Kecewa dengan sistem, pengundi 2 kali sedia ke mahkamah lagi

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2016/01/02/kecewa-dengan-sistem-pengundi-2-kali-sedia-ke-mahkamah-lagi/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Mohd Fadhli Khaharuddin terpaksa bersabar dengan segala tuduhan yang kononnya beliau berniat jahat dan bersekongkol dengan parti tertentu untuk menentang kerajaan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin. 2 Januari, 2016.

Pegawai teknologi maklumat Mohd Fadhli Khaharruddin, 25, sedang menyiapkan diri untuk satu pertempuran undang-undang yang panjang bagi membersihkan namanya kerana melakukan apa yang dirasakan betul – melaporkan kepada polis mengenai kertas undi yang dikeluarkan secara salah, pada pilihan raya umum ke-13, selepas beliau selesai mengundi.

Kegembiraannya selepas dibebaskan Mahkamah Majistret Kuantan pada 9 Disember tahun lalu tidak kekal lama apabila timbalan pendakwa raya (DPP) memfailkan rayuan 2 hari kemudian.

Peguam Fadhli menerima notis rayuan itu pada 22 Disember lepas.

“Ketika itu, 3 hari sebelum Hari Krismas, saya diberitahu peguam saya yang DPP membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

“Saya marah dan kecewa dengan semua ini tetapi apa boleh saya lakukan,” katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temubual.

Fadhli didakwa di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1955 pada 12 September, 2014 kerana memiliki kertas undi tanpa kebenaran dan cuba meninggalkan kawasan mengundi bersama kertas itu.

Sejak itu, beliau terpaksa bersabar dengan segala tuduhan kononnya beliau mempunyai niat jahat, membantu parti tertentu dan dibayar untuk menentang kerajaan.

Katanya, selepas ditangkap dan didakwa, rakan, jiran serta beberapa ahli keluarga juga melayannya seolah-olah beliau bersalah walaupun perbicaraan belum bermula.

“Ibu dan ayah saya sudah sangat tua. Mereka tidak cakap banyak kerana jiran selalu sangat bercakap tentang saya.

“Malah, semua ahli keluarga saya tidak berkata apa-apa. Mereka buat seperti tiada apa-apa yang berlaku. Kami tidak pernah berbincang mengenainya.

“Satu-satunya perkara yang disebut seorang daripada mereka ialah, jika saya melakukannya dengan niat baik, pasti Allah akan membantu,” katanya.

Paling mengecewakan ialah hakikat yang niat baiknya itu disalahfaham. Rakan-rakan mula menjauhkan diri sambil ada segelintir mengecam tindakannya membuat laporan polis.

Fadhli berkata, episod itu membuka matanya kepada sikap acuh tak acuh rakyat dan terdapat juga ketakutan di kalangan mereka berhubung masalah dalam sistem pilihan raya.

“Orang menuduh saya dipergunakan dan dibayar pihak tertentu untuk buat perkara itu.

“Saya neutral. Saya bukan ahli mana-mana parti politik. Saya tidak ada niat jahat ketika melakukannya.”

Beliau juga berkata, beliau menyedari walaupun ramai tidak berpuas hati atau meragui sistem pilihan raya, kebanyakannya memilih berdiam diri bagi mengelak ditimpa masalah pula di kemudian hari.

“Mungkin lebih baik untuk tidak berkata apa-apa. Bentuk ugutan yang saya terima membuatkan saya lebih berhati-hati sekarang,” akui beliau.

Fadhli mengundi di kerusi Parlimen Kuantan, Pahang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur pada pilihan raya umum 5 Mei, 2013, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan penggunaan dakwat kekal buat kali pertama.

Katanya, beliau terdorong untuk “menguji sistem” itu selepas dakwat kekal yang dicalitkan pada jarinya ketika mengundi kali pertama hilang, “tidak seperti dakwaan SPR”.

Selepas selesai mengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Sungai Isap, Fadhli kembali pada jam 1.15 tengah hari dan dibenarkan mengundi sekali lagi apabila pegawai SPR melihat tiada dakwat kekal pada jarinya.

Beliau diberikan satu set kertas undi ke-2 dan namanya juga belum dipotong dalam daftar pemilih walaupun sudah mengundi sebelum itu.

Fadhli berkata apabila beliau mendapat kertas undi kali ke-2, dia menunjukkannya kepada seorang anggota polis yang bertugas di tempat mengundi itu dan memohon untuk membuat laporan.

Setahun kemudian, beliau didakwa kerana melakukan kesalahan.

Apabila tekanan terus diterimanya susulan pertuduhan itu, Fadhli berkata beliau meminta bantuan daripada kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0.

“Saya tidak tahu hendak percayakan siapa lagi, jadi saya memutuskan untuk mendapatkan bantuan dan nasihat Bersih. Saya bersyukur dengan sokongan yang saya terima daripada mereka.”

Insiden itu juga katanya, menyebabkan beliau hilang kepercayaan kepada pihak polis.

“Saya pergi kepada mereka untuk membuat laporan. Daripada menyiasat bagaimana dakwat itu boleh jadi begitu mudah dibasuh, mereka menahan saya dan membawa saya ke mahkamah.”

Fadhli berkata beliau tidak mempunyai niat jahat apabila mengambil keputusan “menguji sistem” itu.

“Saya tidak melakukannya untuk menjatuhkan kerajaan. Saya boleh terlepas daripada semua ini jika saya diam. Tetapi saya pergi kepada polis dan memberitahu mereka apa yang berlaku.”

Fadhli berkata, kerajaan tidak harus menghukum seorang warganegara yang hanya mahu “menyumbang” dengan menunjukkan kelemahan dalam sistem supaya ia diperbaiki.

Beliau memberitahu mahkamah sebelum ini, beliau mahu menyerahkan kertas undi itu kepada pihak polis bagi membuktikan pengundian 2 kali boleh terjadi.

Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali ketika membuat keputusan membebaskan Fadhli berkata, pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan.

Peguam Fadhli Datuk Bastian Vendargon berhujah, perbuatan merentasi sempadan stesen tempat mengundi itu tidak dibuktikan pihak pendakwaan.

“Sempadan tempat mengundi tidak diwartakan dan oleh itu tidak ada cara menunjukkan anak guam saya keluar dari kawasan itu.”

Beliau berkata anak guamnya tidak berniat melakukan kesalahan itu tetapi semata-mata mahu menunjukkan terdapat kelemahan dalam sistem pilihan raya dan potensi pengundian berganda.

Seperti Fadhli, bekas tentera udara Mejar Zaidi Ahmad juga mendapati dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum 2013 mudah untuk dibersihkan.

Zaidi dipecat daripada angkatan tentera selepas tribunal tentera mendapatinya bersalah melanggar protokol dalam melaporkan masalah berhubung dakwat itu.

Beliau juga didapati melanggar perintah panglima angkatan tentera dengan bercakap kepada media tanpa kebenaran Kementerian Pertahanan. – 2 Januari, 2016.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris