Siasat Noor Farida cetuskan lebih banyak bahaya, kata aktivis perundangan

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/12/18/siasat-noor-farida-cetuskan-lebih-banyak-bahaya-kata-aktivis-perundangan/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Penyelaras Kempen Lawyers for Liberty Michelle Yesudas (dua dari kiri) berkata, tindakan polis menyiasat Datuk Noor Farida Ariffin berbanding bertindak ke atas lelaki yang mengancam beliau sebagai sangat ‘memalukan’. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Disember, 2015.

Tindakan polis menyiasat Datuk Noor Farida Ariffin kerana menghasut tetapi tidak bertindak ke atas lelaki yang memberikan ancaman rogol kepadanya, hanya akan membuka pintu kepada lebih banyak ancaman dan gangguan terhadap jurucakap G25 itu, kata kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini.

Kumpulan itu berkata, sangat “memalukan” apabila polis menyiasat tokoh terkemuka orang Melayu itu kerana kenyataan dikeluarkannya berbanding ugutan rogol oleh pengguna Facebook bernama Shahrul Nizam Ab Rahim.

“Keputusan pihak berkuasa menyiasat Noor Farida berkenaan kenyataannya berbanding ugutan serangan seksual Shahrul Nizam, sangat mengejutkan serta memperlekehkan idea (yang sering kali dilaungkan kerajaan) yang Akta Hasutan ‘diperlukan’ untuk melindungi keamanan dan kesejahteraan negara ini.

“Ini kerana siasatan itu kini boleh digunakan pengkritiknya untuk ‘menghalalkan’ kempen awam yang mengganggu dan mengancam beliau,” kata penyelaras kempen LFL Michelle Yesudas dalam 1 kenyataan hari ini.

Susulan kenyataan Noor Farida mencadangkan penilaian semula undang-undang syariah termasuk berkaitan khalwat, Shahrul memuatnaik catatan menerusi akaun Facebooknya yang dia akan memecah masuk rumah wanita itu, berbaring di atas katilnya dan “mencubanya”.

Terdahulu, jurucakap kumpulan pesara kakitangan kerajaan Melayu itu mengeluarkan kenyataan di sebuah forum awam tentang undang-undang khalwat yang perlu penilaian semula bagi menghalang pengawasan moral terhadap kehidupan peribadi orang Islam.

Pemimpin wanita DAP Pulau Pinang sebelum ini membuat laporan polis terhadap ugutan seksual dikeluarkan itu tetapi polis dikritik hebat kerana masih tidak mengambil tindakan terhadap Shahrul.

Noor Farida, pula kini sedang disiasat kerana kenyataan beliau selepas laporan polis dibuat mengenainya di Melaka.

Beliau berkata hari ini akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

LFL berkata, siasatan kerana menghasut ke atas Noor Farida merupakan “contoh jelas sifat akta itu yang kabur dan mendiskriminasi.”

Katanya, akta itu membenarkan pihak berkuasa “mentakrifkan apa sahaja yang bertentangan sebagai keadaan menghasut” bagi mendiamkan pihak yang mempunyai pendapat berbeza.

“Mencadangkan reformasi perundangan tidak sepatutnya, dalam mana-mana keadaan, dianggap sebagai hasutan,” tambah LFL.

Kumpulan peguam itu juga berkata, siasatan itu hanya menyuburkan lagi “persekitaran tidak selamat” kepada mereka yang lantang bersuara di Malaysia.

Sikap pilih kasih pihak berkuasa dalam pelaksanaan undang-undang itu membenarkan ucapan berbaur perkauman dan kebencian dikeluarkan mereka yang “pro kerajaan” tetapi menghalang ruang demokratik kepada pihak lain, kata mereka. – 18 Disember, 2015.

 

Artikel-artikel Berkenaan