TPPA Memperdagangkan Hak-Hak Asasi Manusia? – Karina Yong

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/12/11/tppa-memperdagangkan-hak-hak-asasi-manusia-karina-yong/
SHARE

Terbitan Istimewa HAKAM sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2015
#HAKAM-MMO Human Rights Day 2015 project

ADAKAH PERJANJIAN PERKONGSIAN TRANS-PASIFIK (TPPA) MEMPERDAGANGKAN HAK-HAK ASASI MANUSIA?

Karangan KARINA YONG

Pic taken from FMT News

Pic taken from FMT News

Bayangkan:

Ubat untuk barah berjaya dihasilkan tetapi tidak ramai yang boleh mendapatkannya kerana ubat tersebut sengaja dijadikan tidak mampu diperolehi;

Anda dulunya gembira kerana syarikat yang mengendalikan loji pemprosesan nadir bumi (‘rare earth’) di kawasan kejiranan anda telah diperintahkan oleh kerajaan (AKHIRNYA!) untuk menghentikan operasinya yang menyebabkan para penduduk dilanda penyakit. Kini, anda mendapat tahu bahawa loji tersebut akan memulakan semula operasinya meskipun kerajaan telah mengeluarkan perintah henti kerja tersebut. Kerajaan juga terpaksa membayar gantirugi kepada syarikat tersebut daripada wang rakyat kerana mengeluarkan perintah henti kerja!

 

HAK YANG TERJEJAS

Ini hanyalah dua daripada pelbagai kebimbangan hak asasi manusia yang bakal membelenggu Malaysia jika kita menandatangani TPPA.

Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluahkan kebimbangan mengenai kesan mudarat TPPA terhadap:

  • hak kesihatan dan hak kehidupan, terutamanya kerana tiada akses kepada ubat-ubatan penting;
  • hak bekerja dan hak di tempat kerja;
  • hak untuk menikmati taraf hidup yang memadai, termasuk akses kepada tempat tinggal, makanan dan air;
  • hak terhadap harta intelek;
  • hak kumpulan minoriti tertentu dan kewajipan negara untuk melindungi mereka: contohnya kanak-kanak, terutamanya yang miskin, dan orang asli.

Hanya kira-kira 5 atau 6 daripada 30 bab dalam TPPA sebenarnya menangani isu-isu yang secara tradisi dianggap isu perdagangan misalnya penurunan tarif.

Bab 9 mengenai pelaburan dan mekanisme penguatkuasaannya, iaitu Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (‘Investor State Dispute Settlement’ (ISDS)), mendedahkan bahawa pelabur-pelabur asing di Malaysia akan diberikan satu kaedah tuntutan gantirugi undang-undang yang baru. Mereka juga diberi hak perlindungan luar biasa terhadap pelaburan dan keuntungan mereka. Kedua-dua hak perlindungan tersebut akan memudaratkan dasar pembangunan kita.

Contoh tuntutan-tuntutan yang telah dibawa atas perjanjian perdagangan bebas lain yang mengandungi hak-hak yang hampir serupa dengan ISDS:

  • Tuntutan guaman oleh Renco, sebuah syarikat dari Amerika Syarikat terhadap Peru untuk gantirugi sebanyak USD$800 juta kerana kontraknya tidak dilanjutkan di negara Peru. Kontrak tidak dilanjutkan kerana operasi Renco mengakibatkan kerosakan alam sekitar dan kesihatan yang teruk;
  • Veolia, sebuah syarikat dari Perancis, membuat tuntutan terhadap Mesir kerana kemudaratan yang dialaminya ekoran kenaikan gaji minimum daripada 400 hingga 700 paun Mesir ($56 hingga $99). Gaji minimum adalah salah satu konsesi yang berjaya diperolehi oleh pekerja bergaji semasa Revolusi Arab (Arab Spring) 2011;
  • Eli Lilly, kumpulan farmaseutikal yang kelima terbesar di AS, menuntut pampasan berjumlah sekitar USD$490 juta kerana Mahkamah Kanada mengesahkan undang-undang paten Kanada dan membuat keputusan memihak kepada pengeluar ubat-ubatan generik, yang menjadikan ubat lebih murah dan lebih mudah diperolehi oleh rakyat Kanada.

Baru beberapa minggu yang lalu, selepas berbulan-bulan penafian dibuat oleh Tok Pa (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed) dan pelbagai pihak berkuasa kerajaan lain, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengakui bahawa harga ubat bakal naik di bawah TPPA.

Apakah yang akan terjadi kepada sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia, yang meskipun kelemahannya, telah berjaya menyediakan perkhidmatan perubatan kepada segolongan besar rakyat Malaysia? Degan TPPA, nasib yang sama seperti Jordan dan negara lain dengan undang-undang IP yang serupa akan meimpa Malaysia dan kestabilan kewangan bagi program kesihatan negara kita juga akan terancam?

 

BAB PELABURAN DAN ISDS

tppa_graphic_bahasa_101015Bab pelaburan dalam TPPA mengandungi pelbagai masalah: definisi pelaburan yang luas digabungkan dengan klausa-klausa mengenai perampasan dan tahap perlakuan minimum (‘minimum standard of treatment’) (MST) bererti pelabur asing boleh mendakwa kerajaan kita meskipun tiada pengambilalihan atau rampasan aset yang berlaku. Pelabur asing boleh menuntut pampasan jika kerajaan Malaysia memperkenalkan dasar baru yang menjejaskan “jangkaan” mereka berkenaan layanan yang sepatutnya diterima.

Dan di manakah mereka boleh membuat tuntutan ini? Penyelesaian Pertikaian Negara–Pelabur (ISDS) memberi hak pelabur untuk memintasi mahkamah kita sendiri dan tuntutan pelabur asing akan dibawa ke tribunal timbangtara antarabangsa, yang paling biasa adalah tribunal ICSID di Bank Dunia.

Kedaulatan kehakiman dan kedaulatan negara kita akan terjejas apabila pelabur asing diberi hak menggunakan tribunal antarabangsa dan sistem undang-undang yang amat berbeza di luar Malaysia dan yang mana keputusan tribunal akan mengikat Malaysia. Undang-undang dan dasar negara Malaysia akan menjadi tertakluk kepada penentuan oleh tribunal antarabangsa seprti ICSID yang memang diketahui sering menyokong pelabur dan memberikan penghakiman pampasan dan kos yang melampau. Kos guaman undang-undang dan timbang-tara puratanya melebihi USD$8 juta bagi setiap pertikaiaan. Tribunal timbangtara antarabangsa biasanya berat sebelah dari segi komposisi anggotanya. Penghakiman pampasan yang diperolehi oleh pelabur boleh dikuatkuasakan melalui rampasan aset milik kerajaan Malaysia yang terletak di luar negara (pendek kata: wang rakyat). Penyelesaian Pertikaian Negara–Pelabur (ISDS) adalah alat yang amat berkuasa.

Beberapa firma peguam (terutamanya dari Amerika Syarikat dan Eropah) menguasai perniagaan timbangtara pelaburan, dan mereka bertindak sebagai peguam dalam satu kes dan hakim penimbangtara dalam kes lain. Firma-firma mereka juga banyak yang diketahui mencari dan menggalakkan pelabur agar membuat tuntutan. Dalam satu kes yang diketahui, salah seorang hakim penimbangtara adalah ahli lembaga pengarah syarikat induk pelabur yang memfailkan kes. Namun, panel siasatan memutuskan bahawa keputusan hakim tersebut akan dikekalkan dan kes tersebut tidak perlu didengar sekali lagi oleh panel lain.

Yang amat dikesali adalah ISDS tidak memberimekanisme rayuan terhadap keputusan tribunal, kerana keputusan tribunal adalah muktamad. Tidak ada juga sistem precedent atau sistem tanggungjawap (accountability) kepada mahakamah tribunal yang lebih tinggi, justeru menjadikan keputusan tribunal dibuat dengan sewenang-wenangnya, dan keputusan suatu tribunal mungkin bercanggah dengan keputusan tribunal lain dalam kes-kes yang berserupa.

Mekanisme ISDS hanyalah untuk pelabur. Kerajaan yang merupakan pihak kepada TPPA tidak dibenarkan membawa tuntutan terhadap pelabur di bawah peruntukan ISDS. 

Alfred de Zayas, seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penggalakkan aturan antarabangsa yang demokratik dan saksama (the promotion of a democratic and equitable international order) berpendapat bahawa kekurangan kebebasan, transparensi dan tanggungjawap tribunal-tribunal ISDS menyebabkan pencabulan prinsip perundangan (prima facie) yang telah ditetapkan oleh Undang-Undang Antrabangsa berkenaan Hak Asasi Manusia, termasuk Artikel 14 ICCPR yang mewajibkan semua tuntutan perundangan diputuskan oleh tribunal yang bebas. (“the apparent lack of independence, transparency and accountability of ISDS tribunals entails a violation (prima facie) of the fundamental principle of legality laid down in international human rights law, including article 14 of the ICCPR, which requires that suits at law be adjudicated by independent tribunals.”)

Bersama-sama dengan beberapa Pelapor Khas PBB lain dan merujuk kepada TPPA dan TTIP, de Zayas membuat kesimpulan bahawa treati serta perjanjian sebegini berkemungkinan besar akan menimbulkan kesan kemunduran keatas perlindungan dan promosi hak asasi manusia, termasuk pengurangan ambang perlindungan kesihatan, keselamatan makanan dan piawaian buruh. Perjanjian sebegini biasanya memenuhi kepentingan perniagaan monopoli farmaseutikal dan memperluaskan perlindungan harta intelek. Oleh yang demikian, beliau menarankan agar negara- negara terlibat mengkaji semula perjanjian dalam rundingan dan memastikan bahawa mereka memupuk dan tidak menghalang hak asasi manusia.

Antara saranan mereka adalah SUPAYA penilaian kesan-kesan terhadap hak-hak asasi [HRIA] dilaksanakan keatas perjanjian perdagangan BIT dan FTA dan bahawa pihak-pihak perjanjian perlu secara terperinci menyatakan bagaimana mereka akan mendukung hak-hak asasi manusia jika perjanjian BIT dan FTA yang dirunding ditandatangai kelak.

 

APAKAH PERLINDUNGANNYA?

Kerajaan Malaysia tidak melaksanakan penilaian kesan hak asasi manusia (HRIA) meskipun seruan oleh pelbagai aktivis dan kumpulan masyarakat sivil termasuk Muhammad Sha’ani Abdullah, mantan Pesuruhjaya SUHAKAM, untuk berbuat demikian. Selanjutnya, analisis Kos-Faedah yang dijanjikan oleh kerajaan Malaysia telah berbulan-bulan ditangguhkan.

MITI cuba meredakan kebimbangan kita dengan berkata bahawa TPPA hanyalah salah satu daripada pelbagai perjanjian bilateral dan perdagangan bebas yang telah ditandatangani oleh Malaysia. Tetapi mereka abai memberitahu bahawa skop pelaburan yang dilindungi yang boleh dikuatkuasa adalah jauh lebih luas berbanding mana-mana perjanjian perdagangan Malaysia sebelum ini dan bahawa AS, negara yang paling cenderung membuat tuntutan di dunia, buat kali pertama kini menjadi pihak pada perjanjian tersebut.

Selanjutnya, meskipun MITI cuba meyakinkan kita sebaliknya, “pelindungan” di dalam TPPA yang menyentuh bidang kesihatan, alam sekitar dan tenaga manusia tidak boleh dikuat kuasa. Ini bererti, sekiranya pelabur melakukan kesalahan dalam bidang-bidang tersebut, kerajaan kita tidak dapat memfailkan tuntutan terhadap mereka di bawah TPPA. Apa yang akan berlaku adalah situasi Renco yang tersebut di atas.

Tidak lupa juga, isu mengenai ‘Most Favoured Nation Clause’. Dikenali sebagai klausa ‘wipe out’, klausa ini membolehkan pelabur asing dari negara-negara TPP untuk membuat tuntutan terhadap Malaysia berdasarkan peruntukan ISDS dalam mana-mana urus niaga perdagangan lain yang ditandatangani oleh Malaysia, tidak kira negara mana yang memasuki perjanjian sedemikian dengan Malaysia. Jadi tidak kiralah jika TPPA dideraf dengan begitu pintar dan hati-hati, kita hanya akan dilindungi setakat perjanjian perdagangan paling mundur yang telah kita meterai.

 

CATATAN KHAS MENGENAI KESELAMATAN MAKANAN

Malaysia mengambil jalan yang berbeza berbanding rejim antarabangsa, dari aspek paten terhadap jenis-jenis tumbuhan. Kita mempunyai undang-undang yang progresif iaitu Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (PVPA) yang melindungi amalan tradisional petani yang bebas menyimpan, bertukar dan menjual benih yang disimpan oleh ladang, benih yang disandarkan oleh mereka sebagai punca pendapatan mereka, dan memastikan bahawa hak petani dan hak orang asli tidak diambil alih oleh syarikat perniagaan pertaniaan yang besar. Di bawah TPPA, PVPA perlu dimansuhkan dan mengutamakan Konvensyen UPOV 1991. Matlamat UPOV yang ternyata adalah untuk melindungi varieti tumbuhan baru melalui hak harta intelek. UPOV membawa akibat buruk melemahkan industri petani kita dan mewujudkan krisis keselamatan makanan dalam jangka masa panjang kerana syarikat benih multinasional akan mengambil alih pasaran benih dan pertanian secara keseluruhan.

Ini merupakan langkah yang dikecam oleh Pelapor Khas PBB mengenai Hak kepada Makanan, Olivier De Schutter, yang mengkritik perjanjian perdagangan bebas yang menghendaki perlindungan paten diperkenalkan untuk tumbuhan atau perundangan yang melaksanakan UPOV 1991.

Memandangkan perkara di atas dan oleh sebab perjanjian perdagangan, terutamanya yang mengandungi klausa ISDS, tidak terbukti akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara, Malaysia tidak harus menandatangani TPPA.

 

* Karina Yong ialah seorang ahli Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia – HAKAM, serta perunding undang-undang kepada Third World Network, Malaysia

>>Artikel versi Bahasi Inggeris MMO