Kanak-kanak: Jelas Kelihatan Tetapi Usah Didengar? – Robyn Choi

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/12/15/kanak-kanak-jelas-kelihatan-tetapi-usah-didengar-robyn-choi/
SHARE

Terbitan Istimewa HAKAM sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2015
#HAKAM-MMO Human Rights Day 2015 project

JANGAN LUPA, KANAK-KANAK KITA JUGA MEMPUNYAI HAK-HAK ASASI

Karangan ROBYN CHOI

preschool-children-playing-clip-art-i4

“Kanak-kanak tidak perlu didengari, jika dilihat cukup”…. “Siapa memberi kamu kuasa untuk menjadi boss saya?”… “Jika dirumah saya dan dibawah jagaan saya, peraturan saya yang mesti diikuti”… “Tetapi saya mempunyai hak juga”…. “Sudah pasti ditampar oleh atuk dan nenek kamu jika saya biadap seperti mu”.

Kanak-kanak sering dianggap “insan kecil”. Adakah kita menganggap kanak-kanak sebagai seorang individu yang mempunyai hak asasi manusia yang sepenuhnya, tiada bezanya dengan insan dewasa?

Ya, seharusnya begitu.

Hak asasi manusia diberikan kepada semua insan, yang bererti kanak-kanak mempunyai hak asasi manusia yang sama seperti orang dewasa. Hak dan kebebasan asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan kita berhak dinikmati oleh semua rakyat, dan ini termasuk kanak-kanak.

Kecuali, kanak-kanak menerima hak tambahan kerana mereka istimewa.

Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (“The Convention on the Rights of the Child (CRC)) memberikan hak khas kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun, yang menyentuh hak penjagaan dan perlindungan bersama-sama dengan rangkaian hak asasi manusia yang lengkap – hak sivil, budaya, ekonomi, politik dan sosial. Pada tahun ini, genaplah 20 tahun Malaysia menjadi penandatangan pada CRC (dengan merizab Perkara 2, 7, 14, 28(1) dan 37).  Malaysia telah menggubal undang-undang untuk menguatkuasakan CRC – Akta Kanak-kanak 2001, manakala perundangan lain membuat peruntukan bagi hak kanak-kanak, kesejahteraan, pendidikan dan perlindungan mereka terhadap penganiayaan, penderaan dan eksploitasi.

Hak kanak-kanak amat penting. Masihkah anda ingat perasaan sewaktu zaman kanak-kanak, apabila terasa diri begitu kerdil kerana orang lain semuanya lebih besar, lebih cerdik, lebih pantas, lebuh kuat dan lebih lantang bersuara? Masihkah anda ingat perasaan takut untuk meluahkan perasaan jika anda tidak bersetuju dengan mereka yang lebih tua? Pernahkah anda berfikir yang pendapat anda tidak diendahkan? Adakah anda ingat berapa kali anda menjerit “Ini tak adil!”

Saya ingat.

Saya membesar bersama-sama 3 adik beradik lelaki dalam keluarga yang besar dan tradisional, di mana anak lelaki menjadi pilihan datuk nenek dan moyang. Kedudukan ditentukan menurut umur dan jantina. Begitu juga tanggungjawab melakukan kerja-kerja rumah. Sebagai kanak-kanak perempuan, saya merasakan seolah-olah saya di kedudukan paling bawah. (Adik beradik lelaki saya pasti akan menafikannya).

1979 adalah tahun yang istimewa kerana Bangsa-bangsa Bersatu dengan khusus menetapkan tahun tersebut sebagai Tahun Antarabangsa Kanak-kanak.  Di Methodist Girls Primary School, Kuantan, kami semua menerima fail plastik yang cantik dengan penanda buku dan risalah, semuanya menerangkan hak kanak-kanak dalam tulisan yang begitu indah.

Pada tahun itu, kami mengambil bahagian dalam program yang menekankan bahawa kami, kanak-kanak, mempunyai tempat istimewa dalam masyarakat, sekolah dan di rumah. Saya masih ingat apabila diperkenalkan kepada idea “Bangsa-bangsa Bersatu” buat kali pertama, dan merasakan betapa bagus idea tersebut!  Saya belajar menyanyi lagu “Anak” dalam tiga bahasa.

Pada tahun itu, saya mendapat tahu tentang kanak-kanak lain yang menjalani hidup yang begitu berbeza daripada saya. Saya masih ingat betapa bersyukurnya saya (dan juga sedikit bersalah) kerana saya bukan kanak-kanak yang kebuluran di Afrika atau kanak-kanak yang terpaksa memerah keringat di ladang atau kilang.

Pada tahun itu dan tahun-tahun seterusnya, saya mula menghargai pendidikan percuma saya. Dari Darjah Satu hingga Tingkatan Enam saya bersekolah di sekolah yang serba lengkap –  para pengetua yang mengenali nama saya, guru-guru cemerlang yang mengajar lebih daripada sukatan pelajaran yang ditetapkan, kanak-kanak lain yang menjadi rakan taulan, perpustakaan yang  dipenuhi dengan buku, kemudahan sukan dan malah alat muzik untuk pancaragam! Di sekolah rendah, kami malah mempunyai klinik gigi kami sendiri – yang dibenci oleh semua kanak-kanak di situ.

Dan paling istimewa – saya masih ingat betapa gembiranya saya apabila diberitahu yang kanak-kanak perempuan dan lelaki adalah sama, bahawa kanak-kanak dan dewasa adalah sama, dan bahawa saya tidak seharusnya gentar untuk meluahkan pendapat saya (walaupun kadang kala menyusahkan saya sendiri). Banyak yang saya pelajari tentang hak asasi pada tahun itu.

Hak untuk hidup, hak untuk membesar dengan sihat dalam persekitaran yang selamat dan wajar. Tidak dianiaya, diabaikan atau dieksploitasi.

Hak persamaan, bebas daripada diskriminasi.

Hak terhadap kebebasan menyampaikan pendapat – hak untuk bersuara dan hak untuk didengar.

Hak untuk berkawan, menyertai persatuan  –  hak kebebasan berpersatuan.

Hak untuk bermain.

Hak untuk mendapat pendidikan – bukan sahaja bersekolah tetapi juga belajar.

Kerajaan kita bermegah kerana setiap tahun mengasingkan sejumlah wang yang besar daripada belanjawan negara kita untuk pendidikan kanak-kanak, tetapi hakikatnya, kanak-kanak kita tidak mendapat pendidikan bermutu yang wajar mereka terima. Pendidikan yang bermutu tidak percuma di negara ini, Ibu bapa bertungkus lumus menghantar anak-anak ke sekolah swasta. Sekolah kebangsaan, meskipun diberi bantuan oleh kerajaan, menggagalkan kanak-kanak kita, tetapi masih memberikan mereka A.

Kanak-kanak kita mempunyai hak.

Berapa ramaikah ibu bapa, guru atau pemimpin masyarakat yang mengetahui tentang CRC, apatah lagi menerapkannya dan memberikan hak penuh yang diperuntukkan di bawah CRC kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka? Selalunya, kanak-kanak perlu merundingkan hak mereka meskipun hak tersebut tidak boleh dipindah milik.

Adakah anda mengenali mana-mana keluarga yang menggunakan CRC sebagai panduan untuk menjadi ibu bapa? Atau sekolah yang menggunakan CRC sebagai alat pengajaran?

Sejauh mana kanak-kanak diberikan haknya ditentukan oleh orang dewasa yang ditugaskan untuk menjaganya – lazimnya ibu bapa dan guru. Penentuan hak tersebut biasanya dibuat dengan sewenang-wenangnya – bergantung kepada tahap kesabaran, keletihan atau mood dewasa tersebut dan faktor lain yang tiada kena mengena dengan kanak-kanak tersebut.

Seorang kanak-kanak menyedari dari awal bahawa kepatuhan dan keakuran biasanya memudahkan mereka mendapat hak mereka.  Wajarkan hak kanak-kanak hanya diberikan jika kanak-kanak mematuhi jangkaan, hajat dan peraturan yang ditetapkan oleh orang dewasa? Sering kali parameter ini ditetapkan tanpa penyertaan atau input daripada kanak-kanak atau rujukan kepada CRC.

Berapa ramaikah guru yang terlatih dalam hak asasi manusia, – khususnya hak kanak-kanak? CRC menetapkan bahawa hak kanak-kanak hendaklah diajar di sekolah dan program hendaklah diadakan untuk mewujudkan kesedaran dan untuk menggalakkan hak kanak-kanak.

Jika semua penjaga dewasa terlatih dari segi hak kanak-kanak dan menerapkan CRC, kanak-kanak kita pasti menghadapi situasi yang berbeza terutama mereka daripada kumpulan masyarakat yang tersisih. Sudah terlalu ramai kanak-kanak yang hilang kebelakangan ini kerana diabaikan, dianiaya dan didera – oleh orang dewasa dan sistem yang gagal membantu mereka. Masih terlalu ramai yang terus menderita tanpa dibantu.

Dalam masyarakat dan kerajaan, suara kanak-kanak biasanya tidak didengar, tidak diwakili dan tidak dititikberatkan.

Kanak-kanak perlu digalakkan agar menyertai proses membuat keputusan – dalam keluarga, sekolah, masyarakat dan kerajaan – dalam hal-hal melibatkan mereka. Jika kanak-kanak, terutamanya mereka daripada kumpulan yang tersisih, diberikan peluang bersuara dan keberanian untuk meluahkan pendapat, suara dan pendapat yang sedia kita dengar, dapatkah anda bayangkan apa yang akan mereka katakan? Apakah yang akan dikatakan oleh pengantin kanak-kanak? Apakah yang akan dikatakan oleh kanak-kanak yang dianaya dan diabaikan? Bagaimana pula kanak-kanak yang kurang upaya? Kanak-kanak Orang Asli? Apakah yang akan sampai ke telinga kita?

Malangnya, terdapat sekolah (di mana guru membawa rotan ke sana sini) yang sudah biasa mendisiplin kanak-kanak kerana bersuara tanpa diberi kebenaran. Jika kanak-kanak mempersoalkan atau mencabar kewibawaan orang dewasa, hukuman biasanya akan dikenakan. Kelas yang senyap dianggap kelas yang berdisiplin, kanak-kanak yang senyap dianggap bersopan-santun dan berbudi bahasa. Kanak-kanak yang mempersoalkan kewibawaan sering dianggap “terlalu cepat matang”, “bermasalah” atau “suka melawan”.

Kita membantah apabila kerajaan menutup mulut mereka yang bertentangan pendapat dan menghukum orang yang mencabar kuasa kerajaan. Tidakkah kita bersalah kerana menggunakan tindakan yang sama menindas terhadap kanak-kanak yang membantah dan mencabar kewibawaan orang dewasa yang menjaga mereka?

  The true character of a society is revealed in how it treats its children. – Nelson Mandela

 

* Robyn Choi ialah Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia – HAKAM

 

>>Artikel Bahasa Inggeris MMO