Insan Transgender: Hak untuk Memilih Jalan Hidup – Ivy Josiah

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/12/14/insan-transgender-hak-untuk-memilih-jalan-hidup-ivy-josiah/
SHARE

Terbitan Istimewa HAKAM sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2015
#HAKAM-MMO Human Rights Day 2015 project

INSAN TRANSGENDER BERHAK MEMILIH JALAN HIDUP SENDIRI

Karangan IVY JOSIAH

“Another Yin-Yang-Yuan Butterfly TransGender-Symbol” - By ParaDox, shared under Creative Commons Attribution-Share Alike 2.0 Germany license.

“Another Yin-Yang-Yuan Butterfly TransGender-Symbol” – By ParaDox, shared under Creative Commons Attribution-Share Alike 2.0 Germany license.

Kita mungkin pernah membaca berita ini sepintas lalu, tetapi fakta berikut wajar diulang semula – antara bulan Oktober 2014 hingga September 2015, 271 pembunuhan insan pelbagai transgender telah dilaporkan, satu statistik global yang diumumkan pada Hari Peringatan Transgender yang jatuh pada 20 November setiap tahun untuk memberi penghormatan dan memperingati nyawa yang terkorban dalam tindakan jenayah keganasan anti-transgender.

Para aktivitis Malaysia percaya bahawa insan transgender juga menjadi mangsa pembunuhan di negara ini tetapi pihak berkuasa tidak mengiktiraf identiti jantina insan yang terbunuh dan mengiktiraf pembunuhan sebagai jenayah kebencian. 1

Nyawa yang sengaja dikorbankan kerana anda ingin memilih jalan hidup sendiri pastinya tidak adil. Namun kita diyakinkan bahawa hak terhadap kehidupan, kebebasan dan keselamatan diri yang termaktub dalam Perkara 3 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) wajar dinikmati oleh SEMUA insan, bukan hanya mereka yang kita anggap layak menikmati hak ini. Sebelum Perkara 3, Perkara 1 UDHR mengisytiharkan bahawa “all human beings are born free and equal in dignity and rights” dan Perkara 2 UDHR menjanjikan bahawa “everyone is entitled to all the rights and freedoms set forth in this Declaration, without distinction of any kind, such as race, colour, sex, language, religion, political or other opinion, national or social origin, property, birth or other status”.

Malah, sejak bulan September 2015, dalam inisiatif bersama yang julung-julung kali dilaksanakan, 12 agensi Perbadanan Bangsa-bangsa Bersatu mengeluarkan seruan bersama yang tegas agar keganasan dan diskriminasi terhadap dewasa, remaja dan kanak-kanak lesbian, gay, biseksual, transgender dan interseks (LGBTI) dihentikan. 2

Beberapa kovenan dan deklarasi antarabangsa menyokong hak insan transgender. Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam Perkara 8 menyatakan bahawa tidak boleh ada diskriminasi atas alasan jantina. Walau bagaimanapun, oleh sebab terdapat beberapa peruntukan dalam Kanun Kesiksaan dan peruntukan Syariah yang bersifat punitif terhadap insan transgender, para aktivis telah mengambil kes untuk mempersoalkan sama ada undang-undang ini sebenarnya berperlembagaan.

Dakwaan yang tidak berasas dan tidak masuk akal malah dibuat bahawa jika kehidupan transgender diterima, ini seolah-olah menerima pedofilia, berahi binatang dan sumbang mahram.

Undang-undang yang ketinggalan zaman dan masyarakat yang berfikiran sempit menghalang insan transgender daripada menjalani kehidupan yang bebas daripada diskriminasi.

Apakah sikap kejahilan yang disengajakan, ketakutan dan prejudis yang menyebarkan kebencian?

Bukankah sikap acuh tak acuh, tiada empati sesama insan terhadap mereka yang berbeza daripada apa yang dianggap biasa, dan yang dijadikan mangsa hanya kerana mereka ingin hidup menurut fitrah mereka, juga sama mudaratnya?

Penerimaan dari segi sosial bermula apabila kita membuka minda kepada maklumat, kemudian memahaminya. Kita boleh membuat pilihan untuk mencari kebenaran mengenai insan transgender.

Sebagai titik permulaan, insan transgender adalah rakan sejawat, jiran dan rakan anda; mereka adalah kakak, adik, abang, bapa dan ibu, sepupu, ibu saudara, bapa saudara kita – merangkumi semua asal usul dan kepercayaan. Identiti jantina insan transgender berbeza daripada apa yang dinyatakan dalam sijil kelahiran mereka. Namun, identiti mereka, siapakah diri mereka yang sebenarnya merupakan sifat semulajadi dan naluri masing-masing sebagai wanita atau lelaki. Sesetengah insan transgender mengenal pasti diri masing-masing sebagai lelaki atau perempuan, manakala yang lain menganggap identiti jantina mereka sebagai satu kontinum antara kedua-dua jantina ini. Ada juga, meskipun bukan semua, insan transgender kemudian akan cuba memastikan tubuh badan mereka lebih sepadan dengan identiti jantina mereka.

Identiti jantina berbeza daripada orientasi seksual. Orientasi seksual lebih cenderung kepada siapa yang menarik minat anda dari segi fizikal dan emosi, yang menjadikannya anda jatuh cinta. Identiti jantina menyentuh naluri diri. Justeru, orang yang beralih daripada lelaki kepada wanita dan tertarik kepada lelaki akan menganggap dirinya seorang wanita heteroseksual.

Tahap diskrimikasi yang teruk yang dialami oleh insan transgender, daripada penghinaan kepada pengangguran kepada penahanan, semuanya berasak-asak lalu menambah penyingkiran dan penyisihan dalam masyarakat kita. Sanggupkah anda memperjuangkan usaha agar menjadi inklusif, berbelas kasihan dan adil?

Kita semua pastinya boleh bersetuju bahawa insan transgender adalah warganegara yang diberikan hak di bawah Perlembagaan Persekutuan. Dari segi perlembagaan dan juga dari segi rasional, semua warganegara diberikan hak untuk hidup dengan bermaruah, bebas daripada diskriminasi – dan ini termasuk peluang untuk mencari pendapatan, hak terhadap penjagaan kesihatan, hak untuk bersuara, hak untuk tidak dianiaya dan hak untuk memilih jalan hidup sendiri. Hak tersebut diberikan kepada semua warganegara tidak kira jantina.

Kita semua seterusnya boleh bersetuju bahawa keganasan adalah salah; kita tidak boleh memukul, menyerang, mengelar, meludah, merotan, menyerang secara seksual atau membunuh insan transgender kerana beliau tidak mengikut definisi kita tentang apakah yang normal. Seseorang ahli keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa kerajaan tidak boleh merampas nyawa dan kebebasan seseorang – melalui apa jua cara – termasuk keganasan. Sikap penguat kuasa undang-undang yang keberatan untuk menyiasat dan mendakwa tindakan jenayah terhadap transgender hanya tambah memperkukuh tanggapan bahawa pencabulan ini boleh diterima. Ramai insan transgender takut untuk tampil ke hadapan dan melaporkan serangan terhadap mereka kerana bimbang mereka akan ditangkap dan dihina kerana identiti gender mereka. Nasib mereka yang malang tidak seharusnya dibiarkan.

Langkah pertama untuk membuka minda dan hati kita bermula apabila kita mendalami perkara ini. Jika kita membisu apabila ahli masyarakat kita didiskriminasi, dicabul dan dimangsakan, ini sebenarnya mencerminkan sikap dan diri kita sendiri. Kita boleh memilih untuk menghormati dan mendukung hak insan transgender, kerana nyawa begitu berharga, setiap satu nyawa begitu berharga.

 

*Ivy Josiah ialah seorang Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia – HAKAM

——-
[1] http://www.abc.net.au/news/2015-07-05/transgender-malasians-targeted-under-religious-authorities/6596300
[2] http://www.ohchr.org/EN/Issues/Discrimination/Pages/JointLGBTIstatement.aspx 

 

>>Artikel versi Bahasa Inggeris MMO