26 akta, peraturan perlu pindaan selaras dengan TPPA, kata Mustapa

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2016/01/18/26-akta-peraturan-perlu-pindaan-selaras-dengan-tppa-kata-mustapa/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Antara undang-undang yang perlu diselaraskan dengan TPPA ialah mengenai hak harta intelek dan beberapa pekeliling berkaitan perolehan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Januari, 2016.

Sebanyak 26 undang-undang dan peraturan berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang melibatkan negeri dan persekutuan perlu dipinda dalam tempoh 2 tahun, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun, menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu menjelaskan proses pelaksanaan pindaan terhadap undang-undang tersebut hanya boleh dilakukan selepas mendapat kelulusan pada sesi perbahasan TPPA di Dewan Rakyat pada 26 dan 27 Januari ini, dan di Dewan Negara pada hari berikutnya.

Bercakap kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai TPPA kepada penjawat awam hari ini, beliau menjelaskan, antara pindaan itu turut melibatkan hak pekerja asing.

Namun, tegasnya, ia tidak memberi hak yang sama antara pekerja asing dengan pekerja tempatan.

“Tidak sama dan ini masih dibincangkan. Malah, perbincangan antara Kementerian Sumber Manusia dan pihak berkaitan, juga masih diadakan,” katanya.

Mustapa turut memberi jaminan pindaan mengenai hak buruh itu tidak akan melibatkan penjawat awam serta kesatuan sekerja yang mewakili sektor itu seperti Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs).

“TPPA tidak melibatkan perubahan struktur penjawat awam, namun kumpulan itu memainkan peranan penting sebagai pelaksana sekiranya TPPA dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, pindaan itu akan turut melibatkan Sabah serta Sarawak dan Kementerian Sumber Manusia kini berbincang dengan kedua-dua kerajaan negeri tersebut berkaitan pindaan Ordinan Buruh.

“Antara pindaan lain termasuk mengenai hak harta intelek dan beberapa pekeliling yang turut berkaitan dengan perolehan kerajaan,” katanya.

Malah, katanya, peguam negara juga sudah memulakan kerja awalan berkaitan pindaan undang-undang terbabit. – Bernama, 18 Januari, 2016.

 

Pautan Artikel Bahasa Inggeris