Parlimen.

“Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) digubal bagi mengadakan suatu undang-undang yang khusus dan komprehensif mengenai kanak-kanak.

“Akta 611 diwartakan pada 2001 dan mula dikuatkuasakan pada 2002,” kata Rohani. – 2 Disember, 2015.

 

Pautan Artikel-artikel Bahasa Inggeris