Rang undang-undang MKN buka jalan kepada rampasan kuasa terbalik, kata peguam

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/12/18/rang-undang-undang-mkn-buka-jalan-kepada-rampasan-kuasa-terbalik-kata-peguam/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Peguam Matthias Chang mendakwa, perdana menteri boleh mengisytiharkan darurat dan menggunakannya untuk tidak mengadakan pilihan raya umum. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 18 Disember, 2015.

Rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menjadi kontroversi ketika ini membuka jalan kepada sebuah “reverse coup d’etat” (rampasan kuasa terbalik) di mana kerajaan boleh mengawal tentera supaya ia dapat terus berkuasa selama-lamanya, peguam Matthias Chang memberi amaran malam ini.

Beliau yang merupakan salah seorang pengkritik Datuk Seri Najib Razak mendakwa, perdana menteri boleh mengisytiharkan darurat dan menggunakannya untuk tidak mengadakan pilihan raya umum.

“Satu-satunya matlamat undang-undang ini ialah untuk membolehkan satu ‘reverse coup d’etat’ dilakukan. Hujah undang-undang dan bantahan kita terhadapnya tidak relevan,” kata Chang yang sebelum ini ditahan di bawah undang-undang anti keganasan.

“Ini modus operandi kerajaan dan mereka tidak kira sama ada ia menyalahi undang-undang atau bertentangan dengan perlembagaan.

“Di bawah rampasan kuasa biasa, tentera mengambil alih kerajaan. Tetapi dengan undang-undang ini, tentera diambil alih dan digunakan kerajaan,” kata Chang pada sebuah forum mengenai rang undang-undang MKN di Kuala Lumpur malam ini.

Beliau pada September lalu ditangkap berhubung kempennya menentang firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang lembaga penasihatnya dipengerusikan Najib.

Najib ketika ini menghadapi tekanan agar meletak jawatan kerana skandal 1MDB dan sumbangan politik RM2.6 bilion.

Beliau menafikan terlibat dalam sebarang salah laku tetapi dalam masa sama cuba menutup mulut pengkritiknya.

Chang sebelum ini menemani bekas naib ketua bahagian Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat laporan terhadap 1MDB dengan agensi anti pengubahan wang haram di beberapa negara.

Kedua-duanya kemudiannya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Mereka dibebaskan pada November dan Mahkamah Tinggi memutuskan kesalahan mereka bukan satu kesalahan keselamatan.

Pengalaman Chang adalah salah satu sebab utama kumpulan masyarakat sivil tidak yakin dengan janji pentadbiran Najib yang MKN tidak akan digunakan terhadap pembangkang politik.

Apabila ia dibentangkan, kerajaan juga memberi jaminan kepada orang ramai Sosma hanya bertujuan untuk digunakan terhadap pengganas dan militan bersenjata.

Rang undang-undang itu akan memberi kuasa kepada Majlis Keselamatan Negara, yang diketuai perdana menteri, mengeluarkan arahan ketenteraan untuk dikuatkuasakan.

Ia juga akan membolehkan MKN membuat penangkapan ke atas sesiapa sahaja tanpa waran apabila sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan.

Rang undang-undang MKN itu memberi perdana menteri kuasa mengenakan syarat-syarat “ala darurat”, tanpa menyediakan perlindungan undang-undang yang sewajarnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Datuk Ambiga Sreevasanan berkata undang-undang di bawah MKN itu kabur dan luas definisinya mengenai apa yang dikatakan sebagai keselamatan negara.

Turut bercakap di forum anjuran Majlis Peguam bertajuk “Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara – rantaian arahan dikompromi?” itu, beliau berkata, definisi itu juga boleh merangkumi bantahan dan kritikan politik yang dilakukan secara sah.

“Apa yang dimaksudkan dengan keselamatan negara akan terserah kepada perdana menteri, ia masih boleh digunakan terhadap pembangkang politik,” kata Ambiga.

Ambiga berkata undang-undang itu jelas tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan kerana mengikut Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mengisytiharkan darurat dan memberi arahan kepada tentera. – 18 Disember, 2015.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris