Pertikaian keluarga di mahkamah luaskan jurang masyarakat, kata NGO

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2016/01/01/pertikaian-keluarga-di-mahkamah-luaskan-jurang-masyarakat-kata-ngo/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Gan Ping Sieu berkata kes penukaran agama kanak-kanak secara unilateral bertukar menjadi wajah hodoh agama dan perkauman. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Januari, 2016.

Kes penukaran agama anak-anak M Indira Gandhi, wanita beragama Hindu yang suaminya memeluk Islam, memecah-belahkan masyarakat, kata pertubuhan masyarakat sivil Centre for A Better Tomorrow (Cenbet).

Menurut presiden bersama Cenbet, Gan Ping Sieu, yang juga bekas timbalan menteri, kes itu menyebabkan ruang terbuka luas buat pelampau dan ekstremis agama dalam negara untuk bersuara.

“Akhirnya apa yang berlaku adalah pertikaian keluarga bertukar menjadi wajah hodoh agama dan perkauman yang meluaskan jurang antara masyarakat berlainan agama di negara ini.

“Ini menyebabkan wujudnya ruang subur buat pelampau dan bigot untuk bangkit dan ia bertentangan dengan prinsip kesederhanaan,” kata Gan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau kesal dengan kes tersebut yang menurutnya menyaksikan Indira dinafikan keadilan.

Katanya, keputusan mahkamah berhubung status penukaran agama anak secara unilateral oleh salah seorang ibu bapa itu menunjukkan para hakim “melepaskan tanggungjawab kehakiman mereka untuk mempertahankan keagungan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan”.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 pada Rabu memutuskan, pengesahan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mualaf mereka enam tahun lepas, hanya boleh ditentukan Mahkamah Syariah.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Balia Yusof Wahi memutuskan perkara berkaitan Islam, isu agama dan sama ada seseorang itu beragama Islam, adalah di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Gan berkata, kes itu sepatutnya membuka mata kerajaan dan pembangkang agar satu undang-undang ditubuhkan bagi menangani perkara itu.

“Kerajaan juga perlu patuh pada keputusan kabinet pada April 2009 yang menetapkan anak-anak kepada ibu bapa yang bercerai perlu dibesarkan menurut agama asal ibu bapa mereka sewaktu berkahwin tanpa mengira sama ada ibu bapa itu menukar agama atau tidak,” katanya.

Keputusan Mahkamah Rayuan 30 Disember itu dibuat selepas membenarkan rayuan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, dua yang lain dari jabatan itu, kerajaan Malaysia, Kementerian Pendidikan dan bapa yang mualaf, Muhd Riduan Abdullah, yang sebelum ini dikenali sebagai K Patmanathan.

Keenam-enam perayu itu mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh yang membatalkan sijil penukaran agama ketiga-tiga anak Riduan.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi Riduan hak penjagaan ketiga-tiga anaknya itu selepas beliau menukarkan agama mereka kepada Islam yang ketika itu berusia 12 dan 11 tahun serta 11 bulan.

Sekarang mereka berusia 18, 17 dan 7 tahun. – 1 Januari, 2016.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris