Projek Mansuhkan Hukuman Mati

capital punishmentPENDIRIAN HAKAM

HAKAM sentiasa berhasrat untuk pemansuhan hukuman mati. Hukuman mati sememangnya muktamad – iaitu tidak boleh diubah dan terlalu keras. Ia tidak menawarkan ruang untuk pemulihan atau penyesalan. Selain itu, ia telah ditunjukkan dalam banyak bidang kuasa lain di mana proses kehakiman yang terlibat dalam kes-kes hukuman mati sering kali terdedah kepada kesilapan manusia. Hukuman Mati merupakan pelanggaran hak asasi manusia.

Mengapa Hukuman Mati harus dimansuhkan?
(Sumber: Diterjemah dari The International Commission Against Death Penalty

death_penalty_a_simple_recipe___alexandre_april1. Risiko tersalah hukum orang yang tidak bersalah wujud dalam mana-mana sistem keadilan
Hakikatnya, terdapat kes-kes di mana hukuman mati orang dilaksanakan ke atas orang yang tidak berdosa, dan ini akan sentiasa terus berlaku. Tidak kira seberapa maju sesuatu sistem keadilan, ianya akan kekal terdedah kepada kegagalan manusia. Hukuman mati, setelah dilaksanakan, tidak dapat diperbalikkan ataupun diketepikan, tidak seperti hukuman penjara.

2. Aplikasi hukuman mati secara sewenang-wenang tidak boleh dipertikaikan
Hukuman mati sering digunakan dengan cara yang kurang seimbang terhadap golongan miskin, golongan minoriti dan ahli-ahli kumpulan kaum, etnik, politik dan agama.

3. Hukuman mati tidak sesuai dengan hak asasi manusia dan maruah manusia
Hukuman mati melanggari hak manusia untuk hidup yang merupakan satu-satu hak asasi manusia yang paling asas. Ia juga mencabuli hak manusia untuk tidak tergamak kepada perlakuan penyeksaan dan kejam, mahupun yang tidak berperikemanusiaan atau menghina. Tambahan pula, hukuman mati menjejaskan maruah manusia yang sepatutnya dinikmati tiap-tiap orang.

4. Hukuman mati tidak berkesan dalam pencegahan jenayah
Hukuman mati tidak mempunyai kesan pencegahan yang biasanya dirujuk oleh penyokong-penyokongnya. Seperti yang dinyatakan baru-baru ini oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, “tidak ada bukti konklusif terhadap nilai pencegahan hukuman mati” (PAPBB Resolusi 65/206). Adalah perlu diperhatikan bahawa di banyak negara-negara “retentionist”, semakin ramai ahli penguatkuasaan undang-undang kini mempersoalkan keberkesanan hukuman mati untuk mengelakkan ataupun mencegah jenayah serius.

5. Pendapat awam bukan penghalang utama untuk pemansuhan
Sokongan orang ramai terhadap hukuman mati tidak bermakna bahawa penjatuhan hukuman mati oleh kerajaan ke atas seorang manusia adalah tindakan yang betul. Terdapat duluan sejarah yang tidak dipertikaikan di mana pencabulan hak asasi manusia kasar telah mendapat sokongan daripada majoriti rakyat, tetapi yang telah dikutuk dengan bersungguh-sungguh di kemudian hari. Tokoh dan ahli-ahli politik diwajipkan untuk menggariskan ketidakserasian hukuman mati dengan hak asasi manusia dan maruah manusia. Perlulah ditunjukkan bahawa sokongan rakyat terhadap hukuman mati berkait rapat dengan keinginan rakyat untuk hidup bebas daripada jenayah. Walau bagaimanapun, hakikatnya, wujudnya cara yang lebih berkesan untuk mencegah jenayah.

 

LANGKAH PERTAMA

Oleh kerana perubahan biasa dicapai melalui langkah-langkah kecil, HAKAM telah memulakan langkah pertama untuk membela pemansuhan hukuman mati mandatori, khususnya bagi kesalahan mengedar dadah. Sekiranya dan apabila hukuman mati mandatori dimansuhkan bagi kesalahan mengedar dadah, HAKAM berhasrat untuk membawa kepada pemansuhan hukuman mati mandatori bagi kesalahan lain, dan ketamatan penggunaan hukuman mati sebagai apa-apa hukuman jenayah.

Perundangan hak-hak manusia undang-undang antarabangsa menolak tanggapan hukuman mati mandatori, iaitu bahawa orang yang disabitkan kesalahan itu tidak berhak menerima mitigasi atau pengurangan kepada hukuman yang dijatuhkan ke atasnya. Prinsip keragutan nyawa yang sewenang-wenangnya adalah disebabkan oleh pengenaan hukuman mati tanpa mengambil kira keadaan peribadi. Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah secara konsisten melarang pengenaan hukuman mati mandatori.

Selain daripada masyarakat antarabangsa, rakyat Malaysia telah juga beransur-ansur bergerak ke arah menjadi masyarakat yang lebih bertamadun dan penyayang, dan dengan secara terbuka hati mengalu-alukan perbincangan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori terhadap kesalahan mengedar dadah.

gallowsPada tahun 2009, wakil Malaysia di Geneva memaklumkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa Malaysia ada mempertimbangkan menggantikan hukuman mati dengan penjara seumur hidup. Inisiatif ini disokong pada masa itu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal undang-undang dan parlimen, Dato’ Seri Nazri Aziz. Beliau telah membentangkan sokongan terhadap penentangan hukuman mati pada tahun 2011, tetapi beliau telah menyatakan dengan jelas bahawa pada pandangan beliau ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan orang ramai.

Melalui kajian semakan undang-undang, Peguam Negara Malaysia pun mendapati bahawa mahkamah dan badan-badan hak asasi antarabangsa, termasuk Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, telah memutuskan bahawa hukuman mati mandatori adalah pelanggaran hak asasi manusia.

Dasar pemansuhan hukuman mati mandatori, sekurang-kurangnya ke atas keldai dadah, juga telah diperjuangkan oleh kumpulan akhbar, terutamanya oleh akhbar New Straits Times. Pelbagai badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga, seperti Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pelapor Khas PBB luar undang-undang, penghakiman terus atau hukuman mati dan pembunuhan sewenang-wenang, serta Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah, telah secara konsisten menegaskan bahawa kesalahan berkaitan dengan dadah tidak memenuhi ambang “jenayah yang paling serius” yang mewajarkan penggunaan hukuman mati secara sah.

Pada bulan Mac 2014, Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa, badan bebas dan quasi-kehakiman yang memantau pematuhan kerajaan kepada tiga konvensyen kawalan dadah antarabangsa telah menggalakkan kesemua negara-negara untuk memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dengan dadah.

Kebimbangan sosial semakin meluas, memandangkan bilangan banduan hukuman mati hari ini. Statistik menunjukkan bahawa terdapat seramai 930 banduan di penjara-penjara sehingga 31 Ogos 2012 yang menunggu pelaksanaan hukuman mati. Walaupun terdapat seolah-olahnya satu moratorium tidak rasmi terhadap pelaksaana hukuman mati, wujudnya keperluan ketara untuk mencapai suatu keadaan yang lebih tertentu bagi pihak banduan-banduan tersebut.

Kebimbangan politik merujuk kepada keperluan tadbiran kerajaan yang berdasarkan piawaian dan amalan antarabangsa. Pemansuhan hukuman mati mandatori, melalui pembaharuan undang-undang akan membuktikan komitmen kerajaan ke arah pembangunan kepada satu negara progresif. Adalah penting bagi kerajaan untuk mengikuti pembaharuan undang-undang moden dan progresif terutamanya selepas pilihan Malaysia baru-baru ini sebagai ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa.

Daripada “Laporan Projek Mansuhkan Hukuman Mati” tulisan Prof. Roger Hood yang bertajuk, “Hukuman mati di Malaysia: pendapat awam pada hukuman mati mandatori kerana mengedar dadah, pembunuhan dan senjata api” rakyat Malaysia telah terbukti lebih keberatan untuk menjatuhkan hukuman mati. Bekas Presiden HAKAM Abdul Rashid Ismail mewakili sebahagian daripada pasukan penyelidikan Prof Roger Hood bagi laporan itu.

Di bawah kajian laporan itu yang bertajuk “Sokongan apabila berdasarkan senario pengedaran dadah“, laporan itu mendapati tahap sokongan yang rendah bagi pengenaan hukuman mati mandatori terhadap jenayah jenis biasa seperti kes pengedaran dadah, mahupun untuk memohon hukuman mati sama sekali.

Kajian yang sama melaporkan di bawah kajian tajuk “Pencegahan dan sokongan untuk hukuman mati” bahawa golongan yang memihak kepada hukuman mati jatuh dari 75% kepada 43% terhadap jenayah mengedar dadah apabila responden ditanya pendapat mereka dari segi jika terdapat bukti saintifik baru yang menunjukkan bahawa hukuman mati mandatori bukanlah penghalang yang lebih kukuh kepada jenayah mengedar dadah.

Oleh itu, adalah jelas bahawa kedudukan semasa undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak mencerminkan kehendak rakyat. Rakyat Malaysia telah menunjukkan bahawa ambang untuk menjatuhkan hukuman mati keatas sesiapa pun seharusnya lebih tinggi.

 

Apa salahnya mengekalkan hukuman mati mandatori dalam rangka undang-undang di negara ini? Mengapa ini tidak adil?

Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa “Tiada seorang pun boleh dilucutkan nyawanya … kecuali mengikut undang-undang“. Peruntukan-peruntukan yang berkaitan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 gagal mempertimbangkan isu hak asasi dalam proses pengenaan hukuman mati dan mengakibatkan pengenaan hukuman mati yang sewenang-wenangnya.

Peruntukan hukuman mati mandatori melarang budi bicara mahkamah untuk mempertimbangkan keberatan bukti dalam kes-kes jenayah hukuman mati terutamanya bila terdapatnya keadaan-keadaan mitigasi. Ini boleh membawa kepada keputusan yang sewenang-wenang mahupun yang tidak seimbang dengan keadaan kes itu. Peruntukan-peruntukan yang berkaitan juga teras mengandungi anggapan bersalah dan ini boleh menghakis hak seseorang untuk satu perbicaraan yang adil.

Hakim-hakim arif merupakan orang dalam kedudukan yang terbaik untuk memutuskan hukuman yang sesuai terhadap pesalah. Hukuman mati mandatori menyingkirkan budi bicara hakim. Di dalam mana-mana perbicaraan jenayah biasa lain, hakim dapat mengambil kira faktor-faktor berat serta faktor-faktor mitigasi apabila membuat keputusan mengenai hukuman yang sesuai. Akan tetapi, mereka tidak boleh berbuat demikian di bawah kes hukuman mati mandatori kerana hukuman mati adalah satu-satunya hukuman boleh dikenakan.

Pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperkenalkan hukuman mati mandatori pada tahun 1983, dibuat terutamanya sebagai penghalang tegas jenayah dadah. Persoalannya ialah adakah pindaan ini berbaloi kalau hukuman mati mandatori tidak bertindak sebagai penghalang? Bagaimana jika ia tidak berkhidmat terhadap tujuannya?

Pada bulan Mac 2012, Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein, telah mendedahkan di Parlimen pada masa itu bahawa hukuman mati mandatori telah terbukti gagal untuk bertindak sebagai penghalang. Statistik polis tangkapan pengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, telah menunjukkan peningkatan pada 2009-2011. Pada tahun 2009, terdapat 2,955 pemberkasan di bawah seksyen ini. Pada tahun 2010, 3,700 orang telah diberkas manakala 3,845 diberkas pada tahun 2011, .

Kadar pemberkasan jelas menunjukkan peningkatan aktiviti pengedaran dadah di Malaysia walaupun terdapatnya ancaman hukuman mati mandatori.

Profesor Jeffrey Fagan, seorang profesor undang-undang di Universiti Columbia, Amerika Syarikat, yang muncul sebagai saksi pakar untuk Encik Chan dan Encik Sukumaran dalam sesuatu rayuan gagal pada tahun 2007 di Indonesia (“Bali Nine” case), berkata,

“Tidak terdapat apa-apa bukti saintifik yang boleh dipercayai menunjuk kepada hukuman mati sebagai pencegah perlakuan jenayah.” – Prof. Jeffrey Fagan, Columbia University

Pakar undang-undang Indonesia Profesor Tim Lindsey daripada University of Melbourne berkata, penyelidikan muktamad menunjukkan bahawa,

“Adalah hampir tiada bukti mana-mana sahaja di dunia yang hukuman mati berkesan mencegah jenayah dalam apa jua bentuk”. – Prof. Tim Lindsey, Universiti Melbourne

Bekas Hakim Maruarar Siahaan, ahli panel di mahkamah perlembagaan yang mendengar rayuan itu 2007 Encik Chan dan Encik Sukumaran di Indonesia berkata,

“Ia tidak berkesan dalam penguatkuasaan undang-undang, ia adalah suatu fakta. Apabila peluang untuk melarikan diri dari dikesan adalah tinggi, ancaman hukuman mati tidak akan menakut-nakutkan orang-orang yang menceburi perniagaan dadah.” – Bekas Hakim Maruarar Siahaan

Menurut laporan tahunan negara 2013 Agensi Narkotik Indonesia (BNN), 260 pengedar dadah ditangkap pada tahun 2013. Ini meningkat daripada 157 orang pada tahun 2011 dan 202 orang pada tahun 2012. Jumlah ini menunjukkan bahawa walaupun hukuman mati terus dikenakan dan dijalankan, jenayah pengedaran dadah tidak menunjukkan tanda-tanda mereda. Walaupun angka-angka ini tidak boleh dianggap sebagai keterangan muktamad untuk menolak hukuman mati mandatori sebagai penghalang yang berkesan, ia pasti alasan yang cukup untuk mengkaji semula kedudukan semasa kerana soalan sebenarnya adalah soalan berat berkaitan dengan nyawa seseorang.

Menurut kertas bertajuk “Sebab hukuman mati, Pencegahan dan Pembunuhan: Sebuah kisah Dua Kota” yang disiarkan dalam Jurnal Pengajian Undang-undang empirikal, Jilid 7, – satu kertas membandingkan dua negara iaitu Hong Kong dan Singapura – ianya berkata bahawa tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa hukuman mati adalah penghalang berkesan kepada jenayah pembunuhan atau jenayah dadah.

Satu lagi laporan di Singapura bertajuk “Laporan mengenai Perubahan kepada Hukuman Mati Mandatori dalam Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) Rang Undang-Undang dan Akta Penyalahgunaan Dadah (Pindaan) 2012” oleh organisasi We Believe In Second Chances, memetik kertas yang sama dengan mengatakan bahawa, “Kami dengan hormatnya menghujah bahawa, berdasarkan bukti yang ada, hubungan sebab dan akibat yang dikatakan wujud di antara kadar jenayah hukuman mati rendah kami dan kehadiran hukuman mati itu tidak cukup kukuh, dan tidak boleh digunakan untuk mewajarkan penggunaan berterusan hukuman mati, mahupun sekurang-kurang atau paling tidak, membenarkan pengunaannay secara mandatori.

Banyak kajian dan laporan juga telah dinamakan di mana lebih kerap daripada tidak, mereka yang ditangkap hanya mengambil peranan yang lebih kecil dalam sindiket dadah. Kaldai dadah adalah orang-orang yang ditahan dan bukannya dalang-dalang sindiket dadah. Ini membawa kepada ketidakadilan yang melanjutkan.

Pada bulan Julai 2012, Timbalan Perdana Menteri Singapura dan Menteri Dalam Negeri Teo Chee Hean berkata di Parlimen bahawa,

“Hukuman mati mandatori pada asalnya direka untuk menghalang sindiket dadah daripada beroperasi di dalam dan ke Singapura. Sindiket telah bertindak balas dengan memajukan operasi haram mereka di luar sempadan, dengan menggunakan kaldai untuk menjalankan operasinya di Singapura manakala dalang mengekalkan kuasa kawalan dari jauh. Para dalang sentiasa cuba untuk mengelakkan kaitan langsung dengan dadah atau mengelak daripada terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang boleh membawa kepada penangkapan mereka. Oleh itu, mereka menyasarkan dan mengeksploitasi golongan yang mudah terjejas untuk tujuan mereka dan oleh itu, kaldai-kaldai yang sebenarnya mengambil sebahagian besar daripada beban risiko.” – Timbalan Perdana Menteri Singapura dan Menteri Dalam Negeri Teo Chee Hean

Singapura telah meminda undang-undangnya untuk membenarkan mahkamah mengenakan alternatif kepada hukuman mati mandatori. Perubahan ini berlaku dalam Akta Penyalahgunaan Dadah (Pindaan) 2012 yang berkuat-kuasa pada tahun 2013. Apa yang diperhatinkan adalah perubahan kepada undang-undang itu juga berkuasa secara retrospektif, membolehkan banduan hukuman mati yang telah dihukum mati sebelum pindaan, untuk mempunyai peluang di mana hukuman mereka beloh dikaji semula di bawah undang-undang baru dan dihukum semula secara yang sepatutnya, termasuk apa-apa syarat yang wajar ditetapkan.

Sudah tiba masanya HAKAM menuju ke arah satu kertas cadangan yang akan merangkumi analisa terperinci pendapat daripada pihak berkepentingan yang berkaitan, tentang kelemahan yang sedia ada dalam sistem kami kini, serta pembaharuan rejim hukuman mati mandatori melalui pemansuhan hukuman mati mandatori.

 

Pindaan kepada undang-undang hukuman mati mandatori

1. Pembelaan Sebelum Ini
Pada tahun 2002, bekas Presiden HAKAM Raja Aziz Addruse menggesa kerajaan untuk meminda rang undang-undang hukuman mati mandatori untuk membenarkan hakim-hakim membuat pilihan sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak. Bercakap di satu bengkel Amnesty International, beliau berkata pada masa ini, pengenaan hukuman mati bukan satu pilihan bagi hakim ketua dalam kes-kes yang melibatkan pembunuhan dan pengedaran dadah. Beliau berkata, hukuman mati mandatori di bawah kanun keseksaan kerana membunuh dan kesalahan dadah bermakna bahawa sesiapa yang didapati bersalah secara automatik akan dikenakan hukuman mati.

2. Latihan Forensik Psikiatri
Pada bulan Oktober 2013, dengan kerjasama Majlis Peguam Malaysia, HAKAM dan Newcastle University Medicine Malaysia telah mengadakan satu bengkel latihan psikiatri forensik di Kuala Lumpur berkaitan dengan kesihatan mental dan profesional undang-undang yang terlibat dalam kes-kes hukuman mati di Malaysia.

3. Projek Hukuman Mati (Malaysia)

HAKAM, melalui Bekas Presiden Abdul Rashid Ismail, telah mengambil bahagian dalam Projek Hukuman Mati (Malaysia) di mana ia didapati bahawa 108 orang telah dihukum mati pada tahun 2011, dan kira-kira dua pertiga daripada 108 itu adalah bagi kesalahan berkaitan dengan dadah. Pada September 2012, kelihatan terdapat 924 orang yang menunggu pelaksanaan hukuman mati di Malaysia, dan 648 daripada mereka telah dijatuhkan hukuman kerana pengedaran dadah. Dalam projek yang sama, Roger Hood, Profesor Emeritus Kriminologi di Universiti Oxford, telah ditugaskan untuk membentangkan laporan baru tentang kerumitan sikap orang ramai terhadap hukuman mati di Malaysia. Tajuk laporan ini adalah “Hukuman mati di Malaysia: Pendapat Awam mengenai Hukuman Mati Mandatori bagi Kesalahan Pengedaran Dadah, Pembunuhan dan Senjata Api“.

4. Forum Hukuman Mati
Sebagai sebahagian daripada  Projek Mansuhkan Hukuman Mati, HAKAM, dengan kerjasama Majlis Peguam Malaysia, telah menganjurkan satu forum bertema hukuman mati, sempena Minggu Hak Asasi Manusia pada 8 -12 Disember 2014. Tiga peguam hak asasi manusia – Abdul Rashid Ismail, Edmund Bon dan Amer Hamzah – bersama-sama dengan ahli kempen Amnesty International Malaysia, Gwen Lee Chee Yeng, menyampaikan pandangan mereka melalui pengalaman dan kepakaran mereka untuk membincangkan:

(1) isu-isu hukuman mati mandatori;
(2) undang-undang antarabangsa yang berkaitan;
(3) pertimbangan perlembagaan;
(4) bagaimana hukuman mati sedang digunakan di Malaysia;
(5) amalan hukuman mati di seluruh dunia; dan
(6) usaha-usaha untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

Pidato dan topik mereka adalah seperti berikut:

  • Adakah Ianya Sah dari segi Perlembagaan dan Perspektif Malaysia? oleh Edmund Bon dan Joshua Tay
  • Hukuman Mati Mandatori dan Undang-Undang Hak Asasi Manusia Antarabangsa oleh Abdul Rashid Ismail, Bekas Presiden HAKAM
  • Masaalah Semasa oleh Amer Hamzah Arshad, Tetuan Nizam, Amer dan Sharizad
  • Hukuman Mati: Sekitar Dunia oleh Gwen Lee Chee Yeng, ahli kempen Amnesty International Malaysia

Di Tahun 2015

capital punishmentHAKAM berhasrat menulis kertas cadangan untuk pertimbangan pihak berkuasa dan pertubuhan-pertubuhan lain sebagai usaha membela kempen pemansuhan hukuman mati mandatori. HAKAM merancang untuk mengadakan mesyuarat perundingan dengan ahli-ahli Parlimen, wakil-wakil dari pejabat Peguam Negara, ahli-ahli badan kehakiman terutamanya hakim dalam bahagian jenayah, pihak berkuasa penjara dan pelbagai pihak berkepentingan lain untuk mempercepatkan pembaharuan rang undang-undang ke arah pemansuhan hukuman mati mandatori.

HAKAM memohon sumbangan sukarelawan dan pelatih yang berminat untuk mengusahakan Projek ini. Sila hubungi kami melalui e-mel info [at] hakam.org.my jika anda berminat!

 

Di peringkat perancangan, tertakluk kepada pembiayaan yang diterima:

1. Aktiviti undang-undang reformasi: Untuk membentangkan pindaan kepada perundangan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952. HAKAM akan berusaha untuk menyediakan kertas cadangan yang akan digunakan untuk membawa pindaan kepada Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kertas cadangan boleh mengandungi alternatif untuk menggantikan hukuman mati mandatori. Satu kajian menyeluruh perlu dijalankan untuk menentukan alternatif yang mampan. Rangka kerja undang-undang yang dijangkakan adalah luas dan analisis mendalam diperlukan untuk merumuskan kedudukan undang-undang yang seimbang, adil dan menyeluruh.

Selepas mengkaji pengalaman Singapura, ternyata yang tindakan tunggal melalui pindaan undang-undang adalah tidak mencukupi. Cara operasi sindiket dadah perlu difahami. Peranan pelbagai unit yang menyumbang kepada kesukaran masalah dadah amat berbeza. Apabila seseorang diberkas kerana kesalahan mengedar dadah, peranannya mesti ditentukan sebelum dia dipertuduh dan dihukum.

United Kingdom telahpun memansuhkan hukuman mati pada tahun 1998. United Kingdom mempunyai rang perundangan yang komprehensif dan yang mengiktirafkan pelbagai faktor berbeza yang patut dipertimbangkan sebelum hukuman dikenakan. Dalam garis panduan yang bertajuk “Kesalahan Dadah, Garis Panduan Definitif” oleh Majlis Penghukuman UK, pelbagai situasi yang mungkin berlaku  dalam kesalahan sedia diperuntukkan, yang mungkin melibatkan faktor termasuk mitigasi dan faktor-faktor berat, klasifikasi peranan yang dimainkan mengikut huraian kerja serta bantuan yang diberi kepada pendakwaan, dan kategori akibat berbahaya dengan melihatkan kuantiti dadah berkenaan.

2. Penyelidikan, Penyiasatan dan lain-lain: Dalam usaha untuk mencapai pembaharuan undang-undang, HAKAM memerlukan sumber-sumber untuk mendapatkan bantuan pihak pakar. Satu pengumpulan statistik seluruh negara pesalah yang disabitkan dan yang menghadapi hukuman mati, pesalah yang telah dilepaskan dan pesalah yang telah dihukum mati pada tahun-tahun yang lepas, diperlukan. Ahli-ahli kriminologi terkenal dan peguam mungkin diperlukan untuk merangka kertas cadangan kukuh – terutamanya untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan tentang masalah yang wujud dalam sistem dan penyelesaian yang berpatutan.

Ini perlu dilakukan melalui kaji selidik berstruktur dan temubual. HAKAM akan bekerjasama dengan Firma Penyelidikan Pendapat untuk menghasilkan analisis terperinci. Analisis ini seterusnya akan membantu HAKAM untuk menyediakan kertas cadangan yang menyeluruh.

HAKAM juga perlu bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan lain yang berkaitan seperti Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, pihak berkuasa kehakiman dan penjara, wakil rakyat dan banduan sedang menunggu pelaksanaan hukuman mati untuk menyiasat, menyiasat dan menyelidik masaalah yang sedia ada dalam sistem kini dan apa-apa masaalah yang dijangka muncul selepas pelaksanaan pindaan yang dicadangkan. Ini juga akan banyak membantu persediaan pembentangan akhir kertas cadangan kami.

3. Kempen kesedaran dan pendidikan: Ini termasuk penganjuran seminar dan forum awam. HAKAM akan bekerjasama dengan badan-badan masyarakat sivil yang lain untuk memimpin forum bersiri, perbincangan, kursus pendidikan mengenai hukuman mati. Pada masa yang sama pameran bergerak di seluruh negara akan dijalankan oleh HAKAM sebagai pemacu kesedaran untuk mendapatkan sokongan daripada orang ramai dengan membantu mereka memahami kesan-kesan sistem perundangan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, dan juga untuk mendapatkan maklum balas mereka.

4. Menyediakan perbincangan atau latihan (jika perlu) untuk melengkapkan ahli-ahli badan kehakiman, pihak berkuasa penjara dan pihak-pihak lain yang mempunyai peranan penting, pengetahuan dan pentas yang diperlukan untuk memastikan peruntukan hukuman alternatif  dilaksanakan dengan betul. Program yang komprehensif perlu direka untuk memastikan semua pihak berkepentingan memahami rangka kerja undang-undang yang baru.

 

Hasil yang disasarkan: Pembaharuan rang undang-undang & faedah-faedahnya.

Tujuan dasar polisi pembaharuan undang-undang adalah bagi membawa kepada perlindungan hak asasi manusia yang lebih baik di negara ini. Malaysia adalah sebuah negara yang menghormati kesucian hidup dan hak untuk hidup adalah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Perubahan ke arah yang betul akan memastikan perubahan positif dalam pendirian Malaysia dan reputasi negara. Reputasi Malaysia sebagai sebuah negara yang menghormati hak untuk hidup akan dipertingkatkan dan diperkukuhkan. Malaysia akan menyertai barisan negara-negara progresif yang melindungi kesucian kehidupan manusia. Manakala rakan-rakan Malaysia di Asia seperti Kemboja, Hong Kong, Nepal, Timur Timor, Filipina (semua yang telah memansuhkan hukuman mati), Thailand (diklasifikasikan sebagai negeri permohonan rendah) dan India, Bangladesh, Myanmar, Sri Lanka, Brunei diklasifikasikan sebagai permohonan simbolik (permohonan simbolik menunjukkan bahawa rangka kerja undang-undang memperuntukkan hukuman mati tetapi ia telah tidak digunakan untuk sekurang-kurangnya 10 tahun) telah menerima pakai rangka kerja undang-undang yang lebih progresif dengan memansuhkan hukuman mati.

Hubungan Malaysia dengan negara-negara di mana rakyat mereka menghadapi hukuman mati di Malaysia juga akan memperbaiki atau ditingkatkan apabila hukuman mati itu diringankan kepada penjara seumur hidup. Reputasi Malaysia akan bertambah baik dengan Projek ini, malah ianya akan mengetatkan komitmen kami untuk memperkukuhkan rasa hormat kami kepada kesucian hidup.