38 NGO kecam penahanan Khairuddin bawah Sosma

Sumber: The Malaysian Insider

Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Datuk S Ambiga bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 7 Oktober, 2015.

Sebanyak 38 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Datuk S Ambiga yang mewakili NGO terbabit menyifatkan tindakan tersebut tidak wajar dan mendakwa penahanan Khairuddin melanggar peruntukan di bawah Sosma itu sendiri.

“Kami sangat bimbang dengan penyalahgunaan Sosma,” katanya pada satu sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.

Katanya, ketika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digubal, ia dijanjikan hanya akan digunakan terhadap komunis.

“Tetapi berapa banyak kali janji itu dimungkiri.

“(Sekarang) Seksyen 4(3) Sosma ada menyebut tiada orang boleh ditahan semata-mata kerana kepercayaan atau aktiviti politiknya.

“Kita tak tahu kenapa Khairuddin ditahan. Itu satu penahanan yang salah,” kata Ambiga. Read more