Hak untuk tidak beragama juga dijamin perlembagaan, kata bekas hakim

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2017/11/24/hak-untuk-tidak-beragama-juga-dijamin-perlembagaan-kata-bekas-hakim/
SHARE

Sumber: FMT News

Bekas hakim dan peguam memberikan pandangan undang-undang mereka berkenaan kenyataan Asyraf Wajdi Dusuki di Parlimen semalam. Gambar dipetik dari FMT News.

PETALING JAYA: Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama termasuk hak untuk tidak mengamalkan apa-apa agama, kata beberapa pakar undang-undang.

Bagaimanapun, bekas hakim dan peguam yang ditemubual berkata pengecualian dibuat terhadap penganut Islam berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2007 di mana mereka yang ingin menukar agama daripada Islam ke agama lain mesti mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata Perkara 11 menjamin kebebasan beragama termasuk hak untuk tidak mengamalkan apa-apa agama.

“Oleh itu, kerajaan tidak boleh memaksa setiap warganegara menganut mana-mana agama dan arahan itu bercanggah dengan perlembagaan,” katanya.

Sebagai contoh, seorang bukan Islam boleh menolak mengikut mana-mana agama kerana perlembagaan tidak membenarkan paksaan dalam beragama.

“Ia hanya menjamin kebebasan beragama.”

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa kebebasan beragama dalam perlembagaan tidak bermakna bebas daripada mengamalkan apa-apa agama.

Asyraf berkata fahaman ateisme yang menafikan kewujudan Tuhan menyangkal kesucian agama lain di Malaysia dan bercanggah dengan undang-undang berkaitan ketenteraman awam dan moral.

Bagaimanapun, Sri Ram berkata pendapat timbalan menteri itu adalah salah.

Beliau menganggap kenyataan Asyraf di Parlimen itu sebagai pendapat peribadi “yang mana dia berhak mendapat dan menjamin dirinya di bawah perlembagaan untuk bebas bersuara”.

Sementara itu, peguam K Shanmuga berkata semua pernyataan undang-undang di negara Komanwel lain yang mempunyai perkataan yang sama mengenai perlembagaan Malaysia membenarkan rakyatnya menikmati kebebasan beragama, termasuk hak tidak dikaitkan dengan kumpulan tertentu.

Bagaimanapun, beliau berkata perlembagaan menghalang penyebaran agama lain kepada umat Islam.

“Perlembagaan membenarkan negeri-negeri di Persekutuan membuat undang-undang mengenai siapa yang boleh berdakwah kepada orang Islam. Tetapi saya tidak rasa kerajaan boleh mendiskriminasikan seseorang hanya kerana dia seorang ateis,” katanya.

Beliau berkata umat Islam boleh dihukum kerana mempercayai agama lain atau tidak mempunyai agama.

“Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy mengisytiharkan umat Islam mesti mendapatkan sijil penukaran agama dari Mahkamah Syariah untuk meninggalkan Islam,” katanya.

Shanmuga bagaimanapun berkata perlembagaan dan peguam hak asasi manusia berpendapat keputusan dalam kes itu perlu disemak semula kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 11.

Dalam kes Lina, seorang yang dilahirkan Islam ingin menukar agama kepada Kristian untuk berkahwin dengan teman lelakinya, tetapi Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti berpendapat sijil pembaptisan tidak mencukupi untuk membuktikan dia bukan lagi seorang Islam.

 

Artikel Berkenaan