Suara tunggal penduduk kampung menentang perlombongan bauksit

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/12/20/suara-tunggal-penduduk-kampung-menentang-perlombongan-bauksit/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Deretan lori membawa bauksit diliputi debu merah ketika tiba di Pelabuhan Kuantan, Pahang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 20 Disember, 2015.

Pada kadar RM7 hingga RM9 bagi setiap tan tanah, ramai penduduk kampung yang tanah mereka diintai pelombong bauksit di Kuantan, Pahang, menjebakkan diri semata-mata untuk memperoleh sedikit keuntungan dalam kegilaan terbaharu melombong bijih besi yang sangat dimahukan industri aluminium China.

Tetapi bukan Mohd Saidi Abdul Samad, suara tunggal di kampungnya yang lantang bersuara menentang aktiviti perlombongan.

“Sekiranya ayah saya sendiri yang menjual tanahnya kepada pelombong bauksit saya tetap akan menentangnya. Mereka tidak tahu apakah kesan aktiviti ini kepada alam sekitar kita. Saya bukan orang kaya atau berpendidikan tinggi tetapi saya tahu yang (perlombongan) jika tidak dikawal akan menjadi bom jangka,” Saidi memberitahu The Malaysian Insider sewaktu lawatan ke kawasan perlombongan bauksit di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia itu.

Saidi disindir kerana menentang aktiviti perlombongan di sekitar kampungnya, Kampung Pemuda Datuk Haji Abdul Aziz, malah dituduh menjadi “macai” pembangkang tetapi kekal menegaskan beliau melakukan perkara terbaik untuk kebaikan penduduk setempat.

Dalam masa 2 tahun sahaja, perlombongan bauksit menukarkan kawasan sekitar kampungnya kepada tanah terbiar yang rosak teruk, kata Saidi.

Pelombong menggali lubang sehingga 10 kaki dalamnya untuk mencari bijih besi dan meninggalkan sahaja lubang tidak ditutup.‎

Pelombong sudah membekalkan jumlah bauksit yang banyak untuk pengeluaran aluminium di China, mengisi lohong kosong wujud selepas Indonesia mengharamkan eksport bijih besi Januari tahun lepas bagi menggalakkan proses yang lebih bernilai tinggi di negara mereka.

Malaysia membekalkan 1.27 juta tan bauksit ke China dalam masa 9 bulan pertama 2014, meningkat 12 kali ganda berbanding jumlah 105,000 tan yang dieksport dalam jangka masa sama pada 2013.

Saidi berkata ramai penduduk kampung mencercanya kerana bekerjasama dengan PKR untuk mendedahkan aktiviti perlombongan bauksit yang tidak terkawal dan kesannya kepada alam sekitar.

 Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, pihaknya pejabat tanah dan galian negeri perlu lebih bertanggungjawab dan tidak membenarkan sisa bauksit memasuki sungai berhampiran kerana ia membabitkan kesihatan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Disember, 2015.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, pihaknya pejabat tanah dan galian negeri perlu lebih bertanggungjawab dan tidak membenarkan sisa bauksit memasuki sungai berhampiran kerana ia membabitkan kesihatan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 Disember, 2015.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh ialah wakil rakyat PKR, parti pembangkang di negeri itu.‎

“Malah ada yang bertanya berapa banyak saya dibayar. Saya tidak dibayar satu sen pun. Saya membantu mereka mendedahkan isu ini bukan kerana duit. Ia soal apa yang akan berlaku kepada kawasan ini sekiranya tidak ada kawalan kepada aktiviti perlombongan ini,” kata Saidi.

Lelaki berusia 41 tahun itu yang juga merupakan bapa kepada 3 orang anak sudah tinggal di Kampung Pemuda Datuk Haji Abdul Aziz sepanjang hayatnya.

Tambahnya lagi, beliau hanya melihat tanpa mampu berbuat apa-apa melihat kampung halamannya yang dahulu kehijauan kini bertukar menjadi kemerahan kerana aktiviti perlombongan.

“Isteri dan saya dahulu selalu berbasikal setiap petang. Kadang kala kami berjoging. Kami boleh menikmati masa senggang kami melakukan aktiviti itu.

“Sekarang saya perlu memastikan isteri dan anak saya memakai topeng muka bergred tinggi setiap kali mereka keluar kerana debu bauksit. Tiada lagi aktiviti di luar rumah,” katanya.

Memburukkan lagi keadaan, jalan tunggal yang melalui kampung itu untuk ke sekolah rendah juga digunakan lori mengangkut bauksit keluar dari kawasan itu.

Disebabkan permintaan tinggi dari China, banyak syarikat perlombongan bauksit bekerja tanpa henti, mengangkut bauksit untuk mengisi kapal yang berada di pelabuhan.

Lori keluar masuk kawasan tanpa mengira masa, malah seawal jam 5 pagi untuk melakukan sebanyak mungkin perjalanan, memindahkan bijih bauksit ke pelabuhan.

Ini menimbulkan masalah kepada ibu bapa yang menggunakan jalan itu untuk menghantar anak mereka ke Sekolah Rendah Kebangsaan RTP Bukit Goh, kata Saidi.

Anaknya ialah salah seorang pelajar di sana dan perjalanan ke sekolah pada waktu pagi menjadi berbahaya dengan lori dipenuhi bauksit memecut laju di jalan.

“Pakaian sekolah anak saya akan bertukar menjadi merah sebaik sahaja dia sampai ke rumah kerana debu. Kami memberikan pencuci dan kain buruk untuk dibawa ke sekolah supaya dia boleh mengelap mejanya di kelas kerana ia dipenuhi debu merah,” katanya lagi.

Tetapi katanya, hanya segelintir penduduk kampung bersedia bersuara menyatakan kemarahan mereka atau bertindak melaporkan situasi semasa yang semakin buruk.

Ramai pula hanya berani bersuara di kedai kopi katanya, kerana mereka sendiri menerima manfaat daripada industri bauksit dengan memberikan kebenaran kepada pelombong melombong di tanah serta menerima bayaran untuk setiap tan tanah yang digali.

Ada juga penduduk kampung yang merungut di sosial media tetapi tindakan itu tidak mengubah apa-apa, tambahnya.

Kerana penduduk kampung lain enggan bangkit menentang, Saidi mengambil inisiatif sendiri membantu mereka yang bimbang akan kesan kepada alam sekitar kerana perlombongan bauksit itu.

Malah beliau sendiri menjadi pengawal trafik setiap pagi, menghentikan lori di jalan untuk membenarkan kanak-kanak di kampung untuk sampai ke sekolah dengan selamat.

“Saya terpaksa. Selalunya saya sendiri. Tetapi kadang kala ada seorang atau 2 menyertai saya menghentikan lori seawal 7 pagi.

“Pemandu lori bekerjasama. Mereka menunggu sehingga kesibukan pagi reda. Saya rasa mereka tidak melawan sebab kami penduduk di sini,” katanya.

Saidi berkata beliau tidak menentang aktiviti bauksit itu dilakukan tetapi mahukan aktiviti itu dikendalikan dan diawasi dengan lebih baik.

“Saya tidak menghalang aktiviti ini. Saya cuma mahukan kualiti hidup yang lebih baik.

“Mereka boleh teruskan tetapi perlu ada langkah kawalan untuk memastikan lori tidak keluar masuk sesuka hati; perlombongan perlu dilakukan dengan cara yang menjaga kesuburan tanah dan tidak mencemarkan sungai,” katanya.

Perlombongan dan pengangkutan bauksit yang tidak terkawal dari kawasan lombong ke pelabuhan Kuantan menyebabkan pencemaran udara, menyelimuti kawasan sekitar dengan debu merah.

Bernama sebelum ini melaporkan yang selepas serbuan dilakukan pihak berkuasa Pahang, hanya 11 operator perlombongan diberikan keizinan untuk menggali bauksit dan mengedarkan serta mengeksport sumber negeri itu.

Fuziah, yang mempengerusikan kumpulan pendesak anti pencemaran bauksit, Gabungan Menentang Pencemaran Bauksit berkata mereka sudah meminta Jabatan Kesihatan menyiasat dan melakukan ujian kualiti air di tapak rawatan air Bukit Goh dan Bukit Sagu.

Hasil ujian itu perlu didedahkan kepada rakyat, katanya.

“Pejabat tanah dan galian negeri juga perlu lebih bertanggungjawab dan tidak membenarkan sisa bauksit memasuki sungai berhampiran kerana ia merupakan soal kesihatan rakyat,” kata Fuziah. – 20 Disember, 2015.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris & Artikel-artikel Berkenaan