Zunar bebas dengan jaminan polis tengah malam tadi

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2016/12/18/zunar-bebas-dengan-jaminan-polis-tengah-malam-tadi/
SHARE

Sumber: FMT News

Kartunis kontroversi itu ditahan semalam di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen. Gambar dipetik dari FMT News.

Kartunis kontroversi itu ditahan semalam di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen. Gambar dipetik dari FMT News.

PETALING JAYA: Kartunis kontroversi Zunar bersama 4 individu lain yang ditahan polis dalam sebuah majlis kutipan dana petang semalam, dibebaskan tengah malam tadi.

Zunar dalam satu kenyataan berkata, beliau disoal siasat polis hampir 6 jam semalam, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Saya perlu melaporkan diri di balai polis pada 30 Disember 2016.”

Zunar atau nama sebenarnya, Zulkilflee Anwar Ulhaque ditahan ketika menghadiri majlis “Minum Petang Bersama Zunar” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), kira-kira 3 petang Sabtu.

Ini adalah kali kedua beliau ditahan dalam tempoh kurang sebulan.

Pada 26 November lalu, Zunar ditahan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan di Pulau Pinang kerana menjejaskan keamanan, susulan perbalahan di pameran lukisannya, di mana kira-kira 30 ahli Pemuda Umno Pulau Pinang menuntut beliau menurunkan karyanya.

Mereka mendakwa lukisan Zunar menyinggung perasaan dan memberi gambaran buruk kepada perdana menteri serta pemimpin negara lain.

Selain Zunar, aktivis sivil Lawrence Jeyaraj, ahli DAP Jimmy Wong dan 2 jemputan lain turut ditahan polis semalam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Peguam Zunar, Nicole Tan memberitahu FMT yang Zunar dan Lawrence disiasat di bawah Seksyen 124 (c) Kanun Keseksaan berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

Zunar mendedahkan polis merampas lebih 1,000 buku dalam majlis semalam yang menyebabkan beliau kerugian AS$10,000.

“Menurut polis, mereka akan menggunakan satu undang-undang untuk mengharamkan semua buku saya.”

 

Artikel Berkenaan