
Mereka yang ditahan adalah ketua penolong pengarah dan penolong pegawai Bahagian Undang-undang Syariah. – Gambar diambil dari FMT News
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor hari ini menahan 2 pegawai kanan Jabatan Agama Islam Negeri (JAINJ) kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.
Seorang daripadanya ialah ketua penolong pengarah dan seorang lagi penolong pegawai Bahagian Undang-undang Syariah.
Kedua-dua lelaki berusia 55 dan 40 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira 4.30 petang ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan dijalankan ke atas mereka.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-duanya menyalahgunakan kedudukan mereka di bahagian tersebut dengan meluluskan permit penganjuran kursus pra perkahwinan Islam tanpa melalui prosedur.
Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias yang mengesahkan tangkapan terbabit berkata kedua-dua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk mendapatkan permohonan reman.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, katanya.