Bina sekatan sebagai bantahan masyarakat Orang Asli

Facebook
Facebook
Google+
http://hakam.org.my/wp/2018/02/19/bina-sekatan-sebagai-bantahan-masyarakat-orang-asli/
SHARE

Source: BH Online

KOTA BHARU: Masyarakat Orang Asli, hari ini membina sekatan baharu di tiga lokasi kawasan Hutan Simpan Gunung Stong Selatan di Gua Musang sebagai bantahan terhadap aktiviti pembalakan, projek perladangan dan penanaman durian ‘Musang King’ di daerah itu.

Sekatan itu dibina di Cawas, Gua Cha and Pos Gob.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (Jaringan), Mustapa Along, berkata sekatan itu dibuat sebagai bantahan kepada Kerajaan Negeri yang sejak kebelakangan ini banyak mengeluarkan lesen pembalakan, terutama di Cawas.

Katanya, lebih 800 Orang Asli terbabit dalam bantahan itu dan mereka adalah dari beberapa penempatan, termasuk Pasik, Kuala Bering dan Pos Tohoi.

“Sekatan yang kami lakukan di Cawas adalah tetap, manakala dua sekatan lagi adalah berbentuk sementara sehingga kami mendapat lokasi yang sesuai.

“Kami membuat keputusan untuk mendirikan sekatan itu kerana bersebab dan bagi kami, tak salah jika Kerajaan Negeri keluarkan banyak lesen balak tetapi mereka juga perlu fikir masalah dan kesan dari aktiviti itu kepada masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

“Aktiviti pembalakan, projek perladangan dan juga penanaman durian `Musang King’ itu meliputi sembilan lokasi yang didiami lebih dari 3,000 masyarakat Orang Asli,” katanya.

Mustapa berkata, selain aktiviti pembalakan, masyarakat Orang Asli juga bimbang penanaman durian `Musang King’ dan lain-lain itu akan menjejaskan eco-sistem kawasan itu.

“Kami hanya minta Kerajaan negeri Kelantan dan juga jabatan berkaitan untuk menghentikan aktiviti hutan yang melampau dan fikir kesannya ke atas eco-sistem hutan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Datuk Zahari Ibrahim berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai sekatan baru itu baru-baru ini.

“Saya sudah mengarahkan kakitangan untuk memantau situasi itu dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung dengan pembinaan tiga sekatan itu,” katanya.

Isu sekatan oleh Orang Asli bermula beberapa tahun lalu dan kemuncaknya adalah pada tahun 2016 apabila enam sekatan dibina di Hutan Simpan Balah di Gua Musang.

Berikutan itu, pihak Jabatan Perhutanan Kelantan mengambil tindakan dengan merobohkan sekatan itu selain menahan Orang Asli yang terbabit.

Antara kronologi sekatan penduduk Orang Asli di Gua Musang

  • September 2016: Lebih 200 penduduk Orang Asli dari 17 kampung membina sekatan bagi menghalang semua lori balak daripada melalui kawasan Hutan Simpan Balah.
  • Oktober 2016: Jabatan Perhutanan Kelantan membuat sekatan di Hutan Simpan Balah untuk menghalang individu atau pihak luar yang ingin memasuki hutan simpan tanpa permit yang sah.
  • 29 November 2016: Jabatan Perhutanan Kelantan menjalankan operasi meroboh sekatan yang dibina Orang Asli di Hutan Simpan Balah.
  • 30 November 2016: Seramai 47 Orang Asli direman di Mahkamah Gua Musang selepas ditahan dalam operasi merobohkan sekatan di Pos Petei dan Pos Bihai di Hutan Simpan Balah, Gua Musang.
  • Disember 2016: Orang Asli bina semula sekatan Simpang Petei, Pos Pasik serta Pos Bihai, di Gua Musang.