Demi Kepentingan Keselamatan Negara – Robyn Choi

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/12/10/demi-kepentingan-keselamatan-negara-robyn-choi/
SHARE

Terbitan Istimewa HAKAM sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2015
#HAKAM-MMO Human Rights Day 2015 project

DEMI KEPENTINGAN KESELAMATAN NEGARA
(Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015)

Karangan ROBYN CHOI

Kerajaan bertanggungjawab pada setiap masa untuk menegakkan dan mempertahankan hak-hak rakyat untuk keadilan, kesaksamaan, kebebasan dan maruah,” – Raja Aziz Addruse

Berita Terkini:
1 Disember 2015: Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 – DR 38/2015 (“RUU – MKN 2015”) dibentangkan di Parlimen
3 Disember 2015: RUU – MKN 2015 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada jam 10.55 malam.
3 Disember 2015: Perdana Menteri (PM) dan seorang menteri cabinet menafikan terdapatnya apa-apa kebimbangan keselamatan, malah Ketua Polis Negara juga mengesahkan yang keadaan dalam negeri Malaysia cukup selamat untuk bermain tuan rumah kepada satu pertandingan skuasy antarabangsa.

The NSC Bill was passed last Thursday in the Dewan Rakyat by a vote of 107 for and 74 against. — Picture by Saw Siow Feng

The NSC Bill was passed last Thursday in the Dewan Rakyat by a vote of 107 for and 74 against. — Picture by Saw Siow Feng

Sebaik sahaja dibentangkan, RUU – MKN 2015 menerima kecaman hebat dari kumpulan masyarakat sivil, terutamanya dari badan-badan hak asasi manusia, Majlis Peguam Malaysia dan warga-warga Internet (“netizens”). RUU – MKN 2015 dikatakan merbahaya dan bercanggah dengan peruntukkan Perlembagaan, serta diperumpamakan sebagai alat penindasan, serangan ke atas demokrasi dan merupakan satu pencabulan hak-hak asasi manusia. Memandangkan peristiwa-peristiwa baru-baru ini yang menyentuh kepada 1MDB, isu “derma RM2.6bil” serta pendakwaan pengkritik dan pemberi maklumat (“whistle-blowers”), maka wujudlah kebimbangan munasabah yang RUU – MKN 2015 akan memperkenalkan pemerintahan diktator (“dictatorship rule”) ataupun negara pentadbiran polis (“police state”).

Ketika membela RUU – MKN 2015, Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim menyatakan yang rang undang-undang ini tidak mencabuli hak-hak asasi manusia dan ia diperlukan untuk membolehkan penyelarasan yang lebih teratur serta tindak balas yang seragam sekiranya Malaysia dilanda ancaman keselamatan negara.

Penelitian RUU – MKN 2015 mendedahkan seperti berikut:

a) Ianya mencabuli hak asasi manusia dan hak-hak kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan orang-orang yang terlibat dalam ‘kawasan keselamatan’ (“security areas”) apabila langkah-langkah yang diperkuatkuasakan adalah bersifatkan undang-undang ketenteraan seperti perintah berkurung, pemindahan, penangkapan atau pemberkasan orang, penggeledahan premis dan penyitaan harta tanpa waran dan lain-lain. Hak-hak asasi manusia yang diabaikan melalui RUU – MKN 2015 juga termasuk hak untuk hidup dan secara bebas, kebebasan pergerakan jalan, hak milikan hartanah, kebebasan bersuara, serta kebebasan untuk berhimpun dan berkumpul.

b) Ianya tidak setakat membolehkan penyelarasan, tetapi memperkenankan penguasaan kawalan. Penguasaan kawalan dan penyelarasan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia dipakai sebaik sahaja majlis ini diwujudkan, selagi ianya melibatkan operasi keselamatan negara dan hal-hal keselamatan negara.


Mustahak Dipersoalkan

Memandangkan kesan monumental yang dijangka melalui kelulusan RUU – MKN 2015, maka adalah mustahak bagi rakyat Malaysia untuk mempersoalkan niat kerajaan dalam memperkenalkan rang undang-undang ini.

Apakah skop ‘keselamatan negara’ yang dipertimbangkan di bawah RUU – MKN 2015? Apakah ancaman atau bahaya segera yang perlu ditangani melalui RUU – MKN 2015? Adakah undang-undang yang sedia ada tidak mencukupi untuk tujuan ini? Bagaimanakah RUU – MKN 2015 memanfaatkan warganegara Malaysia? Penyata Penjelasan kepada RUU – MKN 2015 tidak menunjukkan apa-apa jawapan kepada soalan-soalan ini.

Tambahan pula, kenapa Kerajaan semestinya mengegaskan kelulusan melalui Parlimen suatu rang undang-undang yang begitu substantif dan kontroversi?

Bolehkah Parlimen melalui RUU – MKN 2015 menyerahkan kuasa tidak terhad kepada PM dan MKN untuk mengawal dan menyelaras semua atau mana-mana badan kerajaan (Persekutuan dan Negeri) dalam hal-hal operasi keselamatan negara? 107 Ahli Parlimen mengundi YA.

Bolehkah MKN, hanya dengan menggunakan kata-kata laluan ‘ancaman keselamatan negara’ dan ‘kawasan keselamatan’, menafikan hak-hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan? 107 Ahli Parlimen mengundi YA.

 

107 Ahli Parlimen mengundi meluluskan RUU – MKN 2015

Adakah isu-isu berikut tidak penting?

[1] RUU – MKN 2015 boleh dikatakan cacat, dan bercanggah dengan peruntukkan-peruntukkan perlindungan hak-hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Malah RUU – MKN 2015 juga mengatasi peruntukkan-peruntukkan perlembagaan berkaitan dengan kuasa-kuasa darurat, di mana ianya membolehkan langkah-langkah berupa penguatkuasaan ketenteraan tanpa apa-apa pengistiharan darurat atau tanpa perkenaan oleh Yang di-Pertuan Agong.

[2] Tanpa mengira peruntukan Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang lain, RUU – MKN 2015 membolehkan MKN mengarah mana-mana badan kerajaan (Persekutuan ataupun Negeri) berkenaan hal-hal ‘keselamatan negara’.

[3] Bagi ‘operasi keselamatan negara’ pula, di bawah RUU – MKN 2015, MKN berhak mengambilalih kawalan dan kuasa mana-mana badan kerajaan (seperti Bank Negara, SPRM, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihanraya, Perbendaharaan Negara). Malah tidak terdapat peruntukkan yang kuasa-kuasa ini hanya boleh digunakan jikalau berlakunya ancaman ke atas keselamatan negara.

[4] Frasa ‘keselamatan negara’ tidak ditakrifkan di dalam RUU – MKN 2015, ‘operasi’ dan ‘hal-hal’ berkaitan dengan ‘keselamatan negara’ pun tidak dijelaskan.

[5] Tanpa mengira peruntukkan Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang lain, RUU – MKN 2015 membolehkan MKN membentuk polisi dan arahan ke atas apa-apa langkah-langkah berkenaan dengan ‘keselamatan negara’. Ini termasuk kedaulatan negara, keutuhan wilayah, pertahanan negara, kestabilan sosio-politik, kestabilan ekonomi, sumber-sumber strategik, perpaduan nasional, dan kepentingan-kepentingan lain berhubungan keselamatan negara.

[5] RUU – MKN 2015 membolehkan PM mengisytiharkan mana-mana kawasan – besar, kecil, swasta atau awam – sebagai “kawasan keselamatan” dan seterusnya menguatkuasakan langkah-langkah berupa undang-undang ketenteraan seperti perintah berkurung, pemindahan, pengambilalihan milik tanah dan harta, dan lain-lain.

[6] Tanpa mengira peruntukkan Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang lain, RUU – MKN 2015 memberi kuasa kepada MKN untuk menjalankan, tanpa waran, penangkapan atau pemberkasan orang, penggeledahan premis dan penyitaan harta di dalam ‘kawasan keselamatan’.

[7] RUU – MKN 2015 membolehkan PM dengan sendirinya menggubal peraturan-peraturan berkenaan ‘kawasan keselamatan’ – bagi memindahkan sesiapa atau apa-apa benda, bagi melarang apa-apa tindakan atau aktiviti, bagi mengambilalih apa-apa harta (termasuk tanah, bangunan, harta mudah alih) dan bagi peruntuhan atau pemusnahan apa-apa bangunan atau struktur.

[8] RUU – MKN 2015 membolehkan PM menggubal peraturan-peraturan yang menentukan kesalahan dan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 dan / atau penjara tidak melebihi 5 tahun ke atas apa-apa tindakan atau peninggalan tindakan yang sebelumnya sah di sisi undang-undang.

[9] Tanpa mengira peruntukkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain, RUU – MKN 2015 memberi kuasa kepada seorang Majistret untuk menolak apa-apa permohonan siasatan ke atas punca kematian seseorang yang terbunuh di dalam satu ‘kawasan keselamatan’ berdasarkan alasan yang si-mati terbunuh akibat operasi Pasukan Keselamatan dalam menguatkuasakan apa-apa undang-undang bertulis.

[10] Keahlian MKN terdiri daripada PM dan 7 orang-orang lain yang boleh digantikan atas arahan PM pada bila-bila masa.

[11] Tingkah-laku MKN ini tidak tertakluk kepada apa-apa pengawasan.

[12] Tiada apa-apa tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap mana-mana ahli MKN dan agen-agen MKN (termasuk Pasukan Keselamatan) selagi tindakan yang diambil atas nama MKN adalah secara suci hati.

[13] MKN, selepas ditubuhkan di bawah Akta Majlis Keselamatan Negara 2015, mempunyai hayat berterusan sehingga ianya dibubarkan melalui pemansuhan akta.

Adakah Malaysia berada di dalam keadaan peperangan, darurat atau ancaman berterusan sehingga penubuhan MKN yang begitu berkuasa disarankan?

RUU – MKN 2015 telahpun diperkatakan sebagai “amat menakutkan” bagi setiap warganegara Malaysia. Ini memang benar, sebab undang-undang yang bersifat kerterlaluan dan kekurangan batasan seperti RUU – MKN 2015 ini boleh dianggapkan sebagai cabaran terhadap dasar sebuah negara demokrasi berparlimen bebas.

 

Keselamatan Negara Kita

Keselamatan negara seharusnya ditakrif dalam konteks keselamatan rakyat serta kebajikan dan kebahagiaan rakyat, berdasarkan prinsip-prinsip kebebasan dan keadilan (sepertimana diisytiharkan di dalam ucapan Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957). Kesemua unsur-unsur ini termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan menjaminkan hak-hak dan kuasa-kuasa Raja-Raja, hak-hak asasi serta unsur-unsur perlindungan yang mempertahankan sistem demokrasi berparlimen. Unsur-unsur perlindungan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang mementingkan keseimbangan kuasa merupakan kunci kepada keselamatan negara.

Sepanjang 30 tahun yang lalu, perlindungan-perlindungan di dalam Perlembagaan Persekutuan telah dikikis oleh Kerajaan melalui pindaan perlembagaan bertubi-tubi (yang paling dahsyat adalah pindaan pada tahun 1988 kepada Perkara 121 yang menyekat kuasa dan bidangkuasa Mahkamah Tinggi) dan juga melalui undang-undang seperti Akta Pencegahan Keganasan 2015 (“Prevention of Terrorism Act 2015 (POTA)”), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (“Security Offences (Special Measures) Act 2012 (SOSMA)”), Akta Multimedia dan Komunikasi 1998, Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta pindaan kepada Akta Hasutan 1948.

Keselamatan negara kita memang diancam, bukan oleh unsur-unsur luar, tetapi oleh tindakan berterusan yang membawa kepada penghakisan hak-hak asasi rakyat Malaysia. Kebebasan bersuara, kesaksamaan, keadilan dan maruah rakyat kini nampaknya tidak dijamin.

Keselamatan negara kita memang diancam kerana ekonomi negara disabotaj oleh rasuah dan pencurian.

Ancaman sebenar kepada keselamatan negara disebabkan kegagalan institusi-institusi negara, insiden-insiden rasuah dan jenayah yang semakin berleluasa, sengketa perkauman yang kerap bertambah, ketaksuban agama dan penolakan forum wacana intelek awam.

Bak kata pepatah Benjamin Franklin: Mereka yang rela mengalah dan melepaskan kebebasan penting semata-mata untuk meraih perasaan keselamatan sementara adalah tidak berhak menikmati kebebasan mahupun keselamatan.

Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 patut ditolak.

 

*Robyn Choi ialah Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia – HAKAM

>>Read English version

TakNakDiktator-Banner

 

>>Artikel versi Bahasa Inggeris MMO