Balu mahu siasatan bebas kematian suami dalam tahanan

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2017/03/15/balu-mahu-siasatan-bebas-kematian-suami-dalam-tahanan/
SHARE

 

Komen HAKAM: Setiap kematian dalam tahanan polis semestinya disiasat. Pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedang menjalankan siasatan sedemikian.

Soalannya, adakah siasatan-siasatan begini mencukupi untuk meraih keadilan bagi pihak-pihak semati dan keluarga mereka? Sedangkan pegawai polis mungkin terbabit dalam kesalahan yang membawa kepada kematian-kematian ini, adakah wajar ataupun mencukupi kalau hanya pihak polis yang diberi kuasa rasmi untuk menyiasat dan menjatuhkan apa-apa kehukuman terhadap anggota mereka yang disabitkan bersalah mengabaikan ataupun melanggari SOP polis ke atas tahanan polis?

Memandangkan kejadian-kejadian kematian dalam tahanan polis masih seringkali berlaku, bukankah wajar pertimbangan yang lebih berat dan mendalam diberi kepada seruan berterusan untuk penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (“Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC)“)?

Sumber: FMT News

PETALING JAYA: Balu Thanaseelan Muniandy, yang meninggal dunia dalam tahanan polis bulan lepas, mahu siasatan bebas ke atas kematian suaminya.

Piremilah Sinasamy membuat laporan polis di IPD Petaling Jaya hari ini, meminta Bukit Aman menyiasat kematian itu.

“Pegawai dari balai polis Bukit Sentosa tidak boleh melakukan siasatan ke atas kematiannya kerana mereka mungkin terbabit,” kata suri rumah itu.

Piremilah mendakwa keluarganya tidak diberitahu mengenai penahanan Thanaseelan sehinggalah selepas kematian. Thanaseelan ditemui mati di balai polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor 25 Februari lalu.

“Saya diberitahu dia sakit semasa ditahan,” katanya, menyoal mengapa suaminya tidak diberi rawatan sewajarnya.

Piremilah mendapat tahu mengenai kematian suaminya selepas polis meminta beliau hadir ke balai polis.

“Mereka beritahu dia sangat sakit. Bila saya dan keluarga sampai, mereka beritahu dia sudah mati.”

Dilaporkan hasil bedah siasat mendapati Thanaseelan, 43, mati akibat ulser gastrik berlubang (perforated gastrik ulser).

Peguam keluarga, Eric Paulsen berkata kementerian kesihatan harus menjalankan siasatan berdasarkan kepada tatacara operasi standard untuk tahanan yang memerlukan rawatan perubatan.

“Ada sesuatu yang tidak kena. Thanaseelan dibawa ke hospital 7 jam sebelum mati dan hanya diberikan ubat gastrik,” katanya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedang menyiasat kematian itu.

Mereka juga sedang menyiasat kematian S Balamurugan, 44, di ibu pejabat polis Klang Utara pada 7 Februari. Polis berkata 10 kakitangan sedang disiasat berhubung kematian itu tetapi tiada yang digantung kerja.

Peguam keluarga mendakwa bedah siasat kedua menunjukkan beliau mengalami beberapa kesan pukul yang membawa kepada kegagalan jantung.