Kerajaan digesa lindungi IKS dengan pelaksanaan TPPA

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/12/16/kerajaan-digesa-lindungi-iks-dengan-pelaksanaan-tppa/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Bekas senator DAP Dr S Ramakrishnan berkata kerajaan perlu cari inisiatif lindungi industri kecil dan sederhana yang dikhuatiri akan terpinggir dengan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA). – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 16 Disember, 2015.

Kerajaan perlu mencari inisiatif bagi melindungi industri kecil dan sederhana (IKS) yang dikhuatiri akan terpinggir dengan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) kelak, kata bekas senator DAP Dr S Ramakrishnan.

Profesor kewangan dan perakaunan itu berkata, keadaan sebaliknya berlaku terhadap syarikat multinasional (MNC) yang mempunyai kelebihan dengan pelaksanaan TPPA apabila perlindungan terhadap IKS seperti tarif dihapuskan.

“Bagaimanakah kerajaan boleh membantu? Pada masa ini kerajaan sebenarnya tidak banyak membantu. IKS kini bersendirian.

“Satu cara kerajaan boleh membantu adalah dengan membantu mereka meningkatkan pengeluaran serta kepakaran.

“Jika kerajaan tidak membantu, banyak IKS ini akan lenyap,” katanya pada forum ‘TPPA: Bagaimana ia akan memberi kesan kepada komuniti perniagaan?’ malam tadi.

Ramakrishnan berkata, IKS dan MNC tidak akan mampu bersaing di padang yang sama rata kerana faktor kajian dan pembangunan yang menelan belanja besar.

“Kajian dan pembangunan ini sangat mahal dan IKS pula kebanyakannya mengeluarkan produk generik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menggalakkan IKS terlibat dalam rantaian bekalan MNC bagi memastikan mereka terus kekal wujud.

Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang berkata TPPA sebenarnya menggalakkan dasar perlindungan kepada syarikat besar dan sekali gus merencatkan inovasi serta kreativiti industri kecil dan sederhana. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 16 Disember, 2015.

Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang berkata TPPA sebenarnya menggalakkan dasar perlindungan kepada syarikat besar dan sekali gus merencatkan inovasi serta kreativiti industri kecil dan sederhana. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 16 Disember, 2015.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang menganggap TPPA sebenarnya menggalakkan dasar perlindungan (protectionism) kepada syarikat besar dan sekali gus merencatkan inovasi serta kreativiti IKS.

Katanya, dasar perlindungan paten serta hak cipta intelek digunakan bagi menghalang penciptaan produk baru yang bertujuan memperbaiki produk lama yang sedia ada dalam pasaran.

“Kita mahu memperbaiki sesuatu secara berterusan tetapi kita tiada hak untuk memperbaikinya,” katanya.

Beliau memberikan contoh, seorang inovator tempatan yang mahu memperbaiki perisian seperti Microsoft, tidak boleh mengeluarkan produk serupa.

Sebaliknya, individu tersebut hanya boleh berbuat demikian dengan menyertai Microsoft, katanya.

Forum anjuran Bantah TPPA ini dikendalikan Adrian Lim daripada Gabungan Merdeka Rakyat dan turut menampilkan felo Institut Rakyat Yin Shao Long dan Karina Yong daripada Third World Network.

Malaysia dan 11 negara lain iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam memuktamadkan rundingan TPPA pada 5 Oktober 2015.

Putrajaya pada hujung November lalu mengumumkan satu sidang khas Parlimen bagi membahaskan TPPA akan berlangsung pada 26 Januari, 2016 jika mendapat kelulusan speaker Dewan Rakyat. – 16 Disember, 2015.