Kenyataan Pejabat Peguam Negara Amerika Syarikat berkenaan siasatan 1MDB

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2016/07/21/kenyataan-pejabat-peguam-negara-amerika-syarikat-berkenaan-siasatan-1mdb/
SHARE

Hasil penterjemahan “We are Malaysian Voters” di laman Facebook

JABATAN PERUNDANGAN

Pejabat Hal-Ehwal Awam

Rabu, 20 Julai 2016

Amerika Syarikat Berusaha Mendapatkan Kembali Lebih AS$1 bilion Yang Diperoleh Melalui Rasuah Melibatkan Dana Mahsul Negara

A former IT executive from PetroSaudi International who had leaked information regarding 1Malaysia Development Bhd (1MDB) has been arrested. – The Malaysian Insider file pic, June 23, 2015.

Amerika Syarikat Berusaha Mendapatkan Kembali Lebih AS$1 bilion Yang Diperoleh Melalui Rasuah Melibatkan Dana Mahsul Negara. – The Malaysian Insider file pic, June 23, 2015.

Peguam Negara Loretta E. Lynch mengumumkan hari ini bahawa pemfailan permohonan rampasan sivil untuk tujuan merampas dan mendapat kembali lebih AS$1 bilion dalam bentuk aset yang berkait dengan konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang haram yang diseleweng dari sebuah dana mahsul negara (sovereign wealth fund atau SWF) Malaysia. Permohonan hari ini merupakan suatu tindakan tunggal terbesar yang pernah dijalankan di bawah Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi.

Turut mengiringi Peguam Negara Lynch di majlis pengumuman itu adalah Penolong Peguam Negara Leslie R. Caldwell dari Bahagian Jenayah, Jabatan Perundangan (Department of Justice); Peguam Kerajaan AS Eileen M. Decker dari Daerah Tengah California; Timbalan Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Andrew G. McCabe; dan Ketua Pengarah Siasatan Jenayah dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (IRS-CI) Richard Weber.

Menurut permohonan itu, sejak 2009 sehingga 2015, lebih dari AS$3.5 bilion dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikatakan diseleweng oleh pegawai-pegawai tinggi dan sekutu-sekutu mereka. Dengan pemfailan permohonan hari ini, Amerika Syarikat dengan ini berusaha untuk mendapatkan semula lebih AS$1 bilion dana yang diubah secara haram melalui Amerika Syarikan dan boleh dikesan dan disahkan berkait dengan konspirasi ini.

1MDB ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia untuk menggalakkan pembangunan ekonomi di Malaysia melalui perkongsian sejagat dan pelaburan terus asing, dan dananya sepatutnya digunakan untuk menambah baik kebajikan rakyat Malaysia. Namun begitu, menurut permohonan ini, para pegawai 1MDB dan sekutu mereka dikatakan menyelewengkan lebih AS$3 bilion daripada dana tersebut.

“Jabatan Perundangan tidak akan membenarkan sistem kewangan Amerika digunakan sebagai saluran amalan rasuah,” kata Peguam Negara Lynch.

“Dengan tindakan ini, kita beruasaha untuk merampas dan mengambil kembali dana yang asalnya bertujuan untuk mengembangkan ekonomi Malaysia dan membantu rakyat Malaysia. Akan tetapi, dana ini telah dicuri, diubah melalui badan-badan kewangan Amerika dan digunakan memperkaya beberapa pegawai dan sekutu mereka. Pegawai-pegawai korup di seluruh dunia patut tahu bahawa kami tidak akan menghentikan usaha agar mereka terus dinafikan hak ke atas hasil jenayah mereka.”

“Menurut pertuduhan dalam permohonan ini, kes ini adalah umpama ‘hidup meniru seni’ (life imitated art: hasil kerja yang amat halus dan rapi),” ujar Penolong Peguam Negara Caldwell.

“Sekutu-sekutu pegawai perasuah 1MDB ini dikatakan telah menggunakan sebahagian dari hasil haram dari skim penipuan mereka untuk membiayai The Wolf of Wall Street, sebuah filem tentang seorang broker saham korup yang cuba untuk menyembunyikan keuntungan haram miliknya di tempat-tempat yang dianggap selamat di luar negara. Walau bagaimanapun, sama ada pegawai-pegawai perasuah tersebut cuba untuk menyembunyikan aset curian di beberapa negara – atau di sebalik layar perak – Jabatan Perundangan beriltizam untuk memastikan tidak akan ada tempat yang selamat (untuk wang haram itu atau pengubahnya).

“Wang curian itu kemudiannya digunakan untuk membeli pegangan dalam syarikat muzik, hasil seni atau hartanah bernilai tinggi boleh dirampas di bawah undang-undang AS,” kata Peguam AS Decker.

“Tindakan hari ini adalah hasil usaha keras para peguam dalam jabatan saya dan Jabatan Perundangan, serta pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang di seluruh negara. Kami semua beriltizam untuk menyampaikan mesej bahawa kami tidak akan membenarkan Amerika Syarikat dijadikan ‘gelanggang bermain’ mereka yang korup, persada pengubahan wang haram atau tempat untuk menyembunyikan atau melaburkan harta curian.” “Amerika Syarikat tidak akan menjadi tempat selamat untuk pegawai kerajaan negara asing yang rasuah,” menurut Timbalan Pengarah McCabe.

“Rasuah awam, tidak kita di mana, adalah suatu ancaman kepada ekonomi sejagat yang saksama dan kompetitif. FBI bertekad untuk bekerjasama dengan mana-mana rakan di dalam mahupun luar negara untuk mengenalpasti dan memulangkan kembali harta curian ini kepada pemilik asal mereka yang sah, yakni rakyat Malaysia. Saya ingin berterima kasih kepada pasukan penyiasat FBI dan IRS yang telah bekerjasama dengan pihak pendakwaraya dan rakan-rakan luar negara kami dalam kes ini.”

“Pengumuman hari ini membuktikan betapa luas dan dalamnya pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang berkait dengan dana 1MDB,” kata Ketua Weber. “Kami tidak boleh membenarkan penyelewengan wang haram yang begitu besar, terang-terangan dan tanpa segan silu sebanyak berbilion-bilion dolar ini diubah melalui badan-badan kewangan AS tanpa sebarang akibat buruk.”

Menurut pertuduhan dalam permohonan, mereka yang terbabit dalam konspirasi ini – termasuk pegawai-pegawai 1MDB dan sekutu-sekutu lain – dikatakan mengalihkan lebih AS$3.5 bilion dana 1MDB. Dengan menggunakan dokumen dan perwakilan palsu, sekutu konspirator dikatakan mengubah dana haram melalui beberapa siri urusniaga rumit dan syarikat lohong (shell company) palsu yang mempunyai akaun bank di Singapura, Switzerland, Luxembourg dan Amerika Syarikat.

Urusniaga-urusniaga ini dikatakan bertujuan untuk menyembunyikan asal, punca dan hak milik dana terbabit, dan akhirnya diproses melalui badan-badan kewangan AS dan kemudiannya digunakan untuk memperoleh dan melabur dalam aset di Amerika Syarikat.

Dalam usaha untuk mendapatkan kembali lebih dari AS$1 bilion itu, permohonan itu memperincikan penyelewengan harta 1MDB yang dikatakan berlaku melalui sekurang-kurangnya tiga skim. Pada tahun 2009, dokumen permohonan menuduh para pegawai 1MDB dan sekutu mereka telah menggelapkan lebih kurang AS$1 bilion yang sepatutnya dilaburkan untuk eksploitasi konsesi tenaga yang dikatakan dimiliki oleh rakan kongsi luar negara.

Sebaliknya, dana itu dialihkan melalui syarikat-syarikat lohong dan digunakan untuk membeli beberapa aset, seperti yang dijelaskan dalam permohonan. Permohonan itu turut mendakwa sekutu konspirator menyeleweng lebih AS$1.3 bilion dari dana yang dikumpulkan melalui dua terbitan bon pada tahun 2012 and AS$1.2 bilion melalui terbitan bon pada tahun 2013.

Menurut perincian dalam pertuduhan ini, dana curian kemudiannya diubah dan mengalir masuk ke Amerika Syarikat dan digunakan oleh para konspirator untuk mendapatkan dan melabur dalam pelbagai aset. Aset-aset ini dikatakan termasuklah hartanah bernilai tinggi dan hartanah hotel di New York dan Los Angeles, sebuah jet peribadi bernilai AS$35 juta, karya seni oleh Vincent Van Gogh dan Claude Monet, serta pegangan dalam hak penerbitan muzik oleh EMI Music dan penyuntingan filem The Wolf of Wall Street pada tahun 2013.

Siasatan kes ini dijalankan oleh Unit Rasuah Antarabangsa FBI dan IRS-CI. Timbalan Ketua Woo S. Lee dan Peguam Perbicaraan Kyle R. Freeny dari Seksyen Rampasan Aset dan Pengubahan Wang Haram, Bahagian Jenayah, serta para Penolong Peguam Kerajaan AS John Kucera dan Christen Sproule dari Daerah Tengah California menjalankan pendakwaan bagi kes ini. Pejabat Hal-Ehwal Antarabangsa, Bahagian Jenayah turut memberikan bantuan kerjasama.

Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi ini dipimpin oleh sebuah pasukan pendakwa dari Seksyen Rampasan Aset dan Pengubahan Wang Haram, Bahagian Jenayah yang bertekad untuk merampas sebarang hasil rasuah pegawai negara asing dan, jika berkenaan, menggunakan aset yang dirampas untuk kemaslahatan mereka yang menjadi mangsa salahlaku rasuah dan salahguna kuasa.

Mereka yang mempunyai maklumat tentang sebarang kemungkinan wang hasil rasuah di negara asing yang, sama berada dalam atau diubah melalui negara Amerika Syarikat, wajib menghubungi pihak penguatkuasa undang-undang persekutuan atau menghantar emel ke kleptocracy@usdoj.gov 16-839

Pejabat Peguam Negara – Dikemaskini 20 Julai 2016

Diterjemah oleh We are Malaysian Voters on FB.