Beri peluang kami sumbang ekonomi, kata 3 generasi Rohingya

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2015/12/25/beri-peluang-kami-sumbang-ekonomi-kata-3-generasi-rohingya/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Pelarian Rohingya, Banu Hassan, (dua dari kanan) bersama anak perempuannya, Rokiah Mohd Ali (kiri) dan cucu, Zahida Mohd Ismail (kanan). Mereka berharap kerajaan Malaysia memberi peluang mendapatkan pendidikan dan mencari nafkah yang sah. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Disember, 2015.

Pada ketika Malaysia memberikan layanan istimewa kepada pelarian Syria, sebuah keluarga besar Rohingya di negara ini berkata, mereka berada di sini selama 3 generasi tetapi masih lagi dinafikan hak bagi sebuah kehidupan bermaruah.

Kesemua 6 anak Banu Hassan, 60, dilahirkan di Malaysia dan beliau mempunyai 4 orang cucu. Tetapi tiada seorang pun daripada mereka bertaraf penduduk tetap, jauh sekali warganegara.

Apa yang mereka mahukan hanyalah hak untuk menamatkan persekolahan, mencari nafkah yang sah, kebebasan daripada gangguan dan peluang menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

“Jika kerajaan Malaysia tidak beri kami taraf warganegara, sekurang-kurangnya berilah kami peluang untuk belajar seperti rakyat Malaysia.
“Apabila kami tidak mempunyai sijil, kami tidak dapat bekerja dengan selamat malah ditindas,” kata Zahida Mohd Ismail, 17, salah seorang cucu Banu.

“Saya dan ibu saudara lahir di Malaysia tetapi kami dinafikan hak untuk hidup seperti orang lain,” katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual baru-baru ini.

“Kami sedar kami pelarian tetapi kami juga boleh menyumbang kepada ekonomi Malaysia, cuma tidak diberi peluang,” katanya yang begitu kesal kerana tidak mampu memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti teman-teman sekampungnya yang merupakan warganegara.

Menurut pengkaji komuniti etnik Rohingya, Azlinariah Abdullah, terdapat kira-kira 40,000 orang yang berjaya sampai ke Malaysia selepas melarikan diri dari Rakhine di barat Myanmar sejak awal 80-an lagi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggap masyarakat itu sebagai salah satu yang paling dianiaya di dunia.

Kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyatnya dan terpaksa tinggal di kem-kem pelarian kotor di sempadan Myanmar-Bangladesh.

Pada Mei, Malaysia menerima lebih 7,000 pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh yang tersadai di laut.

Zahida yang juga fasih berbahasa Malaysia dan Inggeris, selain Rohingya, menerima elaun RM500 daripada sebuah sekolah pelarian yang dimiliki sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Kisah keluarga Rohingya ini merupakan bukti hak mereka turut dinafikan di Malaysia.

Bagaimanapun, walaupun mereka masih terdedah kepada gangguan, kebajikan komuniti ini kini bertambah baik sejak pejabat PBB di Kuala Lumpur dibenarkan membuka Suruhanjaya Tinggi untuk Pelarian.

Di luar pengetahuan umum kebanyakan rakyat Malaysia, warga Rohingya yang tertindas ini banyak menyumbang kepada ekonomi Malaysia secara tidak langsung dengan bekerja secara tidak rasmi, kata Azlinariah.

“15% daripada mereka adalah kanak-kanak yang sudah pun bekerja dengan mencari besi buruk. Anak muda juga bekerja di kilang dan yang lebih dewasa sudah membuka kedai runcit.

“Malah ada juga membuka gerai makanan sendiri. Contohnya di Selayang, ada komuniti Rohingya yang berjaya mempunyai kedai runcit sendiri,” katanya yang turut menulis sebuah buku mengenai komuniti itu bertajuk “Air Mata Kesengsaraan Rohingya”.

Katanya, etnik ini berjaya bangkit dengan kewujudan lebih 20 persatuan kebajikan berkaitan Rohingya yang aktif memperjuangkan hak asasi mereka.

Turut membantu menyelesaikan masalah mereka yang sering menjadi penganggur ialah keterbukaan sesetengah pihak swasta menerima mereka bekerja, kata Azlinariah sambil menyarankan sebuah badan diwujudkan bagi memantau kegiatan NGO terbabit serta memastikan etnik ini tidak ditindas majikan.

“Sekarang ada juga pemilik kilang sudah menerima mereka, contohnya di Pulau Pinang. Namun ia masih tidak mencukupi. Pihak swasta perlu lebih terbuka,” katanya sambil menceritakan asal usul etnik itu yang katanya merupakan pedagang yang turut aktif di sempadan Bangladesh dan Myanmmar.

Bagaimanapun, majoriti mereka masih berdepan kesukaran mencari pekerjaan sempurna di negara ini.

Banu yang sudah menjadi pelarian selama 4 dekad dan kini menetap di Kapar, Klang selepas kematian suami, menceritakan perjuangan hidup mereka.

“Betapa susahnya menjadi pelarian. Saya besarkan anak-anak saya dengan menjual ayat al-Quran dan mengutip botol dan tin-tin,” katanya yang hanya menggelengkan kepala dengan mata bergenang enggan bercerita lanjut mengenai penderitaan di tanah airnya sendiri.

Mengambil masa 6 bulan untuk masuk ke Malaysia, Banu dan suami ketika itu bekerja di Thailand selama hampir 2 tahun bagi mengumpul modal untuk berhijrah.

“Macam-macam cara saya guna asalkan dapat lari dari kampung. Saya jalan kaki, naik bot. Redah hutan hingga masuk ke Thailand,” katanya yang sudah 30 tahun berada di Malaysia.

Di Malaysia, pasangan itu mendapati ciri-ciri dimiliki Banu lebih mudah untuk dia bercampur dengan penduduk tempatan berbanding suaminya.

“Bila tiba di Malaysia, awal tahun 80an, saya lebih mudah mencari rezeki berbanding suami. Dia nampak ketara warga asing, jadi tidak keluar bekerja.

“Dia jaga anak-anak dan saya keluar bekerja. Saya tinggal 2 tahun di Kelantan, 2 tahun di Kuantan, 20 tahun di Banting, Selangor dan kini sudah 10 tahun di Klang.”

Banu mengakui sebelum wujudnya Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), keluarganya sering ditindas malah beberapa kali dihantar ke Thailand selepas ditangkap kerana tidak memiliki dokumen perjalanan.

“Arwah suami saya tidak dapat bekerja kerana waktu itu penerimaan masyarakat terhadap kami sangat teruk.

“Namun mujur wujud UNCHR, kami boleh bernafas untuk terus hidup,” kata Banu yang fasih 4 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Rohingya, Tamil dan Thailand.

Anak perempuannya, Rokiah Mohd Ali, menceritakan bagaimana impiannya menjadi seorang doktor berkecai selepas tidak dapat meneruskan persekolahan.

“Saya dapat belajar sehingga darjah 6. Selepas tamat, saya tidak diterima untuk belajar ke tingkatan 1.

“Pada waktu itu baru saya tahu, saya anak pelarian, tiada warganegara dan tidak boleh sambung belajar,” katanya.

“Arwah ayah banyak beri motivasi untuk saya belajar agar lebih berjaya dalam hidup. Saya menangis depan ayah kerana tidak dibenarkan belajar,” kata Rokiah, 26, yang kini mengajar di sekolah pelarian El-Shaddai di Lembah Klang.

Zahida, yang kini menjadi guru tadika di sebuah sekolah pelarian ditaja sebuah NGO melahirkan kesyukuran hidup mereka lebih baik daripada generasi sebelumnya.

“Kami begitu bersyukur nasib kami tidak seperti datuk dan nenek yang terpaksa mengharungi pelbagai kesusahan untuk hidup. Sebab itu jugalah kami mahu lebih ke depan.

“Saya amat berharap dapat sambung belajar. Kalau kami diterima di negara ke-3, saya mahu menaikkan taraf hidup kami dan menjadi manusia berguna,” katanya. – 25 Disember, 2015.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris