
Ahli Parlimen Seputeh berkata itu sebabnya Kanun Keseksaan meliputi perbuatan itu sebagai kesalahan suami mencederakan isteri dengan tujuan melakukan seks. Gambar dipetik dari FMT News.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata sukar untuk frasa “rogol dalam perkahwinan” digunakan sebagai terma undang-undang dan untuk dihujahkan di mahkamah.
Katanya, kali pertama beliau tahu mengenai kesukaran itu ialah ketika menjadi ahli Jawatankuasa Pemilih Semakan Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah.
“Kami dapati agak sukar meletakkan terma rogol dalam perkahwinan dalam undang-undang. Itu sebabnya ia menyatakan tindakan suami mencederakan isterinya dengan tujuan melakukan seks adalah kesalahan di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan,” katanya.
Kok berkata sukar untuk membuktikan rogol dalam perkahwinan bila ia berlaku.
“Bagaimana hendak membuktikan ia rogol dalam perkahwinan? Sangat sukar untuk menggambarkan dan berhujah di mahkamah dan sebab itu kami letak ia di bawah 375A di mana hukuman penjara boleh dikenakan hingga 5 tahun.
“Secara tidak langsung ia meliputi insiden keganasan termasuk rogol dalam perkahwinan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada gesaan Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) supaya rogol dalam perkahwinan dikategorikan sebagai jenayah. Read more