Ibarat pikul batu berat di kepala, kata Orang Asli

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2016/12/12/ibarat-pikul-batu-berat-di-kepala-kata-orang-asli/
SHARE

Sumber: FMT News

Gambar seorang gadis OA di sumber air, dipetik dari FMT News.

Gambar seorang gadis OA di sumber air, dipetik dari FMT News.

PETALING JAYA: Ibarat pikul batu berat di kepala, begitu kata Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Jamali Ayu ketika ditanya mengenai nasib masyarakatnya hari ini.
Bukan sahaja isu tanah adat gagal diselesaikan secara berkesan, kurang daripada 50% Orang Asli di Kelantan mendapat kemudahan asas yang sempurna seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan raya dan rumah.

“Bekalan air tidak ada manfaat kerana air semua keruh. Sehingga kini Orang Asli masih lagi minum air keruh, bekalan air paip pun tak ada,” kata Jamali ketika ditemui FMT.

JKOAK mewakili lebih 13,000 Orang Asli di Kelantan. Jaringan itu turut sama bersolidariti bersama masyarakat Orang Asli Gua Musang baru-baru ini yang cuba menghalang kemasukan pembalak ke kawasan yang dikatakan tanah adat mereka.

Menurut Jamali, isunya sama ada janji tidak ditunaikan, atau ia tidak seperti yang diharapkan.

“Walaupun Kerajaan Persekutuan bagi loji air baru-baru ini tetapi tak berfungsi. Sekadar hiasan untuk Orang Asli.

“Jalan juga tidak ada. Yang ada hanya jalan untuk kegunaan pembalak. Bila projek balak habis jalan tersebut tidak ada pembaharuan.

“Mereka bina jalan untuk pembalak, bukannya untuk Orang Asli,” katanya.

Jamali mengingatkan kerajaan supaya tidak menipu Orang Asli kerana mereka merasai akibat perbuatan pemerintah walaupun duduk di pedalaman.

“Segala isu nasional melibatkan pentadbiran kerajaan kita tahu, seperti isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Harga barang semua meningkat.

“Orang Asli bekerja cari hasil hutan dapat RM50 seminggu. Tak cukup nak beli barangan keperluan. Ada yang terpaksa berhutang untuk menyara keluarga sebab harga barang terlalu mahal,” kata Jamali.

Ketika ditanya FMT, Jamali akui kerajaan juga membantu membina kediaman untuk mereka, tetapi kualitinya tidak orang luar sangkakan.

“Belum lagi kami duduk sudah retak. Bila sudah retak nak duduk pun tidak selesa tapi segelintir Orang Asli terpaksa sebab tiada lagi tempat tinggal.

“Penyediaan bekalan elektrik masih rendah. Kurang 50% sahaja Orang Asli yang dapat menikmatinya. Yang ada hanya tiang elektrik sahaja, malah kebanyakkan Orang Asli masih menggunakan pelita ayam.”

Jamali berasa geli hati apabila ada pihak mendakwa Orang Asli turut menikmati kemudahan Wi-Fi.

“Usah Wi-Fi, ‘line’ telefon pun tidak ada. Kadang-kadang kami terpaksa cari ‘line’ atas bukit,” katanya.