Kesilapan Yang Tidak Dapat Dielakkan – Abdul Rashid Ismail

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/12/12/kesilapan-yang-tidak-dapat-dielakkan-abdul-rashid-ismail/
SHARE

Terbitan Istimewa HAKAM sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2015
#HAKAM-MMO Human Rights Day 2015 project

KESIMPULANNYA, HUKUMAN MATI MANDATORI BUKAN HALANGAN EFEKTIF TERHADAP PERBUATAN SALAH DAN ADALAH BERTENTANGAN DENGAN HAK SETIAP INDIVIDU UNTUK HIDUP

Karangan ABDUL RASHID ISMAIL

gallowsRamai yang telah lupa mengenai kes salah sabitan S. Karthigesu yang telah didakwa, dibicara dan didapati bersalah kerana membunuh Jean Perera Sinnappa yang berlaku di dalam tahun 1979. Karthigesu merupakan suspek tunggal pembunuhan tersebut.

Perbicaraan pembunuhan itu telah mengambil masa 38 hari. Saksi utama pendakwaan ialah Bhandulananda Jayatilake. Jayatilake telah memberi keterangan bahawa beliau telah menyaksikan Karthigesu menjerit bahawa Jean “tidak berhak untuk hidup”. Hakim perbicaraan menganggap kata-kata ini sebagai bukti yang menunjukkan beliau bersalah. Tiada sebarang bukti dijumpai untuk mengenal pasti secara langsung siapakah pembunuh di dalam kes ini. Senjata pembunuhan juga tidak pernah ditemui walaupun pihak polis telah cuba mencarinya dengan sedaya-upaya.

Karthigesu telah dijatuhkan hukuman mati mandatori oleh Hakim perbicaraan. Beliau telah merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya. Empat hari selepas sabitan Karthigesu, Jayatilake yang merupakan saksi utama pendakwaan telah tampil ke hadapan. Beliau telah membuat satu pengakuan bahawa dia telah bercakap bohong. Beliau tidak menyaksikan kononnya Karthigesu menjerit yang telah membuktikan Karthigesu bersalah. Menurut penghakiman Mahkamah, beliau telah diminta untuk berbohong bagi memastikan Karthigesu didapati bersalah.

Mahkamah Persekutuan mengenepikan sabitan dan hukuman mati mandatori terhadap Karthigesu. Jayatilake kemudiannya disabitkan kesalahan sumpah bohong dan dipenjarakan selama 10 tahun.

Karthigesu dibebaskan setelah lebih dari 2 tahun dipenjara sementara menunggu hukuman mati dilaksanakan. Ternyata beliau sangat bertuah. Ramai yang disabitkan kesalahan sebelum dan selepasnya mungkin tidak begitu bernasib baik. Karthigesu ialah seorang mangsa ketidakadilan.

Pengajaran penting daripada kes Jean adalah sistem undang-undang tidak dapat untuk mendedahkan ketidakjujuran saksi. Hakim perbicaraan telah percaya akan keterangan bohong yang diberikan oleh Jayatilake.

Tidak dapat dinafikan, sistem keadilan jenayah kita adalah tidak sempurna dan mudah untuk berlakunya kesilapan-kesilapan. Kesilapan-kesilapan boleh berlaku dengan sengaja atau tidak sengaja. Malah, saksi yang jujur juga boleh membuat kesilapan.

Hukuman mati tidak mempunyai tempat di dalam kalangan masyarakat yang menghargai dan menghormati nyawa manusia. Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan secara khusus memberikan mandat kepada Kerajaan untuk melindungi hak rakyat untuk hidup.

Pengumuman yang dibuat baru-baru ini oleh Kerajaan melalui Menteri Undang-Undang de facto, Yang Berhormat Nancy Shukri bahawa Kerajaan akan membentangkan pindaan terhadap undang-undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori yang berkaitan kesalahan-kesalahan membabitkan dadah adalah satu langkah ke arah yang betul.

Keputusan Kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan-kesalahan membabitkan dadah adalah satu pengiktirafan yang jelas bahawa rejim hukuman mati mandatori tidak berfungsi sebagai penghalang untuk tidak melakukan kesalahan.

Di satu seminar baru-baru ini pada 17 November 2015 yang telah dihadiri oleh ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua belah parti politik, satu pendedahan yang mengejutkan telah dibuat oleh Tun Hanif Omar bekas Ketua Polis Negara mengenai sejarah penggubalan undang-undang hukuman mati mandatori untuk kesalahan-kesalahan membabitkan dadah.

Menurut Tun Hanif, keputusan Kerajaan pada tahun 1983 untuk melaksanakan hukuman mati mandatori untuk kesalahan-kesalahan berkaitan dadah itu telah dibuat selepas perbualan di antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dan Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman pada masa itu mengenai perbezaan berkenaan penjatuhan hukuman mati bagi kesalahan-kesalahan membabitkan dadah.

Tun Mahathir telah diberitahu bahawa dua hakim Mahkamah Tinggi telah secara terbuka menyatakan bahawa mereka tidak akan menjatuhkan hukuman mati ke atas kesalahan-kesalahan membabitkan dadah.

Kerajaan kemudiannya mengambil keputusan untuk memastikan hukuman-hukuman yang konsisten dan telah membuat satu “eksperimen” dengan pengenalan rejim hukuman mati mandatori bagi kesalahan-kesalahan membabitkan dadah.

Jika ini adalah benar, hukuman mati mandatori nampaknya telah diperkenalkan secara arbitiri dan tanpa apa-apa bukti empirikal yang dapat menyokong kepercayaan bahawa ianya akan mengurangkan perlakuan kesalahan-kesalahan membabitkan dadah.

“Eksperimen” ini telah gagal dengan teruk. Di dalam bulan Mac 2012, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, telah mengakui di Parlimen bahawa pengenalan hukuman mati mandatori tersebut yang telah diperkenalkan di dalam tahun 1983 tidak berjaya untuk mengurangkan kesalahan-kesalahan membabitkan dadah.

Kata beliau tangkapan-tangkapan pengedaran dadah telah meningkat. Beliau telah memberitahu bahawa terdapat 2,999 tangkapan bagi kesalahan-kesalahan mengedar dadah di dalam tahun 2009 dan pada tahun 2011 jumlah tangkapan telah meningkat kepada 3,845. “Eksperimen” yang telah gagal ini dengan jelas menunjukkan kepada satu kesimpulan – hukuman mati mandatori bukanlah suatu bentuk halangan yang efektif bagi mengurangkan kesalahan-kesalahan membabitkan dadah.

Malaysia merupakan salah satu di antara 13 buah negara-negara di dunia yang masih mengekalkan hukuman mati mandatori. Pada masa ini, kita mempunyai 10 jenis kesalahan di mana hukuman mati mandatori dikuatkuasakan. Kesan daripada rejim hukuman mati mandatori ini bermakna, satu-satunya hukuman yang ada untuk dijatuhkan setelah diputuskan bersalah adalah hukuman mati.

Masalah yang timbul berhubung dengan hukuman mati mandatori ini adalah Hakim tidak mempunyai budi bicara untuk mengambil kira situasi-situasi individu yang disabitkan kesalahan itu.

Hakim adalah dihalang daripada mengambil kira apa-apa faktor pemberatan dan/atau peringanan bagi orang yang telah disabitkan dalam memutuskan hukuman yang sesuai untuk dikenakan terhadap orang yang disabitkan tersebut.

Halangan ini bermakna hukuman mati dijatuhkan secara arbitrari kerana ia tidak mengambil kira kepelbagaian tahap kesalahan dan jenis-jenis kebersalahan.

Undang-undang antarabangsa memperuntukkan bahawa hukuman mati mandatori adalah bertentangan dengan hak setiap individu untuk hidup kerana ianya bersifat arbitrari dan dianggap tidak setimpal dengan kesalahan yang menjadikannya satu pencabulan terhadap larangan untuk menjatuhkan hukuman yang bersifat kejam dan luar biasa.

Kerajaan mempunyai tanggungjawab yang positif untuk melindungi nyawa seperti yang telah dimandatkan oleh Perlembagaan Persekutuan kita.

Di bawah undang-undang antarabangsa Hakim perlu diberikan budi bicara untuk memutuskan hukuman yang sesuai bagi kesalahan-kesalahan yang membawa hukuman mati.

Di dalam negara-negara Komanwel, banyak mahkamah, termasuk mahkamah di India, Bangladesh, Zimbabwe, Malawi dan Uganda telah mengisytiharkan bahawa hukuman mati mandatori adalah bertentangan dengan perlembagaan.

Alasan yang sering diutarakan untuk tidak memansuhkan hukuman mati mandatori adalah tanggapan bahawa orang awam yang mahukan hukuman berat sebegitu.

Tinjauan terhadap pendapat awam telah dijalankan di Malaysia pada tahun 2013 oleh Roger Hood, Profesor Emeritus Kriminologi di Universiti Oxford.

Hasil tinjauan ini menunjukkan bahawa hanya segelintir rakyat Malaysia yang menyokong perlaksanaan hukuman mati mandatori bagi individu-individu yang telah disabitkan dengan kesalahan kes bunuh, kes pengedaran dadah, dan sesetengah kes melibatkan senjata api yang tidak mengakibatkan kematian.

Kita sebenarnya telah bersedia untuk ke arah perubahan. Dengan sokongan daripada orang ramai di Malaysia, Kerajaan kini perlu bertindak untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesemua kesalahan-kesalahan yang masih wujud di dalam undang-undang kita.

Pada hakikatnya, Kerajaan hendaklah berusaha untuk memansuhkan hukuman mati secara progresif bagi kesemua kesalahan.

Kita tidak perlu menunggu untuk mengakui ketidaksempurnaan sistem keadilan jenayah kita. Risiko untuk kita sendiri menjadi mangsa ketidakadilan sentiasa ada.

Pada ketika itu, ianya sudah terlambat. Hakikatnya di dunia ini, hanya dengan melindungi nyawa-nyawa orang lain barulah kita dapat melindungi nyawa kita sendiri.

* Abdul Rashid Ismail ialah bekas Presiden HAKAM

capital punishment