Pesara tentera dihalang bercakap mengenai rang undang-undang MKN

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/12/18/pesara-tentera-dihalang-bercakap-mengenai-rang-undang-undang-mkn/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Pengerusi bersama hak asasi manusia Majlis Peguam, Andrew Khoo, memberitahu hadirin, Leftenan Kolonel (B) Mohamad Daud Sulaiman diarahkan TUDM supaya tidak menjadi ahli panel dalam forum bertajuk ‘Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara – rantaian arahan dikompromi?’. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 18 Disember, 2015.

Pengerusi bersama hak asasi manusia Majlis Peguam, Andrew Khoo, memberitahu hadirin, Leftenan Kolonel (B) Mohamad Daud Sulaiman diarahkan TUDM supaya tidak menjadi ahli panel dalam forum bertajuk ‘Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara – rantaian arahan dikompromi?’. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 18 Disember, 2015.

Angkatan Tentera Malaysia bertindak menghalang seorang pegawai bersara daripada bercakap pada sebuah forum mengenai Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN), undang-undang kontroversi yang menurut kumpulan masyarakat sivil akan meletakkan pasukan tentera di bawah kawalan perdana menteri.

Penganjur forum itu berkata, Leftenan Kolonel (B) Mohamad Daud Sulaiman menerima arahan pada saat akhir untuk tidak berucap pada program anjuran Majlis Peguam itu di Kuala Lumpur malam ini.

Daud, bekas penasihat undang-undang dan dasar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dijadualkan menjadi ahli panel pada forum bertajuk “Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara – rantaian arahan dikompromi?”.

Rang undang-undang itu diluluskan Dewan Rakyat dan akan dibahaskan di Dewan Negara pada sesi kali ini.

Pengerusi bersama hak asasi manusia Majlis Peguam, Andrew Khoo, memberitahu hadirin, Daud diarahkan TUDM supaya tidak menjadi ahli panel untuk program itu malam ini.

“Arahan dikeluarkan oleh pihak atasannya supaya beliau tidak menjadi sebahagian daripada panel. Jadi, sayang sekali, dia tidak boleh bercakap kepada kita,” kata Khoo ketika forum bermula.

Kumpulan masyarakat sivil dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyifatkan rang undang-undang MKN itu bertentangan dengan perlembagaan kerana ia cuba “merampas” kawalan Yang di-Pertuan Agong ke atas pasukan tentera dan kuasa mengisytiharkan darurat.

Rang undang-undang itu akan memberi kuasa kepada Majlis Keselamatan Negara, yang diketuai perdana menteri, mengeluarkan arahan ketenteraan untuk dikuatkuasakan.

Ia juga akan membolehkan MKN membuat penangkapan ke atas sesiapa sahaja tanpa waran apabila sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan.

Rang undang-undang MKN itu memberi perdana menteri kuasa mengenakan syarat-syarat “ala darurat”, tanpa menyediakan perlindungan undang-undang yang sewajarnya.

Ketika ditemui media selepas itu, Daud yang duduk bersama penonton lain, enggan mengulas mengenai perkara itu.

Beliau berkata, arahan tentera itu juga menghalang beliau daripada bercakap kepada pihak media. – 18 Disember, 2015.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris