Masalah negara tak selesai selagi keyakinan rakyat merosot, kata Daim

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2016/12/18/masalah-negara-tak-selesai-selagi-keyakinan-rakyat-merosot-kata-daim/
SHARE

Sumber: FMT News

Bagi mendepani rakyat, kejujuran adalah prinsip terbaik kerana kerajaan tidak akan mampu menyelesaikan masalah negara selagi wujud defisit keyakinan.

daim-malaysia

Kerajaan perlu segera menangani ketidakyakinan rakyat kerana ia sudah berada pada tahap kronik, kata bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin. Gambar dipetik dari FMT News.

SHAH ALAM: Kerajaan perlu segera menangani ketidakyakinan rakyat kerana ia sudah berada pada tahap kronik, kata bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, ia perlu diatasi segera kerana tanpa keyakinan dan sokongan rakyat, amat sukar bagi kerajaan menyelesaikan masalah lain terutama yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Dalam mendepani rakyat, kejujuran adalah prinsip terbaik. Anda tidak akan dapat menyelesaikan masalah negara selagi wujud defisit keyakinan. (Penyelesaian masalah memerlukan) kerjasama erat antara yang memerintah dan yang diperintah,” katanya dalam rencana tulisannya yang diterbitkan akhbar The Edge pada 11 Disember.

Mengungkapkan pengalamannya ketika krisis ekonomi 1986 dan 1998, Daim berkata beliau ketika itu sentiasa terbuka dan jujur ketika mengutarakan masalah dihadapi negara.

“Rakyat pula mempunyai keyakinan untuk memberi lebih masa dan ruang agar kita boleh menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Menurut laporan mStar pada 23 Februari lalu, kaji selidik Edelman Trust Barometer 2016 menunjukkan kepercayaan masyarakat umum terhadap kerajaan pada tahap 39%, manakala kepercayaan masyarakat terpelajar pada 34%.

Beliau berkata, defisit keyakinan berpunca daripada kurangnya integriti dan keberanian moral penguasa serta elit negara, apatah lagi selepas rakyat merasakan pesalah laku rasuah tidak dikenakan tindakan segera.

“Dalam kes rasuah Jabatan Air Sabah, sudah hampir 2 bulan berlalu sejak mereka yang disyaki dilepaskan dengan ikat jamin. Demikian juga dengan tuduhan rasuah di Kementerian Belia dan Sukan.

“Dan siapa boleh nafi kes rasuah berbilion ringgit serta salah guna kuasa yang sedang berlaku,” katanya walaupun tanpa menyebut sebarang nama, dipercayai merujuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut beliau lagi, punca lain adalah beberapa tindakan pemimpin tanpa empati dan logik yang memburukkan lagi tahap keyakinan rakyat.

“Di saat rakyat dihimpit peningkatan kos sara hidup dan pelupusan subsidi, serta peruntukan untuk kesihatan dan pendidikan dipotong, tidak semena-mena kita mendegar tentang setengah bilion ringgit yang akan digunakan untuk mengubah suai taman.

“Ini sangat tidak sensitif dan tidak masuk akal,” katanya lagi, merujuk kepada projek Taman Tugu yang bakal memakan belanja kira-kira RM650 bilion di bawah kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Khazanah Nasional.

Rakyat tidak rasa pertumbuhan ekonomi

Beliau berkata lagi, segala angka yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi negara tidak bermakna jika rakyat tidak merasai sendiri manfaatnya.

Katanya, negara masih dibelenggu masalah pengangguran yang meningkat saban tahun terutama bagi tenaga kerja mahir.

“Angka jawatan kosong tahun ini adalah terendah sejak sedekad lalu. Yang ada pula kebanyakannya untuk kerja separuh mahir dan berkemahiran rendah. Ini tidak bagus untuk menjadi negara berpendapatan tinggi,” katanya lagi.

Daim mengutarakan langkah pembaikan, antaranya penubuhan pasukan pengurusan ekonomi bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Ekonomi yang ditubuhkan Ogos 2015 yang menurutnya gagal dan mesti dibubarkan.

“Pasukan ini mesti terdiri daripada golongan profesional berkepakaran teknikal tinggi, cekap dan berani berkata benar. Rakyat dan pelabur mesti mempunyai keyakinan kepada mereka,” katanya lagi.

Selain itu, institusi negara juga mesti dipulihkan bagi memastikan kebebasan badan kehakiman dan keselamatan, serta menjamin kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat.

“Jika kita gagal membuat pembaharuan penting ini, bermakna kita akan terbabas dan menjauhi sasaran untuk mencapai kemakmuran,” katanya lagi.