Status Facebook hina KPN, seorang lelaki didenda RM5,000

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2016/11/11/status-facebook-hina-kpn-seorang-lelaki-didenda-rm5000/
SHARE

Source: FMT News

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada seorang anak itu dipenjara 2 bulan jika gagal membayar denda. Pic dari FMT News.

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada seorang anak itu dipenjara 2 bulan jika gagal membayar denda. Pic dari FMT News.

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar surat didenda RM5,000 oleh Mahkamah Siber di sini hari ini kerana menghina Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosmin Mohamed Noor, 40, selepas tertuduh yang merupakan orang kena saman menukar pengakuan kepada bersalah hari ini, yang ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada seorang anak itu dipenjara 2 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda.

Ketika rayuan, peguam Ahmad Nurie Abdul Rahman yang mewakili Rosmin memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman denda paling minimum dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berpendapatan RM1,000.

“Anak guam saya juga sudah menukar pengakuan kepada bersalah yang menjimatkan masa mahkamah. Dia insaf dan menyesal atas perbuatannya serta mengaku tidak dapat mengawal emosi pada masa tersebut (ketika menulis status),” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi membendung pengguna media sosial daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Setiap perkataan dan pandangan yang dilontarkan haruslah bersifat rasional. Pohon hukuman sebagai pengajaran bukan sahaja kepada Rosmin tetapi kepada masyarakat agar lebih berhati-hati melontar pandangan di media sosial,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan seorang anggota polis membaca satu komen di laman Facebook yang dimuat naik Rosmin yang berunsur ugutan dan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Pada 29 September lepas, lelaki itu mengaku tidak bersalah menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet dan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran pernyataan yang bersifat menghina dan jelik terhadap Khalid dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 708, Kampung Teluk Bahru 2, Lundang, Kota Bharu, Kelantan, pada 10.10 pagi, 22 September lepas mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya.