Sejarah HAKAM

The 1980s saw an era of turmoil in Malaysia

The 1980s saw an era of turmoil in Malaysia

ASAL-USUL HAKAM

Penghujungan dekad 1980-an merupakan tempoh sejarah yang amat perit dari segi politik serta sosial. Kerajaan pusat pada masa itu menghadapi pelbagai cabaran, sehingga parti UMNO mengalami krisis pimpinan yang melihatkan perbalahan sengit di antara 2 pihak. Pertubuhan-pertubuhan aktivis sivil juga turut bersuara lantang mengecam tindakan-tindakan kerajaan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia. Akhirnya, semua ini mencetuskan tindak balas yang keras daripada kerajaan pusat.

 

Ops Lalang 1987

Sejarah Operasi Lalang kini terpendam di ingatan. 106 rakyat Malaysia termasuk pemimpin-pemimpin aktivis sivil, ahli-ahli kesatuan, pensyarah, pendakwah – Karpal Singh, Lim Kit Siang, Chandra Muzaffar, Irene Xavier, Dr Kua Kia Soong – dan sesiapa yang dianggap sebagai pembangkang ditahan dengan sewenang-wenangnya. Media disenyapkan dan kebebasan akhbar dikongkong. Kerajaan pusat juga mencabul kuasa dan peranan institusi Kehakiman – satu-satunya badan yang berperanan menyemak kuasa kerajaan dan mempertahankan hak-hak asasi individu. Kesan tindakan-tindakan yang begitu melampaui batas tersebut masih berkumandang dalam ruang sosio-politik sehingga hari ini.

Operasi Lalang 1987

Operasi Lalang 1987

Pada tahun 1985, Sim Kie Chon, seorang buruh miskin, diberkas di bawah Akta Hasutan 1948 atas tuduhan memiliki senjata api. Setelah didapati bersalah oleh Mahkamah, Sim disabitkan dengan hukuman mati.

Pada 24 Julai 1985, Param Cumaraswamy, Naib Presiden Badan Peguam Malaysia pada masa itu, telah mengadakan sidang media bagi merayu kepada Lembaga Pengampunan (“Pardons Board”) untuk mempertimbangkan semula dan merendahkan hukuman Sim Kie Chon. Beliau berkata,

“Rakyat jelata tidak sepatutnya mempunyai anggapan bahawa hukuman berat hanya dikenakan terhadap golongan yang miskin, lemah dan kurang bertuah dan tidak terpakai sesama pada orang kaya-raya, berkuasa dan berpengaruh.” – Param Cumaraswamy

Walaubagaimana, kenyataan ini telah menyebabkan Cumaraswamy ditahan atas tuduhan menghasut. Beliau akhirnya didapati tidak bersalah.

 

Krisis Penghakiman 1988

The attack on the Judiciary

The attack on the Judiciary

Setelah Tun Salleh Abas digantung jawatan sebagai Lord President, Tun Abdul Hamid dilantik sebagai Pemangku Lord President.

Manjit Singh Dhillon, setiausaha Badan Peguam pada masa itu, mengikrar satu afidavit sokongan yang menyatakan bahawa Tun Abdul Hamid telah menyalahgunakan jawatan semata-mata bagi mempertahankan kepentingan peribadinya, dan oleh itu, Tun Abdul Hamid sepatutnya dilucutkan jawatan sebagai Pemangku Lord President. Namun, Manjit kemudian dituduh dan didapati bersalah menghina Mahkamah dan didenda RM5,000-00 dan 3 bulan penjara jika denda tidak dibayar.

Berdasarkan peristiwa-peristiwa sebegini yang jelas mengenepikan hak-hak asasi manusia, maka muncullah sahutan kuat untuk memulihkan negara kepada landasan yang betul.

 

HAKAM DITUBUHKAN DAN KEMUDIAN DIDAFTARKAN

Call for HAKAM's formation

Call for HAKAM’s formation

Sahutan untuk usaha pemulihan tersebut dijawab atas pimpinan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Pada ulangtahun ke-40 Pengisytiharan Hak-Hak Asasi Manusia 1948 (“Universal Declaration of Human Rights 1948“) pada 10 Disember 1988, komuniti badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia, bersama Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Raja Aziz Addruse, Dr. Tan Chee Khoon dan Tan Sri Ahmad Nordin, telah melancarkan pertubuhan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia – HAKAM bagi tujuan menggalakkan dan mempertahankan hak-hak asasi manusia di Malaysia.

Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai pengerusi pro-tem pertama HAKAM.

Pada tahun 1989, Perdana Menteri Malaysia ke-3, Tun Hussein Onn membuat permohonan bagi mendaftarkan HAKAM sebagai persatuan sah.

HAKAM merupakan badan NGO hak asasi manusia pertama di Malaysia yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Tun Hussein Onn kemudiannya terpilih sebagai pengerusi pro-tem ke-2 HAKAM.