Undang-undang bakal benarkan sesiapa saja lapor ibu bapa cuai

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2016/01/18/undang-undang-bakal-benarkan-sesiapa-saja-lapor-ibu-bapa-cuai/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Pindaan Akta Kanak-Kanak akan turut menghukum ibu bapa dan penjaga yang didapati membiarkan anak mereka tanpa pengawasan sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Januari, 2016.

Pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 bakal membenarkan mana-mana pihak melaporkan ibu bapa atau penjaga yang cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, emosi dan seksual kanak-kanak jagaan mereka, kata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini.

Menurut penasihat undang-undangnya Zahida Zakaria, perkara itu tertakluk dalam Rang Undang-undang Kanak-kanak (Pindaan) 2015 yang bertujuan mendidik ibu bapa supaya bertanggungjawab dalam pengawasan anak-anak mereka.

Zahida merujuk perkara itu kepada beberapa kes kecuaian ibu bapa seperti meninggalkan anak di dalam kereta berseorangan, meninggalkan anak tanpa keperluan asas yang mencukupi di rumah dan membiarkan anak bermain di pusat membeli-belah tanpa jagaan sehingga menyebabkan kematian.

“Kita nak fokus kepada ibu bapa yang cuai, sebab bukannya kita nak menghukum mereka tapi kita nak mendidik ibu bapa berkenaan yang mereka patut lebih bertanggungjawab.

“Tidak boleh cuai terhadap anak mereka,” katanya kepada The Malaysian Insider selepas taklimat media di Institut Sosial Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, laporan boleh dibuat menerusi polis atau terus kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Namun, Zahida menjelaskan, hukuman terhadap ibu bapa bergantung kepada tahap keseriusan sesuatu kes itu.

“JKM akan beri jagaan sementara (kepada kanak-kanak terbabit). Tetapi semua itu diputuskan mahkamah. Kita tidak akan sesuka hati ambil kanak-kanak terbabit,” katanya.

Rang undang-undang itu dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Disember lepas, bertujuan meningkatkan perlindungan dan kebajikan kanak-kanak di negara ini.

Bercakap pada sesi penerangan media berhubung rang undang-undang itu di Kuala Lumpur hari ini, menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, ia menyaksikan lebih 70% akta asal dipinda.

Fokus rang undang-undang itu ialah pengabaian ibu bapa dalam penjagaan anak selain mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah.

Di bawah pindaan itu, kerajaan mencadangkan hukuman denda serta penjara di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 dinaikkan dari RM20,000 kepada RM50,000 dan penjara 10 hingga 20 tahun.

Selain itu, kementerian itu turut mengemukakan syor penempatan kanak-kanak dalam Penjagaan Berasaskan Keluarga bagi mereka yang memerlukan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan termasuk yang menjadi mangsa dera, abai dan tidak terkawal.

Pindaan itu turut memperkenalkan elemen baharu iaitu Perintah Khidmat Masyarakat (CSO) dilaksanakan ke atas ibu bapa dan kanak-kanak yang melakukan jenayah, pesalah dewasa yang mendera atau mengabai kanak-kanak selain memansuhkan hukuman sebatan kepada kanak-kanak yang melakukan kesalahan.

Turut dicadangkan ialah daftar pelaku jenayah bertujuan mengesan pendera kanak-kanak yang didapati bersalah, termasuk pesalah laku seks.

Rohani berkata, daftar itu mengandungi butiran penjenayah yang membolehkan orang ramai memperolehi maklumat daripada pihak JKM.

Rohani berkata, mereka yang ingin mendapatkan pemeriksaan latar belakang seseorang boleh menyemak di JKM.

“Contohnya, mereka yang mengendalikan pusat jagaan seperti taska boleh menyemak untuk menentukan sama ada pekerja yang bakal diambil itu terdapat dalam senarai daftar tersebut,” katanya pada sesi taklimat itu.

Langkah itu antara 10 penambahbaikan Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memperluaskan maklumat yang mengandungi butir terperinci penjenayah terutama melibatkan kanak-kanak dan pedofilia.

Pindaan akta itu dijangka akan diluluskan di Dewan Rakyat Mac ini.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari meminta kerajaan mewujudkan satu daftar pelaku jenayah seksual bagi menangani masalah keganasan terhadap kanak-kanak yang semakin meningkat.

Wakil rakyat DAP itu berkata, daftar itu membolehkan pengawalan dan pemantauan pergerakan penjenayah terbabit terutama melibatkan pedofilia. – 18 Januari, 2016.