Pembikin filem dunia bidas perbicaraan aktivis filem perang Sri Lanka

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/12/13/pembikin-filem-dunia-bidas-perbicaraan-aktivis-filem-perang-sri-lanka/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Aktivis tempatan, Lena Hendry dijadual menghadapi perbicaraan esok atas tuduhan menayangkan sebuah filem perang saudara di Sri Lanka. Beliau didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (b) Akta Penapisan Filem 2002. – Gambar dari News Ghana, 13 Disember, 2015

Aktivis tempatan, Lena Hendry dijadual menghadapi perbicaraan esok atas tuduhan menayangkan sebuah filem perang saudara di Sri Lanka. Beliau didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (b) Akta Penapisan Filem 2002. – Gambar dari News Ghana, 13 Disember, 2015

Pembikin filem dan media bebas dunia menggesa kerajaan Malaysia supaya menghentikan segala penganiayaan terhadap aktivis tempatan, Lena Hendry yang menghadapi perbicaraan esok bagi kes penayangan sebuah filem perang saudara di Sri Lanka, lapor portal berita Colombo Gazzette.

Hampir 100 artis terkenal, pelakon dan pengarah menandatangani surat terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menyeru supaya tuduhan terhadap Hendry mengikut Seksyen 6 (1) (b) Akta Penapisan Filem 2002 digugurkan.

Antara bintang terkenal dalam surat terbuka itu adalah penyanyi rap Amerika Syarikat dari Sri Lanka, MIA, yang lebih dikenali Mathangi Maya Arulpragasam, pemenang Academy Awards Laura Poitras, yang membuat dokumentari Citizenfour, pemberi maklumat Edward Snowden, pemenang Grammy Awards dan aktivis Angelique Kidjo, pemenang Bafta Joshua Oppenheimer dan penulis Naomi Klein.

Surat yang ditandatangani mereka juga ditujukan kepada peguam negara dan mendesak pemansuhan akta yang mereka gambarkan sebagai “undang-undang zalim” bagi menyerang dan menghalang kebebasan bersuara.

“(Ia) adalah membimbangkan, tidak boleh diterima dan boleh menyebabkan Malaysia mendapat nama buruk di peringkat antarabangsa,” kata portal berita Sri Lanka memetik surat terbuka itu.

“Ia juga membantu meyakinkan perwakilan Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk melancarkan siasatan utama ke atas peristiwa yang menyaksikan puluhan ribu orang awam Tamil yang tidak bersalah terbunuh dalam serangan beberapa minggu – kebanyakan serangan daripada pihak kerajaan,” lapor portal itu.

Hendry, 30, akan menjalani perbicaraan susulan menayangkan dokumentari yang tidak ditapis Lembaga Penapis Filem Malaysia itu.

Aktivis dan Pusat Komas didakwa pada September 2013 kerana melanggar akta penapisan, di mana ia mengharamkan mana-mana individu memiliki, mengedarkan atau menunjukkan sebuah filem yang belum diluluskan lembaga penapisan di negara ini.

Hendry ditangkap pada Julai tahun itu ketika serbuan Kementerian Dalam Negeri semasa tayangan dokumentari untuk penonton jemputan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Hendry boleh dikenakan denda maksimum RM30,000 atau 3 tahun penjara, jika sabit kesalahan.

Dua yang lain, Anna Har dan Arul Prakash, turut ditahan dalam serbuan itu.

Pengarah filem itu, Callum Macrae, yang hadir dalam serbuan itu dilaporkan berkata, “Amat ironis kerajaan Presiden Rajapaksa – yang memberi tekanan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk menghentikan tayangan ini – kini digantikan dengan undi popular rakyat Sri Lanka, dan ramai daripada ahlinya yang terkemuka kini berdepan siasatan jenayah perang dan rasuah itu. Sejarah membuktikan kewajaran filem itu, kerajaan yang didedahkan akhirnya tumbang – Hendry berkemungkinan dipenjarakan kerana menayangkannya.”

Menurut Colombo Gazzette, tokoh pembikinan filem lain yang menandatangani surat terbuka kepada Najib itu termasuklah pembikin filem India Anand Patwardha, pembikin filem Kanada Avi Lewis, pembikin filem Singapura Tan Tan Pin dan pembikin filem Malaysia Hassan Muthalib.

Pelakon Inggeris Greg Wise juga menandatangani surat terbuka itu sebagai mewakili eksekutif beberapa filem dan televisyen. – 13 Disember, 2015.

 

Artikel Bahasa Inggeris