Tindakan kapitalis kerajaan Kelantan, aniaya Orang Asli — Ishak Sairozi

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2016/12/09/tindakan-kapitalis-kerajaan-kelantan-aniaya-orang-asli-ishak-sairozi/
SHARE

Sumber: FMT News

Oleh Ishak Sairozi

More than 200 Orang Asli from villages around Gua Musang come to support those who have been arrested, urging police to release them. Pic taken from FMT News

More than 200 Orang Asli from villages around Gua Musang come to support those who have been arrested, urging police to release them. Pic taken from FMT News

Ketika Syria dibom, Rohingya dibakar hidup-hidup, seluruh rakyat Malaysia, daripada pucuk pimpinan hingga golongan marhaen, menzahirkan keprihatinan sebagai saudara seagama yang bersahabat di dunia, bersaudara di syurga.

Begitu juga ketika Paris meledak apabila tembakan rambang dilepaskan di bar. Seluruh dunia menunjukkan keprihatinan mereka dengan mengutus doa dan mengecam pelaku, menolak keganasan dengan menggunakan alasan kemanusiaan.

Ketika Harambe (seekor gorila yang terpaksa ditembak mati bagi menyelamatkan seorang kanak-kanak yang terjatuh di dalam kurungannya) dibunuh, keprihatinan dunia seolah-olah menunjukkan kemanusiaan itu masih segar di bumi pelbagai bangsa ini.

Bagaimanapun, sangkaan itu meleset apabila berlaku tragedi di Kelantan yang melibatkan kaum Orang Asli. Hak sebagai warganegara dan manusia dicerobohi.

Kisah yang diceritakan mungkin tidak jelas kerana dikaburi media dan pemanipulasi cerita. Tetapi secara ringkasnya, kita langsung tidak kisah tentang apa yang terjadi terhadap mereka yang juga rakyat Malaysia.

Kisah yang terjadi di Kelantan ini bukannya baharu wujud 2-3 hari lalu. Kisah balak ini sudah bertahun-tahun.

Saban tahun, kawasan balak yang dicerobohi sudah terlalu ke pedalaman sehingga menceroboh tempat tinggal Orang Asli.

Mereka terlebih dahulu berada di situ berbanding penceroboh berlesen yang datang untuk mengambil hasil bumi.

Sayangnya, kerajaan negeri berpendapat Orang Asli menceroboh rizab yang diisytiharkan sebagai hak milik kerajaan negeri.

Tanpa mengetahui Orang Asli lebih lama mendiami kawasan dicerobohi, kerajaan negeri terus dengan gagah berani mengisytiharkan mereka memiliki setiap sudut hutan dan sumber rezeki di tanah tersebut.

Justeru, mereka bukanlah menceroboh kediaman Orang Asli sebaliknya mengambil hak mereka. Ya, hak mereka yang sebenarnya bukan hak mereka! Kisah tragis ini tidak diberi liputan meluas, seluas saudara seIslam di Rakhine.

Kisah tentang Orang Asli ini dikaburi media PAS dengan menyalahkan Orang Asli membuat sekatan terhadap aktiviti pembalakan.

Orang Asli negeri lain bersolidariti mempertahankan hutan yang didiami keluarga dan sahabat mereka.

Orang Asli dari Perak dan Pahang membuat benteng menggunakan tubuh mereka sendiri.

Sambil berdiri menghalang pembalak yang rakus, mereka menyanyikan lagu Negaraku, lagu kebangsaan kita yang juga lagu kebangsaan mereka.

Malangnya sebagai akibat, mereka ditahan dan dipenjarakan. Ia sangat menyedihkan melihat apa yang berlaku di tempat paling mereka sayangi akhirnya diceroboh kerana hasil hutannya terlalu berharga kepada kerajaan negeri.

Tindakan harus diambil terhadap mereka ini. Solidariti kita sebagai warganegara Malaysia yang cintakan keamanan seharusnya dijadikan penguat semangat kepada mangsa yang tertindas di bumi serambi Mekah.

Kepada kerajaan Kelantan, ingatlah kamu pernah berkata kepada semua penduduk negara ini tentang peringatan yang dibacakan bagi mendapatkan undian supaya boleh memerintah negeri yang kaya dengan hasil tanah.

Maka hari ini, izinkan kami memberi peringatan tentang beberapa asas Islam yang mungkin kamu lupa kerana persekitaran yang mendesak dan mempengaruhi kamu.

Beringatlah semula para pemimpin yang amanah, kamu pernah mengingatkan tentang peranan manusia sebagai khalifah di bumi yang dimiliki al Khaliq ini.

Khalifah yang kamu perkatakan itu tugasnya bukanlah sekadar memerintah, menyampaikan amanah dan berbalah semata-mata.

Khalifah yang diharapkan juga bukanlah untuk memenuhi tuntutan manusia semata-mata bahkan untuk alam sejagat yang dicipta bagi memberi kamu nilai tambah dalam kehidupan.

Ingatlah ketika kamu berbicara tentang nasib saudara yang ditindas, yang hak mereka dirampas kamu menyuruh kami bersifat empati, meletakkan diri pada situasi yang terjadi. Kami sedar dan bermuhasabah diri.

Tetapi pada hari ini wahai pembalak kapitalis dan kerajaan negeri, sedarlah seorang Islam perlu ada nilai ihsan dalam diri.

Sedarlah Allah melihat apa yang kamu lakukan pada hari ini. Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati. Maka segeralah kamu juga bermuhasabah diri, kembali menjadi Islam sejati.

Mungkin tiada qunut nazilah yang akan dibacakan seperti untuk saudara seIslam kita di Rohingya.

Tetapi sebagaimana Allah memperkenankan doa umat Islam terhadap Israel yang menyaksikan kebakaran terbuka di sana, semoga akan ada balasan setimpal dirasai mereka yang menyalahgunakan kesucian agama dan bersifat kejam atas nama kapitalis.

Allah adalah Tuhan bagi orang Islam. Tetapi mereka yang melakukan kekejaman ini, Tuhan kamu bukan Allah, tetapi kapitalisme.

Mereka melihat penebangan pokok sebagai pembalakan, Orang Asli melihat pokok-pokok sebagai rumah pelbagai kehidupan.

Orang Asli penjaga ekosistem alam zaman berzaman. Tidak ada pencemaran tanpa pembalakan.

Alam rosak kerana mereka yang berkuasa menceroboh kerana ingin lebih kaya.

Ayuhlah kita cakna demi Orang Asli.

Kepada Orang Asli, mungkin ini tidak akan sampai kepada kamu tetapi harapan kami, semoga segala penindasan ini dapat kita hentikan.

Semoga takbir yang lebih ikhlas akan mentadbir dengan lebih belas. Solidariti dengan Orang Asli.

Penulis ialah eksekutif di Yayasan 1Malaysia.