Penggantungan The Edge sahkan sangkaan wujud rasuah skala besar, kata Hakam

Facebook
Facebook
Google+
https://hakam.org.my/wp/2015/07/25/penggantungan-the-edge-sahkan-sangkaan-wujud-rasuah-skala-besar-kata-hakam/
SHARE

Sumber: The Malaysian Insider

Presiden Hakam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, penggantungan permit The Edge dan The Edge Financial Daily adalah percubaan terang-terangan menutup wacana awam yang amat diperlukan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Julai, 2015.

Presiden Hakam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, penggantungan permit The Edge dan The Edge Financial Daily adalah percubaan terang-terangan menutup wacana awam yang amat diperlukan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Julai, 2015.

Keengganan Putrajaya menjawab tuduhan yang dibuat terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hanya mengesahkan syak wasangka rakyat mengenai wujudnya rasuah pada skala besar, kata Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) mengutuk penggantungan The Edge dan The Edge Financial Daily oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Presiden Hakam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, penggantungan tiga bulan bagi kedua-dua penerbitan itu satu percubaan terang-terangan menutup wacana awam yang amat diperlukan berhubung satu isu penting – berbilion ringgit wang pembayar cukai sedang disalurkan keluar.

Beliau menegaskan, laman web Sarawak Report juga disekat kerana sebab yang sama, dan berkata kerajaan tidak boleh dibiarkan berselindung di bawah kewajaran “ketenteraman awam”, yang menurutnya “jelas tidak terpakai” dalam kes ini.

“Kerajaan seharusnya menggalakkan pemberi maklumat dan bekerjasama membongkar kebenaran, bukan menutup mulut mereka.

“Apabila kerajaan melakukan sebaliknya dalam menghadapi skandal rasuah, kerajaan sendiri yang sebenarnya menjejaskan ‘kepentingan awam dan negara’,” kata Ambiga dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenang kembali Operasi Lalang yang berlaku pada akhir 80-an, ketika akhbar terkemuka seperti The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan ditutup kerana menjalankan tugas mereka, Ambiga berkata ia tidak boleh dibenarkan berlaku lagi.

Beliau juga memberi amaran jika kerajaan dibenarkan menjalankan menyalahgunakan kuasanya, tidak lama lagi mereka juga akan menyerang pengguna individu laman sosial Facebook dan Twitter.

Aktivis hak asasi manusia yang juga bekas presiden Majlis Peguam dan pernah memenangi anugerah  itu berkata, hak kebebasan bersuara penting kepada demokrasi negara, di mana maklumat dan idea diperlukan untuk perdebatan politik yang bermaklumat dan penting untuk akauntabiliti awam dan ketelusan dalam kerajaan.

“Hakisan berterusan kebebasan asasi ini mesti dihentikan.

“Sekarang, lebih daripada sebelumnya, kebebasan bersuara terutamanya kebebasan akhbar, untuk melahirkan wacana awam mengenai dakwaan skandal besar yang mengancam fabrik asas negara kita mesti dijaga, dipelihara dan ya, digalakkan,” katanya, sambil menambah ia perlu bagi kemajuan ekonomi dan sosial.

Presiden Majlis Peguam Steven Thiru, juga bersetuju dengan pandangan Ambiga, mengatakan arahan penggantungan itu “menimbulkan kepercayaan munasabah yang dakwaan dibuat The Edge mempunyai merit dan tidak boleh disangkal”.

Thiru menyifatkannya sebagai “cubaan terang-terangan dan jahat” untuk mendiamkan kritikan mengenai perkara yang mempunyai kepentingan awam, dan berkata pihak berkuasa sepatutnya menyiasat dakwaan tersebut, bukannya menghukum pembawa maklumat. – 25 Julai, 2015.

MENYUSUL LAGI