Kenali HAKAM

HAKAM telah ditubuhkan di bawah pimpinan dua bekas Perdana Menteri Malaysia, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Hussein Onn. HAKAM kini adalah persatuan berdaftar, yang mempunyai matlamat, antaranya, untuk memelihara, memajukan dan mempertahankan hak-hak asasi manusia di Malaysia.

Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (atau The National Human Rights Society) lebih dikenali melalui singkatan “HAKAM”.

The formation of HAKAM

The formation of HAKAM

Sempena ulangtahun ke-40 Perisytiharan Hak-Hak Asasi Manusia 1948 (Universal Declaration of Human Rights 1948) pada 10 Disember 1988, komuniti badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia, bersama bekas Perdana Menteri  Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Hussein Onn, dan diiringi oleh aktivis-aktivis sivil terkemuka seperti Raja Aziz Addruse, Dr. Tan Chee Khoon serta Tan Sri Ahmad Nordin, telah mengumumkan niat untuk menubuhkan suatu Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia bagi tujuan memajukan dan mempertahankan hak-hak asasi manusia di Malaysia.

HAKAM menerima pendaftaran rasmi daripada Pendaftar Pertubuhan Malaysia di bawah Akta Pertubuhan 1966 pada 14 Jun 1991.

Antara matlamat-matlamat HAKAM adalah:*

1. Untuk memelihara, memajukan dan mempertahankan hak-hak asasi manusia dan seiring itu:-

(a) Untuk memajukan dan menggalakkan rasa hormat serta pematuhan terhadap hak asasi manusia individu dan secara kolektif, yang merangkumi hak-hak politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan awam, dan juga untuk menggalakkan kesedaran bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab terhadap individu-individu lain serta masyarakat umum;

(b) Untuk menyebarkan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang dinyatakan dengan jelas dalam Perisytiharan Hak-Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu; dan

(c) Untuk menasihati kerajaan Malaysia untuk meratifikasi Perjanjian Antarabangsa Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (“International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights“), Perjanjian Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik (“International Covenant on the Civil and Political Rights), Protokol Pilihan kepada Perjanjian Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik (“Optional Protocol to the International Covenant on Civil and Political Rights), dan mana-mana suratcara Bangsa-Bangsa Bersatu, Antarabangsa atau Serantau berkenaan dengan hak asasi manusia.

2. Untuk berkempen secara sah bagi pemansuhan semua undang-undang yang tidak konsisten dengan atau bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang serta untuk pengisytiharan undang-undang bagi memastikan pematuhan dan kemajuan  hak asasi manusia;

3. Untuk menerima petisyen atau aduan daripada individu dan kumpulan individu-individu berhubung dengan pelanggaran hak asasi manusia dan untuk membantu mereka mendapatkan ganti rugi, serta berusaha untuk menghulurkan nasihat guaman dan perwakilan apabila perlu;

4. Untuk menjalankan kajian dan penyelidikan ke atas status hak asasi manusia di negara ini dan menerbitkan apa-apa penemuan, tertakluk kepada kelulusan, sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang;

5. Untuk memulakan analisis, dan penilaian terhadap nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam pelbagai tradisi kerohanian di negara ini yang mempunyai kaitan secara langsung dengan hak asasi manusia;

6. Untuk berhubung dan bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan kebangsaan, serantau dan antarabangsa berkenaan dengan hak asasi manusia.

* Dipetik dan diterjemah dari Perlembagaan HAKAM (Inggeris)